Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Che Mat enggan undur

Posted: 30 Sep 2012 09:27 AM PDT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh menegaskan tidak akan berundur walaupun didesak melepaskan jawatan.

Malah, beliau akan tetap meneruskan tanggungjawabnya sebagai presiden dan akan berusaha melakukan penambahbaikkan kepada persatuan itu dan pasukan bola sepak Terengganu, demi kemajuan sukan itu.

"Saya tidak mahu berkelahi dengan sesiapa, yang penting macam mana kita hendak naik semua pasukan dalam Liga Super musim depan," katanya.

Kelmarin, kira-kira 500 orang penyokong setia Sang Penyu mengadakan perhimpunan secara aman di Dataran Pantai Batu Buruk bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap PBSNT.

Mereka mendesak kepimpinan PBSNT dirombak dan ditukar dengan muka baharu.

Sebelum ini, penyokong itu turut mengadakan kempen bagi mendesak pengunduran Che Mat dengan menampal poster gambar beliau di merata-rata tempat, yang ditulis perkataan ABC yang membawa maksud, 'Asal Bukan Che Mat'. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


CKJ kian menyengat

Posted: 30 Sep 2012 09:21 AM PDT

PASUKAN CKJ Yamaha Racing yakin dua pelumbanya, Mohd Shariffudin Shamsuddin dan Ahmad Afif Amran mampu meneruskan rentak cemerlang dalam saingan kategori CP115 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Hang Jebat, Melaka hujung minggu ini.

Pada pusingan lepas, Shariffudin dan Afif mengejutkan ramai pihak apabila berjaya mencatat kemenangan satu-dua di litar teknikal Kluang, sekaligus memperbaiki aksi yang kurang konsisten sepanjang saingan musim 2012 ini.


Pengurus pasukan, Che Ku Junaidi menjelaskan kedua-dua pelumba itu semakin bersemangat menghadapi perlumbaan selepas menyertai Kem Motivasi anjuran Hong Leong Yamaha Malaysia Sdn Bhd di Genting Highland pada 12 dan 13 September lalu.

"Shariffudin dan Afif menunjukkan peningkatan ketara ketika beraksi di Klang (Pusingan 7) berbanding enam pusingan sebelum itu. Mereka lebih komited dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mencari kemenangan selepas menyertai kem motivasi Yamaha.


"Malah, tahap disiplin mereka turut tinggi. Mereka lebih rajin melakukan latihan kecergasan, tunggangan serta lebih memahami aspek teknikal jentera. Ini satu perkembangan cukup positif dan saya yakin mereka berupaya mengulangi kejayaan serupa di Melaka nanti," jelasnya.


Apabila ditanya adakah kru pasukan melakukan perubahan ketara pada enjin yang membantu pelumba mereka mencatat kejayaan di Kluang, Che Ku Junaidi berkata: "Mekanik pasukan sentiasa melakukan perubahan pada jentera bergantung kepada litar.

"Namun tiada perubahan besar dilakukan pada perlumbaan lepas dan saya rasa keberkesanan jentera bukannya satu-satunya faktor kenapa pelumba kami dapat beraksi dengan cemerlang." "Jika diperhatikan secara dekat, catatan masa Shariffudin dan Afif tidak begitu jauh dengan pelumba CP115 yang lain. Sebaliknya kebolehan mereka memberikan input bagaimana jentera bertindak di atas litar banyak membantu mereka. Ini kerana ia dapat membantu mekanik pasukan mengenal-pasti aspek jentera yang perlu ditingkatkan." Bercakap mengenai harapan pasukan menjelang perlumbaan di Melaka hujung minggu ini, Che Ku Junaidi memengakui ia pastinya mencabar.


Berbanding Kluang yang menitik-beratkan sistem gear, litar Melaka lebih fokus pada ketahanan enjin kerana memandangkan terdapat laluan lurus yang panjang.

"Walapun sukar, saya yakin kru pasukan boleh melaraskan jentera yang mantap dengan kebolehan Shariffudin dan Afif memberi input teknikal.


"Pada masa yang sama,, saya tidak rasakan ia begitu mudah untuk mereka mencatat kejayaan satu-dua seperti di Kluang kerana di Melaka, terdapat banyak ruang untuk memintas. "Dengan itu, kami hanya berharap mereka boleh menghabiskan perlumbaan di atas podium ataupun di kalangan lima pelumba terbaik," katanya.


Kemenangan di Kluang meletakkan Shariffudin di kedudukan kelima keseluruhan dengan catatan 70 mata manakala Afif di tangga kesepuluh, 52 mata. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas yntium Moto Yamaha AHM) mengetuai carta dengan 101 mata diikuti Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing), kedua dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui), ketiga, 93 mata dan 88 mata masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan