Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Karim enggan ulas

Posted: 15 Feb 2012 08:11 AM PST

"MINTA maaf, saya tak dapat beri sebarang komen, saya serahkan segala-galanya kepada peguam saya."

Demikian reaksi ringkas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim yang agak muram ketika diserbu media semalam selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu mesyuarat tergempar berhubung dakwaan pembabitan dirinya dengan seorang atlet yang didapati positif ujian dadah di Sukan Sea, Indonesia, November lalu.


Turut hadir pada perbincangan itu ialah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, wakil Institut Sukan Negara (ISN), barisan peguam KOM serta dua ahli majlis badan induk olahraga itu.

Difahamkan, perbincangan semalam tidak mendapat sokongan majoriti ahli majlis yang lain kerana mereka hanya diberitahu kelmarin selain ada yang meminta untuk ditangguhkan, namun KOM tetap meneruskan mesyuarat berkenaan. Shahidan selepas perbincangan itu pula seolah-olah masih membela orang nombor dua dalam KOM itu apabila menyatakan mesyuarat berkenaan memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Doping dan Jawatankuasa Siasatan bagi melakukan siasatan ke atas tuduhan membabitkan Karim.


"Jawatankuasa ini akan putuskan sama ada Karim bersalah atau tidak, bukan pemberita. Kita kena adil, apa saja tuduhan mesti dibincangkan secara adil," katanya yang meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan laporan media sebelum ini yang banyak berkisar tentang Karim.


Shahidan menambah: "Walaupun beberapa insiden berlaku, tetapi olahraga negara mesti berterusan. Keputusan JKK (Jawatankuasa Kerja) yang tidak disiarkan langsung oleh pihak pemberita akan diteruskan.

"Walaupun ada perkara membabitkan ahli majlis dan atlet, saya mengambil kira ketidakpuasan hati semua pihak dan mengambil kira juga rasa tidak puas hati pihak lain.


Nasib Karim pula akan diketahui dalam masa terdekat selepas Shahidan menyatakan: "Dalam masa seminggu ini harap semua perkara ini akan selesai.

Shahidan berkata, nasib Karim juga bergantung kepada keputusan mesyuarat agung khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.


"Soal tak puas hati atlet dan jurulatih, (kita) boleh ambil tindakan. Tapi perkara membabitkan ahli majlis, hanya mesyuarat agung khas saja boleh jatuhkan mana-mana pihak," katanya.


Shahidan turut mengesahkan pihaknya sudah menerima secara rasmi surat Sampel B daripada Kok Chi semalam.


Baru-baru ini, sekumpulan jurulatih dan atlet menyerahkan petisyen bantahan kepada Shahidan. Semua 16 jurulatih dan 42 atlet olahraga kebangsaan menandatangani petisyen lengkap yang disediakan dalam satu buku khas bertajuk 'Laporan dan aduan jurulatih dan atlet olahraga kebangsaan kepada Presiden KOM'.


Laporan bertarikh 13 Februari itu mengandungi 11 muka surat yang mengemukakan pengakuan bertulis berhubung aduan dan keluhan jurulatih tempatan yang mengusulkan agar Karim disingkirkan daripada jawatan Timbalan Presiden KOM.


Turut dimuatkan dalam laporan itu adalah kronologi bagaimana punca berlakunya kes membabitkan atlet yang melarikan diri dari ujian doping ke Bulgaria dan juga atlet yang didapati positif ujian dadah di Sukan Sea, Indonesia, November lalu.



‘LionXII lebih bagus’

Posted: 15 Feb 2012 08:05 AM PST

PERAK tumpas kepada pasukan yang lebih baik.Begitulah kata jurulatih Perak, Norizan Bakar mengenai kekalahan 1-2 anak buahnya kepada LionXII dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam kelmarin.

Malah pengendali itu berkata tuan rumah juga melakukan dua kesilapan yang menyaksikan mereka dihukum oleh pelawat melalui dua jaringan kaptennya, Shahril Ishak pada setiap babak.


"Dua kesilapan itu menjadi benteng pemisah Perak dengan lawan. Mereka bijak mengambil kesempatan daripada peluang yang diperolehi,"katanya.

Pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Sultan Azlan Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, tuan rumah mempamer permainan bersemangat tetapi tidak mencukupi untuk menggunakan kelebihan dimiliki biarpun dengan sokongan padu kira-kira 15,000 penonton.


Sebaliknya pelawat bijak memerangkap mereka dengan serangan balas berkesan untuk mengancam kubu lawan yang tampak goyah setiap kali menerima ancaman pelawat.


Norizan berkata anak buahnya sudah berusaha bersungguh tetapi malangya nasib tidak menyebelahi mereka untuk terpaksa menelan keperitan tumpas buat kali pertama di tempat sendiri selain menerima kekalahan kedua berturut-turut.

"Pemain sudah mencuba sedaya upaya. Mereka dah memberikan yang terbaik tetapi tidak berjaya,"katanya.


Sementara itu pemain import Serbia, Lazar Popovic yang masih gagal memecah `badi' kemarau jaringan selepas tujuh perlawanan terus menjadi kecaman hebat biarpun dipuji jurulatih LionXII, V Sundramoorthy.

Popovic, 28, yang sepatutnya menjadi peledak sebaliknya kelihatan memainkan peranan sebagai pencipta peluang untuk rakan lain menjaringkan gol.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan