Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Misi pulih reputasi

Posted: 15 Oct 2012 03:06 PM PDT

SELEPAS semangat Harimau Malaya direntap dengan kekalahan 0-2 di tangan seteru Asia Tenggara, Vietnam pada aksi persahabatan antarabangsa bulan lalu, kini ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal perlu mencari formula terbaik untuk memulihkan semula semangat yang hilang itu.

Berbaki kurang dua bulan sebelum sepak mula kejohanan Piala Suzuki AFF, kemenangan perlu diburu skuad kebangsaan bagi menyuntik keyakinan mereka kini berada di landasan tepat bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.


Peluang terbaik adalah dengan menjadikan Hong Kong pada perlawanan persahabatan di Stadium Mongkok, malam ini mangsa kebangkitan mereka biarpun Rajagobal seperti biasa awal-awal lagi menyatakan pertemuan dengan skuad kendalian Ernie Merrick adalah untuk menguji pemain.

Sekalipun mahu terus melakukan eksperimen, keputusan juga perlu diambil kira memandangkan kedudukan Malaysia dalam ranking Fifa menjunam ke tangga ke-162 baru-baru ini berikutan kekalahan kepada Vietnam.


Rajagobal tanpa pemain Kelantan dan ATM yang bakal berentap pada final Piala Malaysia Sabtu ini seharusnya tiada alasan untuk tidak mempamerkan permainan menarik kerana skuadnya masih lagi mempunyai pemain berwibawa termasuk penyerang Mohd Safee Sali yang pada saat akhir diputuskan bebas daripada penggantungan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).


Bagaimanapun mungkin salah satu masalah yang membelenggu fikiran pengendali negara itu adalah tahap kecederaan dialami kapten, Mohd Safiq Rahim.

Pemain perancang itu mengalami kecederaan buku lali kanan ketika Selangor tersingkir pada separuh akhir kedua Piala Malaysia Sabtu lalu namun turut dibawa Rajagobal ke Hong Kong.


Kehadiran Safiq amat penting menjana bahagian tengah selain mempunyai kepakaran mengambil sepakan percuma. Malah pemain yang dikhabarkan akan berpindah ke kelab Indonesia, Arema Malang itu juga menjadi kapten dan menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan Hong Kong 2-0 pada pertemuan terakhir di Stadium Shah Alam, Februari tahun lalu.

"Buku lali kanan masih sakit tapi saya tetap mahu beraksi dalam perlawanan ini. Saya harap dapat pulih sebab sudah lama saya tidak bermain dengan pasukan kebangsaan.


"Jika diturunkan saya mahu memberikan aksi terbaik dan saya yakin akan pulih kerana kecederaan ini tidak serius," kata Safiq.


Andai Safiq tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, lilitan di lengan mungkin dipakai Safee manakala tempatnya di bahagian tengah bakal diisi Baddrol Bakhtiar atau Gary Steven Robbart.


Skuad negara harus waspada dengan ancaman Hong Kong biarpun hanya mempunyai empat perlawanan persahabatan tahun ini dengan dua kemenangan ke atas Taiwan, 5-1 dan Singapura, 1-0 sebelum tewas dalam dua aksi terakhir kepada Vietnam, 1-2 dan Singapura, 0-2.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Vettel optimis

Posted: 15 Oct 2012 03:01 PM PDT

YEONGAM (Korea Selatan): Juara bertahan, Sebastian Vettel berdepan empat perlumbaan terakhir musim menyedari dia memiliki momentum dan tuah menyebelahinya selepas kemenangan menakjubkan di Korea Selatan.

Pemandu Red Bull itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut kelmarin sekali gus menyingkirkan pemandu Ferrari, Fernando Alonso di carta teratas kedudukan pemandu dalam pertarungan dua penjuru merebut kejuaraan.


Gandingan McLaren, Lewis Hamilton dan Jenson Button yang turut mencabar kejuaraan, mengalami hujung minggu mengecewakan di Yeongam. Hamilton menduduki tangga ke-10 manakala rakan senegaranya dari Britain tersingkir daripada perlumbaan selepas berlanggar dengan Kamui Kobayashi.

Hamilton dan Button, kedua-duanya bekas juara dunia, mengaku buruan merebut kejuaraan sudah berakhir. Kimi Raikkonen dari Lotus menduduki tangga ketiga dalam kedudukan pemandu namun terlalu jauh ketinggalan. Vettel, yang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut, mendahului carta dengan 215 mata, Alonso dari Sepanyol, 209 dan Raikkonen, 167. Perlumbaan Grand Prix berikutnya di India dua minggu lagi.


"Pencapaian kami tidak konsisten pada awal musim tapi akhirnya kami menemui semula kekuatan dan sejak perlumbaan di Singapura, semuanya menjadi," kata Vettel dari Jerman, selepas dia dan Mark Webber membantu kemenangan 1-2 Red Bull di Korea Selatan.


"Hari ini pasukan melakukan semua perkara dengan tepat dan jika saya tidak melakukan sesuatu yang bodoh, kami pasti mahu meneruskan rentak ini." Perlumbaan di Singapura bulan lalu memulakan rentetan kemenangan buat Vettel yang menyaksikannya merapatkan kedudukan dengan Alonso sebelum mengatasinya kelmarin. Alonso menduduki tangga ketiga pada perlumbaan itu manakala rakan sepasukan, Felipe Massa di tangga keempat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen