Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Jacqueline juara dunia

Posted: 04 Sep 2011 09:16 AM PDT

PEMAIN rookie Malaysia, Jacqueline Sijore mencatat sejarah apabila melakar kemenangan menakjubkan dengan memenangi pingat emas acara perseorangan pada Kejohanan Bowling Wanita Dunia di Hong Kong, semalam.

Pemain bowling remaja berasal dari Sarawak itu tidak menampakkan pengalaman menjadi penghalang apabila menenggelamkan cabaran pemain bertaraf dunia dari Korea Selatan, Son Yun Hee pada perlawanan akhir 266-217 untuk merangkul pingat emas.


Yun Hee memulakan saingan dengan strike pada frame pertama ketika Jacqueline, 19, hanya sekadar melakukan sembilan jatuhan dan spare. Begitupun Yun Hee membenam tiga strike berturut-turut sebelum menamatkan lima frame pertama sebagai pendahulu.

Namun, selepas berbincang dan mendapat nasihat ketua jurulatih Holloway Cheah, Jacqueline mula memberi tekanan kepada lawannya dengan mencatat lapan strike berturut-turut sebelum menjatuhkan enam pin bonus. Catatan 266 jatuhan pin cukup untuk mengesahkannya sebagai juara perseorangan wanita dunia, mengalahkan Yun Hee yang merekodkan 217 jatuhan.


"Saya tidak mampu berkata apa-apa. Amat terkejut kerana berjaya muncul juara dunia sepantas ini.


"Memang saya bermain dengan baik terutamanya hasil bimbingan jurulatih, Holloway. Beliau membimbing saya melakukan balingan yang betul di setiap lorong dan segala-galanya menjadi sebaik saya menghayunkan tangan," kata Jacqueline.

Pada separuh akhir, Jacqueline menewaskan pemain Singapura, Shayna Ng 246-214 manakala Yun Hee menundukkan Mai Ginge Jensen dari Denmark 279-268.


Shayna dan Mai Ginge masing-masing menerima pingat gangsa.

Hanya empat pemain terbaik selepas kedudukan terakhir diketahui menerusi tiga skuad layak ke separuh akhir.


Sebelum separuh akhir dan akhir, pemain negara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul Ghani melakukan balingan dalam skuad ketiga dan terakhir semalam.


Selepas keputusan tiga skuad itu disatukan, Jacqueline menduduki tangga keempat manakala Zandra Aziela (14), Zatil Iman (19), Esther Cheah (46), Sharon Koh (62) dan Sin Li Jane (92).


Hari ini, Jacqueline akan turun sekali lagi dalam acara beregu bergandingan dengan Li Jane. Turut beraksi dua lagi pasangan Sharon-Zatil Iman dan Esther-Zandra Aziela.

Zakry-Fairuzizuan sertai KLRC

Posted: 04 Sep 2011 09:12 AM PDT

KURANG sebulan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari kini bergelar pemain profesional bersama Kuala Lumpur Racket Club (KLRC).

Pengumuman itu dibuat kedua-dua pemain itu pada majlis rumah terbuka Hari Raya KLRC di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, semalam.


"Sebagai pemain bebas, kami perlukan sokongan sebuah organisasi. Selepas BAM kami rasakan KLRC adalah tempat terbaik untuk meneruskan kerjaya," kata Fairuzizuan.

Katanya, keputusan menyertai KLRC itu bukan bertujuan menyaingi BAM tetapi mereka yakin masih berkemampuan untuk menjadi pasangan yang hebat.


"Kami berasa dengan menyertai KLRC mampu mengembalikan semula prestasi seperti yang pernah dicapai satu ketika dulu," kata Fairuzizuan yang mendedahkan turut menerima tawaran dari kelab lain tetapi tidak lengkap seperti tawaran KLRC.


Sementara itu, Zakry berkata kontrak bersama KLRC berkuat kuasa serta-merta sekali gus dia dan Fairuzizuan tidak akan menjalani latihan di Bukit Kiara lagi bermula hari ini.

"Kontrak kami sehingga Sukan Olimpik, jika masih berada di tahap terbaik saya rasa KLRC tiada masalah untuk menyambung kontrak.


"Kami akan mula menjalani latihan di New Vision, Petaling Jaya hari ini dan saya rasa masalah ketiadaan rakan 'sparring' tidak timbul kerana ada Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, tahap permainan mereka juga tinggi," kata Zakry yang mengakui mereka yang mula mengintai peluang di KLRC.

Biarpun sebelum ini menyatakan Li Ning sedia menjadi penaja kelengkapan badminton mereka, Zakry dan Fairuzizuan belum mengesahkan apakah jenama barangan sukan akan digunakan kerana mula menerima tawaran jenama lain.


"Sebelum ini tidak ramai yang tahu kami meninggalkan BAM, ketika menjelang Hari Raya kami dihubungi banyak pihak dan kami hanya akan putuskan selepas menilai tawaran mereka," kata Zakry enggan mendedahkan pihak yang turut menawarkan menjadi penaja barangan sukan.


Presiden KLRC, Datuk Seri Andrew Kam berkata beliau yakin Zakry-Fairuzizuan masih ada bisa hinggakan pihaknya sedia menyokong gandingan itu yang berhasrat dapat beraksi pada Sukan Olimpik 2012 meskipun terpaksa berbelanja besar menghantar mereka menyertai banyak kejohanan dalam tempoh lapan bulan untuk meraih mata kelayakan.


Dalam pada itu, Andrew juga menganggap hasrat pemain beregu legenda negara, Razif Sidek untuk melatih Zakry-Fairuzizuan sebagai satu langkah bijak.


"Saya anggap ia gabungan baik. Tapi setakat ini tiada perbincangan berlaku, jika benar Razif mahu melatih Zakry-Fairuzizuan, saya rasa KLRC tiada masalah kerana kami tiada jurulatih beregu," kata Andrew.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen