Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Padam rekod kegagalan

Posted: 13 Jun 2012 11:01 AM PDT

KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim enggan tenggelam dengan pujian biarpun mengukuhkan statusnya sebagai pakar sepakan percuma di negara ini menerusi ledakan dua gol bertaraf dunia dalam dua perlawanan persahabatan menentang Singapura.

Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan satu gol ketika Malaysia seri 2-2 di Stadium Jalan Besar Jumaat lalu sebelum menggamatkan Stadium Shah Alam, kelmarin dengan satu lagi sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada aksi timbal balik.


"Saya belum lagi layak bergelar pakar sepakan percuma, masih banyak perlu saya lakukan untuk meningkatkan teknik sepakan. Bukan mudah nak membuat sepakan yang tepat, kadang-kadang tidak menjadi dan saya perlu lakukan lebih banyak latihan.

"Tetapi, bagi saya kemenangan lebih penting semalam (kelmarin) berbanding gol yang saya hasilkan. Kemenangan ini amat istimewa buat kami dan ia pastinya memberi semangat kepada semua pemain dalam misi mempertahankan Piala AFF," katanya yang turut menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika Malaysia tumpas 6-3 kepada Liverpool pada aksi persahabatan Julai tahun lalu.


Menurut Safiq, kemenangan pertama ke atas Singapura dalam tempoh lapan tahun itu juga membuktikan Harimau Malaya semakin memperoleh semula aura kehebatan ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.


"Kem kali ini lebih lama berbanding sebelum ini dan kami mempunyai masa membentuk semula keserasian," katanya.

Tugasan menanti skuad negara adalah menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City pada 27 dan 30 Julai sebagai persiapan terakhir sebelum turun mempertahankan Piala Suzuki AFF di laman sendiri pada November ini.




Hodgson cabar pemain

Posted: 13 Jun 2012 10:56 AM PDT

KRAKOW (Poland): Roy Hodgson mencabar pemain England mempertajamkan serangan apabila turun menentang Sweden tapi yakin pasukannya lebih menyengat dengan kembalinya Wayne Rooney daripada penggantungan.

Pasukan England yang keletihan kembali pangkalan latihan di Krakow selepas cemerlang memastikan satu mata diraih daripada pasukan pilihan Kumpulan D, Perancis dengan keputusan seri 1-1.


Seperti dijangka, perancangan England berdasarkan keutuhan pertahanan menyaksikan penyerang berbahaya Perancis kerap dihadang benteng kebal Hodgson hampir keseluruhan permainan.

Hodgson tidak kisah pasukannya dikritik, termasuk oleh pemenang Piala Dunia dari Perancis, Marcel Desailly yang menyifatkan persembahan England lemah dan tidak bermaya, dan berharap anak buahnya menimbulkan lebih banyak masalah terhadap Sweden apabila kedua-dua pasukan bertemu awal pagi Sabtu ini.


"Sekali atau dua, terutama pada babak pertama, kami lancar serangan balas berkesan tapi tidak menghasilkan jaringan kerana kami cuba melakukan hantaran satu sentuhan meskipun sepatutnya cuba mengawal bola terlebih dulu.


"Perancis tidak bermain satu dua dengan banyak dalam kotak penalti. Mereka bermain dengan dua, tiga sentuhan serta mengawal bola." Hodgson mungkin menimbang bagaimana memperbaiki serangan England bagi aksi terakhir peringkat kumpulan apabila khidmat Rooney diperoleh.

Rooney mungkin memegang peranan sebagai penyerang kedua dengan Ashley Young diletakkan di sayap dan Danny Welbeck pula mengemudi bahagian serangan.


"Pemain utama kami sudah semestinya Rooney kerana dia cergas dan sedia untuk diturunkan," kata Hodgson. "Dia tidak sabar-sabar untuk beraksi dan jika boleh bermain seperti biasa, kami sukar untuk ditewaskan.

"Anda akan hanya mendapat manfaat daripada pemain berkualiti sepertinya dalam pasukan anda." Sementara itu, Hodgson mengaku cabaran terbesar England antara sekarang dan perlawanan dengan Sweden di Kiev adalah bagi memastikan pemainnya mendapat rehat mencukupi. - AFP




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan