Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Saya mahu rehat’

Posted: 05 Jul 2012 01:36 PM PDT

JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Ong Kim Swee menafikan beliau akan meletakkan jawatan dan menyifatkan berita yang timbul selepas kegagalan pasukannya di Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon itu sekadar spekulasi.

Beliau yang terkejut dengan berita yang tersebar luas di laman sosial menyatakan mahu berehat seketika sebelum memikirkan hala tuju pasukan muda yang dibentuknya itu.


"Bagi saya berita itu tidak benar, ia hanyalah spekulasi. Buat masa ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga. Mungkin selepas dua tiga hari saya akan kembali merancang mengenai pasukan muda ini.

"Pasukan ini dibentuk untuk melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan dan sasaran itu tidak berjaya, jadi saya perlu tahu apakah hala tuju pasukan selepas ini," katanya.


Malaysia gagal merebut slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-22 tahun depan selepas tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G Selasa lalu. Myanmar yang menamatkan kempen di tangga kedua mengiringi juara kumpulan Korea Selatan ke pusingan seterusnya.


Ketika ditanya mengenai bantahan rasmi terhadap pasukan Myanmar kerana menurunkan pemain lebih umur, jurulatih berusia 41 tahun kelahiran Melaka itu menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat tindakan.

Laporan bantahan pertama sudah dihantar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebaik tamat perlawanan dengan Myanmar namun FAM perlu membuat laporan bantahan rasmi kedua dalam tempoh 48 jam selepas tamat perlawanan itu.


Jika benar Kim Swee membuat tindakan drastik mahu melepaskan jawatan itu, ia satu kerugian besar buat negara memandangkan beliau dianggap 'pencari bakat' terbaik di kalangan jurulatih tempatan.

Selain membawa skuad Olimpik negara berada di kalangan 12 pasukan terbaik Asia apabila layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London dan menjuarai pingat emas Sukan Sea tahun lalu, beliau juga berjaya mencungkil ramai bakat baru.


Kim Swee antara watak penting yang mengetengahkan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada Sukan Sea sehingga berjaya mendapat kontrak bersama kelab Portugal SC Beira-Mar. Selain itu dua lagi pemain Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria bakal menjalani percubaan dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu dalam tempoh terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


‘Usah beri alasan’

Posted: 05 Jul 2012 01:28 PM PDT

TIADA alasan bagi atlet negara untuk gagal mempamerkan aksi terbaik pada Sukan Olimpik di London yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini kerana sudah menjalani persiapan dan pendedahan yang terbaik.

Menurut Pengarah Cawangan Elit Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Mohd Ghani, pihaknya tidak pernah membeza-bezakan persiapan sebarang jenis sukan yang terbabit dengan program Road To London 2012 apabila memberikan persediaan yang secukupnya kepada atlet yang berkenaan bagi menyertai temasya sukan terbesar dunia itu, termasuk latihan di luar negara.


"Memang harapan kontinjen negara untuk memenangi pingat emas adalah menerusi empat jenis sukan iaitu badminton, berbasikal, terjun serta memanah namun MSN juga tidak menafikan keperluan dan kehendak sukan lain.

"Contohnya, atlet tunggal lawan pedang negara, Yu Peng Ke turut mendapat pendedahan latihan di Guangzhou, China seperti yang diperoleh atlet terjun negara yang menjalani latihan pusat di republik itu," katanya.


Kontinjen negara dijangka disertai 30 atlet yang diketuai chef-de-mission, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dijadualkan bersaing dalam badminton, berbasikal, terjun dan renang, memanah, menembak, pelayaran, lawan pedang selain olahraga yang dijadualkan mendapat dua tempat wild card.


"Selain empat jenis sukan yang menjadi sandaran, MSN menaruh harapan supaya atlet dalam sukan lain menggunakan peluang (di Olimpik) untuk mempamerkan prestasi yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan sekurang-kurangnya mampu memecahkan rekod peribadi. Ia juga menjadi landasan terbaik kepada mereka bagi menghadapi Sukan Sea 2013 dan Sukan Asia 2014," katanya.

Mengenai peluang terbaik kontinjen negara meraih pingat emas, Ariffin menjelaskan segala-galanya bergantung kepada keadaan atlet terbabit ketika pertandingan berlangsung.


"Kita tidak bolehkan katakan hanya Datuk Lee Chong Wei saja mampu (memenangi emas) kerana terjun, berbasikal serta memanah juga berpeluang untuk memberikan kejutan selepas membuat persiapan yang rapi. Contohnya, Azizulhasni juga berpeluang kerana acara keirin hanya disertai seorang peserta dari sebuah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan