Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM mula bertegas

Posted: 07 Oct 2012 09:24 AM PDT

SEBANYAK 10 pasukan dan kelab yang mempunyai tunggakan berjumlah RM2.1 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdepan tindakan pemotongan sebarang peruntukan yang disalurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia diluluskan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan presidennya, Sultan Ahmad Shah yang jelas terkilan kerana ia membabitkan kebajikan pemain yang boleh mengundang rasa tidak puas hari sehingga mencetuskan gejala yang tidak sihat.


Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata mulai sekarang sebarang peruntukan kewangan yang diberikan badan induk bola sepak negara seperti insentif, wang kemenangan, geran tahunan, kutipan wang tiket perlawanan dan sebagainya akan digunakan untuk membayar terus kepada badan-badan yang berwajib seperti KWSP.

"Kami bukan membuat langkah ini untuk menghukum namun lebih kepada menjadi imej FAM dan persatuan negeri serta kelab namun terlebih dulu surat amaran dan peringatan akan diberikan kepada mereka yang terbabit," katanya yang turut menjelaskan jumlah tunggakan pada tiga tahun lalu adalah RM11.2 juta.


FAM turut membuat pusingan 'U' apabila menetapkan jumlah pasukan bersaing Piala Malaysia 2013 hingga 2016 turut dikekalkan kepada 16 pasukan walaupun sebelum ini mengumumkan ia membuka kepada semua 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Perdana.


Hamidin turut mengulangi amaran kepada mana-mana pasukan yang masih mempunyai masalah tunggakan gaji tidak akan dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan seandainya gagal menyelesaikannya menjelang 23 November yang menjadi tarikh akhir pendaftaran pasukan.

Difahamkan terdapat dua atau tiga kes masih belum diselesaikan sehingga kini dengan lima kes sudah berjaya diselesaikan.


Pemain import yang menghiasi kancah bola sepak tempatan musim ini turut berpeluang terus beraksi di negara ini apabila FAM memutuskan untuk menghapuskan 'cooling period' namun kuota awang import masih dikekalkan kepada dua pemain serta empat pemain untuk pasukan yang beraksi di Piala AFC.

"Mereka perlu mematuhi segala syarat ditetapkan seperti pemain yang berasal dari benua Asia dan Oceania mestilah beraksi di liga utama negara terbabit," katanya.


Antara keputusan lain yang diambil ialah penolong jurulatih mesti mempunyai lesen A, lampu stadium yang perlu mencapai 1000 lux bermula musim depan, saingan musim 2014 akan berlangsung dalam bulan puasa selain saingan Piala Pestabola Merdeka akan berlangsung pada 19 hingga 31 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Ogheneme kunci kejayaan HELP

Posted: 07 Oct 2012 09:11 AM PDT

PENGALAMAN selaku pemain skuad remaja kebangsaan Nigeria digunakan sebaik mungkin oleh Michael Ogheneme bagi membantu pasukan Universiti HELP muncul juara Karnival Bola Keranjang 3 on 3 merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang melabuhkan tirainya di Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

Ogheneme, 27, yang juga kapten pasukan berkata formula kejayaan mereka adalah semangat berpasukan tinggi yang dipamerkan setiap pemain.


"Bola keranjang adalah sukan yang memerlukan semangat berpasukan. Saya yakin itulah yang membantu kami muncul juara. Kami sentiasa mengutamakan semangat berpasukan dan saling membentuk persefahaman utuh di kalangan ahli pasukan.

"Semangat sebegini adalah elemen paling penting dalam sukan bola keranjang," katanya.


Ogheneme yang mula bermain bola keranjang sejak berusia 16 tahun berkata, mereka menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lalu sebaik mengesahkan penyertaan ke kejohanan itu.


"Kami menjalani sejak berbulan lalu tetapi mula serius dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum kejohanan dan hasilnya boleh dilihat hari ini," katanya selepas menewaskan Universiti Taylor pada perlawanan akhir 12-7.

Tempat ketiga dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM) yang menundukkan Universiti Malaya (UM).


Bagi kategori wanita IPT, juara dimenangi Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menundukkan Universiti HELP manakala Universiti Taylor memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Kolej Tuanku Abdul Rahman.

Juara bagi kategori IPT membawa pulang wang tunai RM2,500, piala iringan dan medal manakala naib juara RM1,500, piala iringan dan medal. Tempat ketiga RM1,000, piala iringan dan medal.


Kategori sekolah menengah lelaki dikuasai SMK Tanah Putih A selepas menewaskan SMK Tanah Putih B, manakala SMK Air Putih menduduki tangga ketiga diikuti SMK Kuala Krau.


Juara kategori perempuan pula diungguli SMK Air Putih, naib juara SMK Semambu, diikuti Kolej Tunku Khursiah, ketiga dan SM Sains Pasir Putihm keempat.


Juara bagi kategori sekolah menengah membawa pulang wang tunai RM1,500, piala iringan dan medal manakala naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM750.


Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, pihaknya gembira dengan penyertaan semua IPT dan sekolah menengah pada kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan