Kosmo Online - Sukan |
Posted: Myanmar senyum lebarOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AKHIRNYA skuad 'muda' bola sepak Myanmar dapat menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk tidak menghantar bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung kontroversi skuad bawah 22 tahun Myanmar yang didakwa menggunakan pemain melebihi had umur. Terdahulu, impian Harimau Muda untuk mara ke pusingan akhir Piala AFC bawah 22 tahun (B-22) tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada skuad B-22 Myanmar pada aksi terakhir pusingan kelayakan peringkat Kumpulan G. Penyerang 'muda' Myanmar, Kaung Si Thu yang menjaringkan dua gol ketika menentang skuad negara menimbulkan persoalan apabila dia yang disyaki berusia 25 tahun bersama dua rakan sepasukan, Kyaw Zayar Win (24) dan Kyi Lin (22) didakwa melebihi usia yang ditetapkan pada kejohanan tersebut. Meskipun skuad negara telah membuat bantahan selepas tamat perlawanan di Yangon, namun FAM memutuskan untuk tidak meneruskan bantahan rasmi kedua kepada AFC dalam masa 48 jam selepas perlawanan tersebut. Kini, skuad B-22 Myanmar mara secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC 2013 yang dijangka dihoskan oleh Oman atau Thailand. Mengulas lebih lanjut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengumumkan bahawa FAM tidak akan membuat bantahan rasmi kedua kepada pihak AFC selepas mendapati bukti yang diterima tidak kukuh terhadap tiga pemain yang didakwa melebihi had umur itu. Azzuddin menjelaskan, bantahan rasmi itu bakal memberikan kesan terhadap imej FAM sekiranya tidak memiliki bukti yang kukuh termasuk bukti daripada media mahupun pihak ketiga. "Saya mengesahkan bahawa skuad negara telah pun menghantar surat bantahan awal. "Semalam (kelmarin), AFC telah memaklumkan kepada FAM yang mereka telah menerima surat bantahan dan memberi garis panduan kepada kami tentang apa yang selanjutnya patut dilakukan. "Pihak FAM telah membuat siasatan secara terperinci dan kami juga telah menerima data-data daripada banyak sumber termasuk AFC. "FAM juga berhati-hati agar perkara ini tidak memberi implikasi yang tidak baik kepada imej dan hubungan Malaysia dengan negara ASEAN," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam. Tambahnya, AFC tidak mengambil kira bukti melalui laman web yang tidak diakui oleh mereka kerana laman web boleh diubah atau digodam. Katanya, maklumat dan data rasmi yang diguna oleh AFC adalah berdasarkan dokumen rasmi seperti pasport pemain yang telah didaftarkan kepada AFC. "Sukan Asia, Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF tidak jatuh di bawah AFC. Ini bermakna data-data dalam pendaftaran Sukan SEA, Sukan Asia dan AFF adalah di luar rujukan AFC. "Bukti yang diberi oleh media daripada laman web juga tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti kerana AFC tidak akui bukti seperti itu. "Kami hanya boleh menggunakan dokumen rasmi yang dihantar oleh kerajaan Myanmar kepada AFC dan tidak menjadi amalan AFC atau FAM untuk mempersoalkan kesahihan dokumen yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Myanmar atau mana-mana kerajaan," katanya. FAM juga telah mendedahkan dokumen peribadi pemain-pemain yang didakwa terlebih umur dan menurut Azzuddin, kapten skuad B-22 Myanmar, Kyaw Zayar Win mempunyai nama yang sama dengan pemain yang lebih tua daripadanya. "Pemain-pemain ini mempunyai nama yang sama tetapi mereka adalah dua orang yang berlainan berdasarkan paras rupa dan dokumen rasmi kerajaan Myanmar." | |
Posted: Sarawak juara taekwondoSKUAD taekwondo Sarawak muncul juara keseluruhan acara tersebut pada Sukma ke-15 semalam. SARAWAK dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara taekwando pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 dengan memungut empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada hari terakhir acara tersebut di Kuantan semalam. Sarawak mengatasi pencabar utama Terengganu dengan kelebihan satu pingat perak. Terengganu berada di tempat kedua dengan empat emas, satu perak dan dua gangsa manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan Selangor dengan tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa. Presiden Persatuan Taekwando Negeri Sarawak, Mohd. Salleh Sani berkata, kejayaan skuad Sarawak ini adalah hasil usaha dan kerja keras semua ahli kontinjen sejak daripada awal pertandingan lagi. "Kalau kita berkerja keras pasti ada kejayaan di hujungnya, berdasarkan kepercayaan tersebut saya yakin kontinjen Sarawak mampu mengekalkan kejuaraan pada edisi Sukma berikutnya," katanya. | |
Posted: Terengganu bermaharajalelaOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE AKSI antara Terengganu (jersi putih) dengan Sarawak pada perlawanan Kumpulan A di padang Majlis Perbandaran Kuantan semalam yang berkesudahan Terengganu menang 6-1. JUARA bertahan, Terengganu kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar apabila 'mengerjakan' Sarawak 6-1 pada aksi kedua acara bola sepak Kumpulan A, Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang semalam. Duka dikejutkan tuan rumah, Pahang 0-3 pada perlawanan pembukaan Rabu lepas telah dibuang jauh-jauh oleh Sang Penyu sekali gus menghidupkan semula peluang mereka menyambar slot suku akhir. Pada aksi di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu, gol-gol Terengganu diledak oleh Mohd. Fahmi Izzudin Mohd. Zaki (dua gol), Mohd. Faidzol Fazreen Shamsuddin, Ahmad Takhiyuddin Roslan, Muhammad Amirul Syahmi Ash'ari dan kapten pasukan, Muhammad Fakhrurazi Musa sementara gol saguhati Sarawak dilakar oleh Maxwell Boly Uchigol. "Kami turun dengan moral yang lebih tinggi bagi menebus kekalahan terhadap Pahang selain untuk memastikan Terengganu akan mempertahankan kejuaraan," kata Muhammad Fakhrurazi. Menurutnya, Sang Penyu juga tidak boleh leka dan harus sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan meskipun menentang pasukan bukan pilihan. "Semua pasukan kami anggap hebat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Terengganu," katanya. Dalam pada itu, Pahang seolah-olah sudah 'meletakkan kaki' ke suku akhir apabila menjinakkan Pulau Pinang 2-1 dalam satu lagi aksi kumpulan semalam. Begitupun jurulatih Tok Gajah, Bahazenan Osman masih belum berpuas hati dengan kemenangan tersebut biarpun skuadnya menerajui kumpulan dengan enam mata maksimum setakat ini. "Saya kurang berpuas hati dengan prestasi pemain saya (semalam). "Mungkin, mereka agak tertekan sehingga banyak melakukan kesilapan. "Tidak mustahil saya merombak barisan pemain dalam perlawanan selepas ini, tetapi saya tidak mahu pemain cepat selesa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan