Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Percaturan sempurna Polo A

Posted: 01 Jul 2012 12:34 PM PDT

juara terbuka lelaki Oleh Aida Adilah Mat, Wan Noriza Meor Idris, Saiful Affendy Sapran, Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my

PASUKAN Polo A United membuktikan keunggulan apabila muncul juara Terbuka Lelaki pada Karnival Futsal Harian Metro Zon Selatan di Sports Prima, semalam.

Pada aksi final semalam, pasukan dari Kuala Lumpur itu menundukkan Yarl Sport Club menerusi sepakan penalti 5-4 selepas perlawanan berkesudahan seri 1-1 selepas tamat masa sebenar.


Dengan kemenangan itu, Polo A United membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala Yarl Sport Club terpaksa berpuas hati sebagai naib juara sekali gus membolot wang bernilai RM3,000.

Tempat ketiga pula milik ABY A yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.


Pengurus pasukan Polo A United, Zikrie Zakaria berkata, kemenangan di Zon Selatan semalam adalah sangat berharga kerana ia memenuhi sasaran mereka yang sememangnya mahu bergelar juara.


"Memang kami amat gembira selepas menempuh pelbagai dugaan termasuk kereta rosak dalam perjalanan untuk ke venue ini menyebabkan kami terlewat untuk hadir ke sini.

"Kemenangan ini juga amat bermakna kerana kami berjaya menewaskan Yarl Sport Club, lawan yang sering kami temui di kejohanan lain. Alhamdulillah segala-galanya memihak kepada kami." Bagi saingan Grand Final tidak lama lagi, Zikrie berkata, pasukannya meletakkan sasaran tinggi iaitu untuk muncul juara.


"Bukan kami mahu mendabik dada tapi sasaran tinggi ini diharap menaikkan semangat semua pemain. Apapun kami akan buat yang terbaik pada saingan Grand Final nanti." Selain Polo A United, Yarl Sport Club dan ABY A, lima lagi pasukan yang mengesahkan tempat ke Grand Final adalah OT Team, KSL Sport, MDKL, UD Team dan Santa FE.

Zon Selatan adalah edisi keempat Karnival Futsal Harian Metro tahun ini yang berjaya menarik ramai pengunjung memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.


‘Kami tak gentar’

Posted: 01 Jul 2012 12:20 PM PDT

TIADA istilah gentar buat pemain skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) apabila turun dengan misi wajib menang pada perlawanan terakhir Kumpulan G Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-22 2013 menentang Myanmar esok seandainya mahu merebut tiket ke final kejohanan itu tahun depan.

Dengan Myanmar bakal mendapat sokongan padu lebih 30,000 penyokong di Stadium Thuwunna, skuad negara kendalian Ong Kim Swee perlu mencari jalan untuk mengutip tiga mata penuh kerana impian Malaysia akan lebur andai seri atau kalah.


Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan mengumpul sembilan mata, satu mata di belakang Myanmar dan pendahulu Korea Selatan. Korea dijangka tidak berdepan masalah mengatasi Vietnam pada aksi terakhir bagi layak selaku juara manakala slot kedua bakal ditentukan skuad negara dan pasukan tuan rumah.

Bagi pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor, dia menaruh keyakinan tinggi pasukan negara mampu melepasi halangan getir itu meskipun Stadium Thuwunna setakat ini tidak memberikan tuah kepada mereka.


Beraksi di stadium itu, Malaysia kalah perlawanan pembukaan 2-3 kepada Korea namun menang tiga perlawanan berturut-turut ke atas Filipina 7-0, Taiwan (4-2) dan Vietnam (3-0) di Stadium Aung San.


"Mental semua pemain kini fokus kepada perlawanan dengan Myanmar. Ini perlawanan sukar kerana Myanmar juga pasti akan bermain habis-habisan untuk layak ke final tahun depan.

"Memang mereka akan mendapat kelebihan bermain di depan ribuan penyokong sendiri tapi pemain negara juga mempunyai pengalaman hebat berdepan penyokong Indonesia pada Sukan Sea tahun lalu. Jika kami bermain dengan cara permainan kami, InsyaAllah kemenangan boleh dicapai," katanya yang dihubungi Arena Metro di Yangon semalam.


Selepas digantung tiga perlawanan awal, Wan Zack, 21, kembali diturunkan pada perlawanan menentang Vietnam kelmarin. Biarpun mengaku belum mencapai tahap prestasi sebenar berikutan rehat yang panjang, pemain Harimau Muda A itu tetap mencipta impak dengan mencipta gerakan gol pertama Rozaimi Abd Rahman.

"Saya tidak puas hati kerana boleh memberi sumbangan lebih daripada itu," katanya yang menyumbat dua gol ketika membantu skuad kebangsaan menewaskan Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan April lalu.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen