Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


United lamar Kagawa

Posted:

United lamar Kagawa

United lamar Kagawa

AKSI hebat Kagawa ketika bersama Dortmund telah menarik perhatian Ferguson.


MANCHESTER, England – Pemain kebangsaan Jepun, Shinji Kagawa menjadi pemain pertama dibeli Manchester United pada musim panas ini selepas kelab gergasi Liga Perdana England itu mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan kelab lama pemain berkenaan, Borussia Dortmund.

"Manchester United dengan gembiranya mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Borussia Dortmund dan Shinji Kagawa mengenai perpindahannya ke Old Trafford," jelas satu kenyataan United semalam.

"Perjanjian akan bergantung kepada keputusan ujian perubatan pemain itu serta kelulusan permit kerjanya ke Britain. Semua syarat ini dijangka diselesaikan pada hujung Jun ini.

"Maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa tersebut."

Perpindahan itu diramal mencecah sekitar £12 juta (RM59.1 juta).

Pengurus United, Alex Ferguson dan pembantunya, Mike Phelan telah menyaksikan persembahan Kagawa ketika bintang Jepun itu menjaringkan satu gol serta mencipta satu lagi peluang jaringan ketika Dortmund mengalahkan Bayern Munich 5-2 pada final Piala Jerman sebelum ini.

Kagawa menyertai Dortmund daripada kelab Jepun, Cerezo Osaka pada 2010.

Dia telah menyumbang 21 gol dalam 49 penampilan Liga Jerman untuk Dortmund, sekali gus membantu kelab tersebut menjuarai gelaran liga dua musim berturut-turut.

Perancang berusia 23 tahun itu ketika ini dalam tugasan antarabangsa bersama Jepun dan turut memainkan peranan utama dalam kemenangan 3-0 ke atas Oman pada kelayakan Piala Dunia minggu lepas. – AFP

'Badminton negara tenat'

Posted:

'Badminton negara tenat'

'Badminton negara tenat'

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


BAM kurang memberi penekanan kepada program pembangunan ketika negara ketandusan pemain berwibawa - Elyas Omar.


SUKAN badminton negara berada dalam keadaan kritikal. Demikian jelas bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar semalam.

Elyas berkata, BAM perlu melakukan transformasi secara menyeluruh bagi meletakkan semula Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan badminton dunia.

Katanya, pucuk pimpinan dalam BAM juga perlu dirombak termasuklah kedudukan presiden badan induk itu, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

"Suatu ketika dahulu, kita berada dalam kelompok tiga negara yang mendominasi sukan badminton dunia selain China dan Indonesia.

"Namun, kini kita hanya menduduki ranking keenam dunia dan bagi saya, ia amat memalukan.

"Banyak yang perlu dilakukan BAM jika mahu melihat Malaysia kembali sebagai kuasa besar dunia dalam sukan badminton dan ia termasuklah dari aspek program pembangunan yang dianggap sangat penting," kata Elyas ketika ditemui pemberita di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Nadzmi selaku presiden, beliau menegaskan bahawa jawatan itu perlu diambil alih oleh 'orang baharu'.

Jelasnya, selepas 12 tahun menerajui BAM, Nadzmi sepatutnya sudah lama meletak jawatan kerana sukan badminton negara tidak menghasilkan kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa termasuklah gagal merampas kembali trofi Piala Thomas.

"Jika dalam saingan bola sepak Liga Perdana England kita akan lihat jurulatih-jurulatih akan dipecat sekiranya tewas dalam dua atau tiga perlawanan sahaja.

"Malah, ia bukan terjadi dalam bola sepak sahaja tetapi sukan-sukan di dunia yang lain juga menerapkan perkara yang sama.

"Begitupun, kita tidak ada budaya seperti ini di Malaysia. Ketika saya memegang jawatan selaku Presiden BAM dahulu, saya sendiri menetapkan tempoh enam tahun untuk membuktikan kemampuan.

"Malah, saya sendiri memberitahu bahawa saya akan letak jawatan jika skuad negara gagal merangkul trofi Piala Thomas 1992. Namun, syukur skuad negara berjaya melakukannya.

"Jadi, berilah peluang kepada orang baharu yang mempunyai idea yang lebih berkesan untuk menerajui BAM demi kemajuan sukan badminton negara," jelas Elyas.

Sebagai rekod, Elyas memikul tugas selaku Presiden BAM bermula pada 1985 hingga 1993.

Ketika BAM di bawah pimpinannya, skuad negara berjaya menjulang trofi Piala Thomas 1992 selepas menewaskan Indonesia pada aksi final di Kuala Lumpur.

Nadzmi pula mula menjawat jawatan Presiden BAM sejak tahun 2000 hingga kini.

Menurut Elyas, perkara paling penting yang perlu dilakukan BAM ketika ini bagi menyelamatkan semula maruah Malaysia ialah segera mewujudkan akademi badminton.

Beliau berkata, akademi badminton ini sangat penting bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Ketika saya menjadi presiden, saya telah berusaha untuk mendapatkan tanah bagi mewujudkan akademi badminton negara. Sayangnya, usaha saya itu tidak diteruskan apabila saya keluar daripada BAM.

"Bagi saya, akademi badminton ini sangat penting kerana kita boleh mengenal pasti bakat-bakat baharu, memberi tunjuk ajar kepada para pemain dan seterusnya menghantar mereka beraksi pada kejohanan antarabangsa.

"Daripada situlah kita boleh melahirkan ramai pemain bertaraf dunia," kata Elyas.

Harimau Malaya waspada

Posted:

Harimau Malaya waspada

Harimau Malaya waspada

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


PEMAIN negara perlu melupakan kekecewaan ketika aksi menentang Filipina minggu lalu sebaliknya kembali fokus untuk tampil lebih garang menghadapi Singapura, Jumaat ini.


LUPAKAN Filipina, waspada ancaman Singapura. Demikian mesej pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kepada pemain Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang skuad republik itu di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini.

Menurut beliau, kekecewaan sekadar seri tanpa jaringan dengan skuad The Azkal di Stadium Shah Alam minggu lepas harus segera dibuang jauh- jauh oleh setiap pemain.

Sebaliknya kata beliau, semangat untuk menang wajib dituntut daripada setiap pemain Harimau Malaya supaya tidak berputih mata Jumaat ini.

"Kami akan bermain untuk menang, tidak ada mana-mana pasukan di dunia yang mahu kalah meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan.

"Sebelum kita muncul juara Sukan SEA dan Piala AFF sebelum ini, tiada sesiapa pun yang memberikan 'resipi' kepada saya. Situasi itu jelas berbeza sekarang sedangkan kita rata-ratanya dibarisi pemain yang sama semasa muncul juara ketika itu.

"Harus diingat, matlamat asal kita adalah Piala Asia 2015, jadi apa jua keputusan sebelum itu merupakan satu proses pembelajaran," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Selepas aksi Jumaat ini, Malaysia bakal berdepan lawan yang sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF, November depan.

Untuk rekod, Malaysia tewas menerusi agregat 4-6 kepada Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Julai tahun lepas.

Mengulas lanjut, Rajagobal menjelaskan bahawa beliau belum dapat membayangkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Jumaat ini.

Buat masa ini katanya, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ashaari Shamsuddin belum pasti dapat diturunkan gara-gara masih dibelenggu kecederaan, mana- kala Aidil Zafuan Abdul Razak juga masih belum cergas sepenuhnya.

"Malah, saya juga mempercayai kredibiliti ketiga-tiga penjaga gol iaitu Mohd. Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat dan Sharbinee Alawee. Siapa yang akan diturunkan, kita tunggu dan lihat," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemarau gol peledak sensasi negara, Mohd. Safee Sali yang hanya akan menyertai skuad kebangsaan di Singapura hari ini Rajagobal menjelaskan: "Sebagai bekas penyerang, saya memahami kekecewaan Safee.

"Cuma saya harap, dia lebih tabah menghadapi situasi ini dan percaya akan kembali menemui semula sentuhan penyudahnya selepas ini."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan