Kosmo Online - Sukan |
Tiada jaminan secara automatik Posted: Tiada jaminan secara automatikOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
JANGAN cepat berasa selesa. Demikian peringatan jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kepada setiap pemain yang dipanggil menjalani latihan pemilihan bersama skuad kebangsaan selepas ini. Menurut beliau, setiap pemain perlu memiliki sikap bersaing secara sihat bagi merebut slot dalam skuad Harimau Malaya sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF, November depan. Meskipun disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad negeri masing-masing, ia bukan bermakna pemain tersebut dapat menyarung jersi negara dengan mudah. Sebagai contoh, katanya, persembahan cemerlang penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias semasa skuad negara seri tanpa jaringan ketika berdepan Filipina tempoh hari juga amat dipuji sekali gus memberikan saingan sihat kepada penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat. "Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya mahu sekurang-kurangnya tiga pemain terbaik dapat mengisi setiap posisi pasukan negara. "Saingan secara sihat ini dilihat dapat membantu membentuk pasukan yang kuat berdasarkan sasaran kita sebelum ini iaitu Piala Asia 2015," kata Rajagobal baru-baru ini. Malam ini, skuad negara bakal menguji skuad jiran, Singapura di Stadium Jalan Besar sebelum kembali berdepan lawan yang sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian dalam usaha memperbaiki ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan skuad negara terus terperosok ke tangga ke-154 kelmarin. Untuk rekod, skuad negara tewas menerusi agregat 4-6 kepada Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada Julai tahun lepas. Dalam perlawanan malam ini, Rajagobal dijangka menurunkan kesebelasan pemain yang sama ketika seri tanpa jaringan dengan Filipina minggu lepas meskipun dua tonggak pertahanan, Mohamad Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak dikhabarkan masih belum bebas sepenuhnya daripada kecederaan. Pemain sayap sensasi negara, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ashaari Shamsuddin begitupun terpaksa diketepikan malam ini gara-gara kecederaan lama yang kembali menghantui kedua-dua pemain tersebut. Dalam pada itu, Rajagobal turut mempertahankan senarai pemain yang dipanggil kali ini meskipun dikritik segelintir peminat yang kecewa dengan keputusan beliau mengenepikan pemain-pemain muda berbakat dari skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara yang dikendalikan Ong Kim Swee. "Perlu diingat, kedua-dua pasukan kebangsaan memiliki matlamat yang berbeza jadi saya tidak mahu mengganggu persiapan Kim Swee menjelang kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar hujung bulan ini. "Keputusan saya menyenaraikan Wan Zack dan Mohd. Fadhli kali ini pun kerana mereka menjalani penggantungan perlawanan, jadi ada baiknya mereka berdua menimba pengalaman bersama skuad senior," katanya. | |
Posted: Czech tagih sentuhan Baros
WARSAW, Poland - Permusuhan antara Republik Czech dan Rusia sudah tercetus sejak beberapa dekad yang lalu. Peristiwa kekejaman tentera Soviet yang menawan penduduk Warsaw di Czechoslovakia pada tahun 1968 tidak mungkin luput dalam ingatan rakyat Czech. Selepas beberapa tahun berlalu, Rusia dan Czech akan bertembung sekali lagi di Stadium Perbandaran Wroclaw awal pagi esok bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan A kempen Euro 2012. Perlawanan itu berlangsung beberapa jam selepas dua lagi pasukan dalam Kumpulan A iaitu Poland dan Greece bertemu di Stadium Nasional, Warsaw. Pengurus pasukan Czech, Vladimir Smicer menyimpan memori manis ketika beraksi pada Euro 1996. Beliau meledakkan gol pada minit-minit akhir untuk mengikat kedudukan seri 3-3 bagi membantu Czech melayakkan diri dan menyingkirkan Rusia sebelum menamatkan saingan selaku naib juara. Sekiranya Czech mahu menempah slot ke final pada Euro 2012, jurulatih Michal Bilek perlu memastikan penyerang, Milan Baros berada pada prestasi terbaik. Bintang Galatasaray itu mengalami kekejangan otot pada sesi latihan Selasa lalu dan bergelut untuk cergas bagi menghadapi aksi pembukaan menentang Rusia awal pagi esok. Bagaimanapun, ujian imbasan yang dilakukan kelmarin menunjukkan Baros, 30, yang meledakkan 41 gol di pentas antarabangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius. "Dia (Baros) tidak dapat menjalani latihan. Sekiranya dia bermain dan menjaringkan gol, ia adalah sesuatu yang baik," kata penjaga gol Czech, Petr Cech. Baros, Cech dan kapten, Tomas Rosicky yang baharu pulih daripada kecederaan betis merupakan barisan bintang muda skuad remaja Czech yang dibentuk semula selepas persaraan beberapa pemain veteran termasuk penjaring terbanyak, Jan Koller, pemain tengah, Pavel Nedved, Karel Poborsky dan Smicer. - Agensi | |
Posted: Poland, Greece pembuka tiraiSMUDA (dua dari kanan) bakal menjadi tumpuan pada aksi pembukaan Euro 2012 menentang Greece di Stadium Nasional, Warsaw tengah malam ini. WARSAW, Poland – Poland berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan pembukaan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 menentang Greece tengah malam ini. Selain membuktikan kehebatannya selaku penganjur Euro 2012 bersama Ukraine, Poland turut berazam untuk menghiburkan kira-kira 55,000 penyokong yang hadir di Stadium Nasional, Warsaw. Poland dan Greece sedar kemenangan pertama sangat penting dalam misi memburu slot ke peringkat kalah mati selepas diundi bersama Rusia dan Republik Czech dalam Kumpulan A. Untuk rekod, Poland tewas pada perlawanan pembukaan dalam tiga kejohanan utama yang disertai iaitu pada kempen Piala Dunia 2002 dan 2006 serta Euro 2008. Kekalahan kepada Greece tengah malam ini bakal mengundang padah buat skuad kendalian Franciszek Smuda itu. "Kami sangat memerlukan keputusan yang positif pada perlawanan pertama kerana ia akan meletakkan kami di landasan yang tepat dan memberikan keyakinan yang tinggi," kata pemain tengah Poland, Ludovic Obraniak. Poland meletakkan sandaran kepada trio pemain yang beraksi bersama juara Liga Jerman musim ini, Borussia Dortmund iaitu Robert Lewandowski, Jakub Blaszczykowski dan Lukasz Piszczek. Impian Poland untuk melepasi saingan di peringkat kumpulan bergantung kepada kehebatan pemain-pemain ini. Lewandowski yang menjaringkan 22 gol daripada 34 perlawanan bersama Dortmund musim ini akan mengemudi jentera serangan Poland. Kapten, Blaszczykowski menjadi 'arkitek' yang merencana bahagian tengah manakala Piszczek mengetuai benteng pertahanan pasukan itu. Bagaimanapun, Smuda bakal menjadi tumpuan selepas beliau berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap terutamanya selepas seri dengan Jerman, Mexico dan Portugal pada aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan