Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Tiada peluang kedua’

Posted: 05 Jun 2012 03:31 PM PDT

BEKAS Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Elyas Omar berkata BAM tidak layak mendapat peluang kedua kerana sudah terlalu kerap mengulangi kegagalan.

Jelas beliau yang memimpin persatuan sehingga membawa pulang trofi Piala Thomas 1992 itu, BAM seharusnya bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan "responsible and accountable." "Kalau sudah 12 tahun tak dapat apa-apa, kenapa nak beri peluang lagi. Sepatutnya sebagai pemimpin, kita hanya boleh memimpin paling lama enam tahun, jika tiada kejayaan, letak jawatan dan beri peluang pada orang lain," kata Elyas yang ditemui di Majlis Olimpik Malaysia semalam.


Kenyataan Elyas itu merujuk kepada Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, namun beliau tidak menyalahkan presiden semata-mata, sebaliknya barisan kepimpinan BAM yang lain termasuk barisan Exco.

Mengulas mengenai nada terkini BAM yang mengatakan sedia menukar corak latihan pemain dan mengulangi kepentingan pembangunan peringkat akar umbi, beliau berkata: "Berdasarkan sejarah, kalau seseorang itu memimpin lebih dari 10 tahun, tidak mampu hasilkan keputusan terutamanya dalam Piala Thomas, apa lagi yang boleh kita harapkan.


"Jika selama 12 tahun tidak mampu berubah, macam mana kita nak harapkan pentadbiran sama berubah untuk dua tahun akan datang. Situasi kita sekarang bukannya berada di situasi yang baik, badminton kita sudah jatuh berguling-guling." Beliau turut menyelar cara BAM menangani isu kejurulatihan sehingga dua jurulatih bertaraf dunia Rexy Mainaky dari Indonesia dan Yoo Yong-sung (Korea) meletak jawatan menjelang saingan Olimpik London, bulan depan.


"Pemergian Rexy dan Yong-sung adalah satu petanda buruk. Apa yang berlaku sebenarnya. Situasi ini berlaku ibarat api dalam sekam, siapa yang merancangnya kita tidak tahu, mereka bersembunyi," kata Elyas.

Ketika diminta pandangan mengenai alasan Nadzmi yang mendakwa berjaya membawa masuk banyak dana berbanding defisit kewangan ketika mengambil alih tampuk itu, bagi menutup kegagalan prestasi badminton negara, beliau berkata: "Tugas presiden adalah membelanjakan dana itu dengan cara terbaik bukannya mencari dana. Apa yang nak dibanggakan dengan adanya dana besar tapi tiada kejayaan.


"Mereka kata ada banyak wang tapi tiada program dan kejayaan, apa yang mereka buat, mereka tidur ke?." Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco BAM yang menggunakan alasan 'orang luar' dengki dan berniat mahu masuk ke dalam persatuan itu setiap kali kenyataan pedas membidas badan induk itu di dada akhbar, Elyas mendakwa itulah sifat negatif pemimpin yang tidak sepatutnya dibawa ke dalam pentadbiran persatuan.

"Nak jadi pemimpin, kita perlu berfikiran terbuka, mesti menerima kritikan. Kalau orang menegur dengan tujuan yang baik apa salahnya, jika mereka nak masuk sekalipun biarkan mereka masuk, jika presiden tidak suka nanti buang saja. Apa yang mereka amalkan kini tidak betul," kata Elyas.




War’s 15 cipta nama di Sabah

Posted: 05 Jun 2012 10:31 AM PDT

WAR'S 15 IBIG FC dari Sarawak mencipta nama di bumi Sabah apabila mengungguli Karnival Futsal Milo 2012 kategori Bawah 12 tahun selepas menumpaskan wakil tuan Sek Keb Sembulan A, 5-4 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 yang berlangsung di Suria Indoor Centre.

Skuad Last Minute FC dari Penampang dinobat selaku juara kategori Bawah 16 tahun menang tipis 2-1 ke atas Superior FC.


Juara peringkat negeri bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima RM800, pingat dan barangan Figos manakala naib juara menerima RM600, pingat dan barangan Figos.

Eksekutif Sampling & Acara Sukan Kawasan Sabah dan Brunei Nestle Products Sdn Bhd, Tan Wallace Welliam hadir menyaksikan kemeriahan seterusnya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.


Last Minute, Superior FC, War's 15 IBIG FC dan SK Sembulan A akan mengibar bendera Sabah beraksi ke peringkat Grand Final pada 16 September ini di Kompleks Futsal Sports Planet, Ampang.


Siri seterusnya karnival futsal akan berlangsung di Pahang pada Sabtu ini. Borang penyertaan boleh didapati dengan layari laman www.milo.com.my atau www.syoknyasukan.com atau boleh menghubungi Nik Muhd Radzi menerusi talian 019-3519934/019-2102442 dan Zack 019-9444334.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan