LONDON: Manchester City bertekad melangkah ke era baru bola sepak Inggeris apabila menjulang gelaran pertama dalam tempoh 44 tahun, sebaik kempen Liga Perdana Inggeris yang begitu mendebarkan melabuhkan tirainya malam ini.
Empat tahun selepas dibeli Kumpulan Abu Dhabi United, pemilik hartawan kelab itu sedia memperoleh pulangan pelaburan besar-besaran yang mereka lakukan.
Kemenangan ke atas Queens Park Rangers, malam ini memastikan skuad Roberto Mancini menjulang trofi rebutan itu, melainkan jika Manchester United mencatat kemenangan besar ke atas Sunderland.
Namun pemilik City yang didakwa membelanjakan hampir 1 bilion (RM4.9 bilion) berazam memastikan kejayaan liga musim ini sebagai batu loncatan untuk memburu kejayaan lebih besar.
City dilapor bersedia mendapatkan pemain sayap Lille, Eden Hazard, selain penyerang berprofil tinggi Napoli dari Uruguay, Edinson Cavani.
Malah Mancini percaya ia satu perkembangan positif buat Liga Perdana Inggeris jika City menjulang kejayaan pertama dalam tempoh 44 tahun.
"Jika ada pasukan lain yang bukannya pasukan sama dalam tempoh 10 tahun terakhir, ia bagus untuk Liga Perdana Inggeris," kata Mancini.
"Pemain saya tahu mereka memiliki segala-galanya. Mereka bekerja keras dan berjuang untuk setiap perlawanan dalam kejohanan yang sengit. Ini peluang terbaik mereka.
"Kami membuktikan pasukan ini kuat dengan mentaliti yang kukuh dan boleh melakukan perkara sama Ahad ini (malam ini)," katanya.
Mancini turut memahami erti kemenangan itu buat penyokong setia City.
"Kami tidak pernah menang gelaran ini hampir 50 tahun dan berada di bandaraya di mana pasukan jiran menang setiap tahun. Ia sesuatu yang sukar bagi penyokong. Saya harap dapat mengubah keadaan.
"Adakah saya bertemu dengan mereka? Ya. Mereka terlalu gembira pada masa ini. Mereka memberitahu saya adalah jurulatih hebat dan terbaik. Mereka mahu kami menang satu lagi perlawanan," katanya. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan