Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Shahidan cari ilham

Posted: 16 Dec 2011 10:39 AM PST

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui wujud pendekatan kurang berhemah dalam tindakan diambil timbalannya, Karim Ibrahim, sehingga mencetus pelbagai polemik dalam kesatuan itu, sejak akhir-akhir ini.

Kenyataan itu dilihat agak menggemparkan apabila Shahidan yang sering dilabel sebagai 'pelindung' Karim sebelum ini, turut mendedahkan banyak tindak-tanduk yang diambil orang kanannya itu dalam mencorak masa depan badan induk olahraga negara berkenaan, dibuat atas dasar pertimbangan sendiri.


Apa pun, kata Shahidan, KOM tidak akan terus melatah. Sebaliknya kedudukan Karim akan dipertimbangkan sewajarnya oleh kesatuan, dengan mengambil kira jasa serta peranan beliau dalam membantu KOM selama ini.

"Banyak perkara perlu diambil kira dalam hal ini, bukannya sekadar menentukan hukuman semata-mata. Pada saya, kita perlu berhati-hati dalam bertindak untuk menyelesaikan kemelut yang timbul.


"Apa pun, kita akan putuskan mengenai kedudukan Karim dalam Mesyuarat Agung KOM akan datang untuk menentukan sama ada beliau akan terus kekal dan berkhidmat atau berhenti," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengkritik sukan, Profesor Dr Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang mencadangkan agar Karim berundur secara terhormat, selepas banyak tindak tanduk serta keputusan Timbalan Presiden KOM itu didakwa menjadi pencetus konflik antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan KOM.

Malah, Kay Kim yang mengakui bosan dengan pertelingkahan antara MSN dan KOM yang berlarutan sejak sekian lama, yakin segala masalah yang berlaku antara kedua-dua pihak itu lebih banyak ditimbulkan KOM sendiri yang seolah-olah dimonopoli seorang individu saja dalam membuat segala keputusan.


Terdahulu, Shahidan yang ditemui ketika waktu rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-12, sempat menghubungi Karim melalui telefon bimbitnya untuk mendapatkan maklum balas mengenai kedudukan semasa konflik terbabit.

Ditanya mengenai pendirian beliau terhadap kedudukan Karim, Shahidan berkata segalanya terpulang kepada keputusan Mesyuarat Agung KOM. Bagaimanapun jika Karim sendiri yang ingin berundur, itu terpulang kepada beliau.


"Secara peribadi, Karim seorang yang buat kerja dan banyak membantu dalam KOM. Bagaimanapun, mungkin pendekatannya secara bersendiri selain dilihat kurang berhemah menyebabkan beliau tidak disukai.


"Apa pun, saya tidak mahu komen lebih sebelum saya berjumpa Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) untuk dengar dan bincang perkara itu. Selepas mendapat panduan daripada beliau (Ahmad Shabery), baru saya akan keluarkan kenyataan rasmi mengenainya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Chong Wei berdepan Chen Long

Posted: 16 Dec 2011 09:34 AM PST

GELARAN keempat Pusingan Akhir Siri Super Dunia semakin menghampiri Datuk Lee Chong Wei selepas pemain nombor satu dunia itu yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir kelmarin, menewaskan pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade 24-22, 21-14 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Liuzhou, China, semalam.

Kemenangan itu bermakna, Chong Wei yang muncul juara Kumpulan A bakal bertemu naib juara Kumpulan B iaitu pemain muda China, Chen Long pada pertemuan separuh akhir hari ini, lawan yang pada anggapan ramai lebih mudah berbanding seteru utamanya, Lin Dan yang bakal membuat perhitungan dengan Gade pada satu lagi aksi separuh akhir.


Bagaimanapun, Chong Wei yang mempunyai rekod lebih unggul berbanding Gade, mempamerkan aksi tidak konsisten pada set pertama.

Selepas satu ketika selesa mendahului Gade dengan perbezaan tujuh mata, Gade yang ketika ini menduduki ranking keempat dunia, berjaya merapatkan jurang sebelum menyamakan kedudukan 19-19, tetapi faktor ketenangan membolehkan Chong Wei meraih kemenangan 24-22.


Bersambung set kedua, Chong Wei yang sudah menemui rentak permainannya, langsung tidak memberi ruang kepada Gade untuk bangkit sebelum meraih kemenangan mutlak 21-14.


Lin Dan pula yang terus menjadi penghalang utama Chong Wei untuk meraih gelaran keempat Siri Super Dunia, mudah menundukkan bintang sensasi Jepun, Kenichi Tago 21-11, 21-13 pada perlawanan terdahulu.

Persoalan sama ada Chong Wei mampu mempertahankan kejuaraan bakal teruji sekali lagi hari ini kerana lawannya di separuh akhir, Chen Long pasti mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah. Sementara itu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang sudah tersingkir pada saingan kali ini selepas tewas kepada gandingan Denmark, Mathias Boe-Cartsen Mogensen kelmarin, terus mempamerkan aksi hambar ketika turun bertemu beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano semalam apabila tewas 21-19, 19-21, 14-21.


Pada perlawanan yang sekadar melengkapkan jadual itu, sentuhan jurulatih baru, Yoo Yong Sung dari Korea Selatan ternyata masih belum mampu meningkatkan corak permainan beregu negara itu meskipun meraih kemenangan pada set pertama.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen