Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Godam lepas geram

Posted: 30 Mar 2012 10:20 AM PDT

LAMAN web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam lagi. Kali ini tindakan individu tidak bertanggungjawab itu lebih dahsyat apabila menjadikan laman web FAM untuk melepaskan geram terhadap kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak tanah air itu.

Difahamkan tindakan menggodam laman web www.fam.org.my berlaku jam 3.20 petang semalam ada kaitan dengan rasa tidak puas hati segelintir pihak membabitkan isu Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang kemungkinan bakal dikenakan hukuman atas kesalahannya mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal pada 13 Mac lalu.


Tinjauan Arena Metro mendapati, penggodam yang menceroboh laman web FAM itu meletakkan tiga keping gambar sambil disertakan kata-kata tidak puas hati, antaranya "FAM do not critic' (Jangan kritik FAM) dan 'Tolong Rombak FAM! Presiden Sila Letak Jawatan' dan 'Presiden Sila Letak Jawatan Kami Dah Fed-Up!' Turut dimuat turun ke laman web itu adalah klip video dan undian yang menggesa pemimpin tertinggi badan induk itu meletakkan jawatan.

Bagaimanapun selepas laman web FAM itu berjaya dipulihkan dua jam kemudian, laman web itu sekali lagi digodam kira-kira jam 8 malam dengan sekeping gambar majlis perkahwinan individu yang tidak dikenali diletakkan sambil tertera kata-kata kesat.


Usaha mendapatkan maklum balas mengenai pencerobohan laman web itu gagal apabila Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad gagal dihubungi.


Bagaimanapun sumber dalaman FAM mengesahkan perkara itu dan ia sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini, laman web FAM pernah diceroboh pada 27 Oktober tahun lalu apabila penggodam bertindak mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej 'khinzir' serta rakaman dua video berbaur provokasi.


Difahamkan pada masa itu, tindakan didorong rasa marah segelintir pihak dengan keputusan badan induk bola sepak tanah air itu menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Negeri Sembilan dan Terengganu.




Visi Chee Kieong

Posted: 30 Mar 2012 10:18 AM PDT

SELEPAS menamatkan musim lalu dengan pelbagai kejayaan, empat pelumba menjadi sandaran Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing untuk mempertahankan gelaran dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2012 yang bermula hujung minggu ini.

Selain juara dan naib juara CP130, Norizman Ismail serta Mohd Affendi Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman, seorang lagi pelumba, Mohd Fitri Ashraf Razali bakal bergandingan dengan ketiga-tiga pelumba senior itu dalam usaha mengekalkan gelaran pasukan terbaik walaupun dia hanya satu musim beraksi dalam kategori CP115, selepas beralih dari kategori Wira pada 2010.


Berikutan kemasukan Fitri, pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing menyediakan barisan pelumba terbesar dalam kategori perdana dengan empat penunggang, diikuti Yamaha Maju Motor yang diwakili juara dua kali kategori Expert, Ahmad Fazli Sham, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan.

Walaupun barisan baru ini dilihat meningkatkan peluang mempertahankan gelaran dimenangi musim lalu, pengurus pasukan, Soong Chee Kieong berpendapat ia bukan satu kelebihan buat mereka. Sebaliknya beliau menjelaskan Fitri dinaikkan ke kelas CP130 supaya pelumba muda itu dapat berkembang dengan lebih pesat.


"Fitri menunjukkan peningkatan ketara dalam kategori CP115 sebelum ini dan tahun ini kami mahu dia lebih progresif apabila beralih ke kategori CP130. "Tindakan ini tidak terlalu cepat baginya kerana lambat-laun dia tetap akan beraksi dalam kelas ini. Tambahan lagi usianya masih muda dan ini memudahkan dia menyesuaikan diri. "Sebagai contoh, lihat saja Hafizh Syahrin Abdullah. Dia mula beraksi dalam kategori ini pada usia 16 tahun, begitu juga dengan Mohd Ramdan Mohd Rosli, (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) pada usia 15 tahun dan kini kedua-duanya menjadi antara pelumba terbaik negara. Sebab itu kita juga berharap Fitri dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk menimba pengalaman.


"Selain itu, kami juga akan menggunakan model baru iaitu Honda Dash musim ini. Bentuknya lebih aerodinamik dan kami mahu Fitri segera menyesuaikan diri. Cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan meletakkannya bersaing bersama pelumba handalan dalam kategori ini." Ketika ditanya pelumba manakah yang berpeluang untuk bergelar juara CP130 2012, pengurus itu percaya Norizman, Affendi dan Azlan masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk memenangi gelaran. "Terpulang kepada diri masing-masing kerana keupayaan jentera mereka tidak banyak beza. Moga-moga kami dapat memulakan musim ini dengan keputusan yang baik di Batu Kawan." Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan