Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Reputasi Nicol tiada tandingan

Posted:

Reputasi Nicol tiada tandingan

Reputasi Nicol tiada tandingan

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

NICOL dan Omar memegang trofi masing-masing selepas menjuarai
Terbuka KL CIMB Nicol David di Berjaya Times Square semalam.


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David mengukuhkan statusnya sebagai pemain wanita No. 1 dunia apabila merangkul gelaran juara Kejohanan Skuasy Terbuka KL CIMB Nicol David di gelanggang kaca Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Nicol yang mendapat sokongan padu peminat tempatan di ruang legar pusat beli-belah terkemuka itu, mudah mengetepikan cabaran pemain No. 10 dunia, Annie Au dari Hong Kong dalam aksi final dengan kemenangan straight set 11-4, 12-10, 11-9.

Ia merupakan gelaran kelapan yang dimenangi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan tersebut yang kini dikenali dengan namanya sendiri sebagai penghormatan terhadap pencapaian Nicol yang menakjubkan dalam Persatuan Pemain Skuasy Wanita Dunia (WSA).

"Sudah tentu saya berasa sangat gembira sekali kerana berjaya menjuarai kejohanan ini buat kali kelapan dan lebih manis kejohanan ini juga telah diubah kepada nama saya dan ia sesuatu yang amat istimewa.

"Saya juga amat menghargai sokongan para penyokong Malaysia yang setia memenuhi ruang legar di Berjaya Times Square ini. Saya tujukan kemenangan ini kepada mereka yang hadir di sini," jelas Nicol selepas tamat perlawanan semalam.

Begitupun, Nicol menjelaskan bahawa kemenangannya ke atas Annie semalam bukannya mudah, apatah lagi pemain berusia 23 tahun itu bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua dan ketiga.

"Kemenangan saya hari ini (semalam) sebenarnya bukan mudah. Selepas menang set pertama, Annie jelas sekali mempamer kebangkitan pada set kedua dan ketiga menyebabkan saya ketinggalan kepadanya.

"Apa yang saya boleh buat ketika itu ialah hanya terus memberi tumpuan dan cuba mengutip mata demi mata serta bermain dengan tenang.

"Selepas itu, saya mula mendapat keyakinan dan kembali menguasai permainan. Apa pun, Annie juga beraksi dengan baik dan dia juga seorang pemain yang berpengalaman.

"Jadi gembira sekali kerana kami dapat mempamerkan satu perlawanan yang menarik kepada penonton," tambahnya yang turut muncul juara edisi 2000, 2002, 2005, 2007, 2008, 2010 dan 2011.

Selaku juara, Nicol membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$11,400 (RM34,906), manakala Annie pula AS$7,800 (RM23,883).

Sementara itu, pemain Mesir, Omar Mosaad menjuarai aksi final lelaki dengan menewaskan pemain England, Adrian Grant 11-6, 12-10, 12-14, 6-11, 11-8.

Malaysia Tigers dalam zon bahaya

Posted:

Malaysia Tigers dalam zon bahaya

Malaysia Tigers dalam zon bahaya


KUDRAT Chong Wei amat ditagih skuad Malaysia Tigers bagi menghadapi Indonesia Garuda di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur malam ini.


SEDAR misi memburu slot final kejohanan badminton Piala Axiata 2012 agak tipis, skuad Malaysia Tigers dijangka mempertaruhkan barisan terkuat bagi menghadapi Indonesia Garuda pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur malam ini.

Terdahulu, skuad Malaysia Tigers tewas 1-2 kepada Indonesia Garuda pada pada aksi separuh akhir pertama di Britama Arena Sports Mall, Jakarta kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia Tigers perlu meraih kemenangan mudah 3-0 bagi menjamin slot ke pentas final pada kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu.

Bagi merealisasikan misi tersebut, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka mengetuai skuad Malaysia Tigers selepas pemain No. 1 dunia itu tidak beraksi pada peringkat kumpulan dan aksi separuh akhir pertama.

Biarpun status kecederaan bahu kanan yang dialami Chong Wei masih menimbulkan tanda tanya, jagoan negara itu sebelum ini telah menyatakan kesediaannya untuk memperkuatkan cabaran Malaysia Tigers.

Ketiadaan Chong Wei menyaksikan Malaysia Tigers sekadar muncul naib juara Kumpulan K selepas tewas 1-2 kepada Indonesia Rajawali pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock pernah memberitahu sebelum ini bahawa kehadiran Chong Wei pasti akan membuka peluang yang lebih luas buat Malaysia Tigers untuk menumpaskan Indonesia Garuda.

Bagaimanapun, Seu Bock juga risau sekiranya penampilan Chong Wei nanti akan menyebabkan jaguh negara itu mengalami kecederaan yang lebih teruk.

"Kita belum buat keputusan lagi siapa yang akan bermain malam esok (hari ini) tetapi peluang untuk mendapatkan khidmat Chong Wei masih 50-50.

"Kita tidak mahu kerana penampilan pada Piala Axiata ini akan menyebabkan Chong Wei terlepas ujian lebih besar iaitu Piala Thomas dan Sukan Olimpik di London.

"Meskipun hadiah yang ditawarkan lumayan tetapi pasukan negara tidak perlu mengambil risiko dengan menurunkan Chong Wei," kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Tan Kim Her juga tidak dapat memberikan kepastian sama ada gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dapat diturunkan malam ini.

"Sebelum ini, Tan ada memberitahu saya yang dia tidak sihat dan sakit-sakit badan, jadi saya perlu tunggu dan lihat dahulu esok (hari ini) jika dia sudah pulih.

"Jika mereka (Kien Keat-Boon Heong) tidak dapat beraksi, kami akan menggunakan khidmat Lim Kim Wah dan Goh V Shem sekali lagi," katanya semalam.

Juara kejohanan akan menerima hadiah wang tunai bernilai AS$400,000 (RM1.22 juta) dan naib juara pula AS$200,000 (RM612,400).

Pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir akan menerima wang tunai AS$100,000 (RM306,200), manakala empat pasukan yang tersingkir pada peringkat kumpulan bakal membawa pulang AS$50,000 (RM153,100).

GEMPITA mahu berhimpun di FAM

Posted:

GEMPITA mahu berhimpun di FAM

GEMPITA mahu berhimpun di FAM

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


annuar


"KAMI tidak berniat untuk mencetuskan keadaan yang tidak diingini pada 4 April ini tetapi kehadiran kami sebagai tanda memberi sokongan moral kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa."

Demikian nada tegas Penyelaras Gabungan Kelab-Kelab Penyokong Kelantan (GEMPITA), Mohd. Shaharuddin Abdul Latif ketika mengulas mengenai kes Annuar yang akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya Rabu ini.

Ia ekoran tindakan Annuar yang didakwa mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal kepada pihak media baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, perhimpunan itu nanti akan diwakili oleh beberapa kelab, antaranya Kelab Rasmi Bola Sepak Kelantan, Cyber Bola Sepak Kelantan dan The Red Warriors Lembah Klang.

Katanya, kumpulan tersebut juga bakal disertai oleh beberapa kelab penyokong negeri lain yang akan turut 'turun padang' di Wisma FAM, Kelana Jaya nanti.

"GEMPITA tidak berniat untuk melakukan perkara-perkara yang tidak diingini, sebaliknya kami percaya kemelut itu perlu diselesaikan dengan cara yang lebih baik.

"Kami hadir bukan sahaja sebagai orang Kelantan tetapi sebagai peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

"Perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan kami tidak berniat untuk melakukan perkara yang tidak diingini seperti merusuh atau sebagainya.

"Kami berharap dengan kehadiran kami dapat menaikkan semangat Annuar dan kami menerima apa jua keputusan FAM dengan hati yang terbuka," kata Shaharuddin kepada Kosmo! Ahad semalam.

Bagaimanapun, Shaharuddin menegaskan, keputusan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Annuar harus diadili dengan saksama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM itu nanti harus adil.

"Kami bukan hendak menidakkan badan induk itu tetapi kehadiran Annuar dalam FAM sebenarnya satu bonus kepada bola sepak tempatan.

"Justeru, kami mahu satu keputusan yang adil, seterusnya mencerminkan ketelusan FAM," katanya.

Sementara itu, lebih 500 penyokong setia The Red Warriors mengadakan demonstrasi aman di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam sebagai membantah sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap Annuar.

Himpunan tersebut juga membuktikan tanda sokongan seluruh peminat bola sepak Kelantan terhadap Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan