Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiada belas kasihan

Posted:

Tiada belas kasihan

ATM bertekad menyekat kemaraan Kelantan pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam esok.


TIADA belas kasihan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bedil Kelantan habis-habisan.Jika ia berhasil, Kelantan boleh melupakan impian untuk muncul juara trebel dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

ATM pula mahu membuktikan bahawa mereka bukan pasukan yang boleh dipandang mudah oleh lawan, justeru mereka mahu membuktikannya pada final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam malam esok.

Penjaga gol ATM, Farizal Harun sudah bersedia untuk tugasan penting itu dan dia tidak akan membiarkan lawan meloloskan diri.

Bagi merealisasikan hajat besar mereka itu, Farizal menuntut rakan-rakan sepasukan agar menyelesaikan perlawanan dalam tempoh 90 minit sekali gus menjulang piala berprestij itu dengan penuh bergaya.

Farizal menjelaskan, dia yakin dengan pengalaman beraksi sebanyak empat kali menentang juara Liga Super itu, ia bakal dijadikan satu pengajaran berguna buat skuad kendalian B. Sathianathan itu pada musim ini.

"Kami sudah bertemu empat kali dengan Kelantan termasuk dua kali di peringkat Kumpulan B Piala Malaysia dan perlawanan persahabatan.

"Kali terakhir (ketika menentang Kelantan), kami tewas 3-4 kepada mereka di Stadium Sultan Muhammad IV pada saingan peringkat kumpulan," katanya.

Farizal ditemui ketika bersama skuad bola sepak ATM menziarahi bekas pemain Selangor, Ezmi Md. Jan yang menghidap barah hidung di Kampung Sentosa Batang Kali, Hulu Selangor semalam.

Tambahnya, pemain kelahiran Negeri Sembilan itu juga menyifatkan The Red Warriors dilihat memiliki kelebihan sekiranya perlawanan akhir Piala Malaysia tersebut diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Jelasnya, kekuatan mental bakal menjadi penentu kepada kedua-dua pasukan sekiranya perlawanan terikat sehingga ke masa tambahan.

"Ramai mengetahui, Kelantan memiliki penjaga gol terbaik negara, Khairul Fahmi Che Mat dan pendapat saya, sepakan penalti dilihat memberi kelebihan kepada mereka.

"Apa pun, kami telah bersedia dengan menjalani latihan tambahan dan sekiranya kami terpaksa beraksi sehingga ke penentuan sepakan penalti, saya berjanji akan menampilkan aksi terbaik.

"Kalau boleh, kami nak selesaikan perlawanan itu kelak dalam tempoh 90 minit," katanya.

Peluang Kelantan cipta trebel

Posted:

Peluang Kelantan cipta trebel

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

FINAL Piala Malaysia, Sabtu ini merupakan peluang terbaik buat pemain Kelantan (jersi putih) untuk mencipta kejayaan trebel.


KELANTAN kini berada di landasan yang cukup baik untuk merangkul piala ketiga dalam misi mereka mencipta sejarah sukan bola sepak negeri itu, sekali gus melengkapkan gelaran trebel musim ini.

Skuad yang mendapat jolokan The Red Warriors itu akan turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam malam esok.

Bagi ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, pasukannya kini berada dalam keadaan bersedia tanpa sebarang kecederaan mahupun masalah fizikal dan mental kecuali penggantungan dua tonggak utamanya, Norfarhan Muhammad dan Mohammed Ghaddar.

Menurutnya, semua pemainnya kini bekerja keras dan mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan dalam sesi latihan bagi mencuri tempat dalam kesebelasan utama namun, beliau hanya mampu untuk memilih 11 pemain sahaja.

"Semuanya memeningkan saya tetapi saya gembira apabila mereka memperlihatkan kesungguhan untuk beraksi. Sudah tentu semua pemain mahu dipilih untuk beraksi pada pentas perlawanan akhir ini dan ia begitu mengujakan saya.

"Bagi dua pemain yang akan menggantikan Norfarhan dan Mohammed Ghaddar, salah seorang daripadanya mungkin Piya (Badri Radzi) tetapi seorang lagi masih belum ada dalam kepala saya.

"Bergantung kepada ilham yang saya akan dapat ataupun persembahan pemain yang memikat hati saya nanti. Mungkin anda boleh tanya saya pukul 12 tengah hari Sabtu ini," katanya berseloroh.

Mengulas lanjut mengenai ketiadaan dua tonggak utamanya, Hodak tanpa berselindung menjelaskan, beliau agak terasa kehilangan Norfarhan yang menjadi penjaring terbanyak Kelantan dengan lima gol pada kempen Piala Malaysia musim ini berbanding Mohammed Ghaddar.

"Dalam dua pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini, kita seri dan menang. Ghaddar hanya beraksi 45 minit sahaja dan kita berjaya bermain tanpa sebarang kekurangan. Cuma kehilangan Norfarhan agak dirasai kerana dia penjaring terbanyak kita pada kempen Piala Malaysia," ujarnya.

Hodak bagaimanapun sedar, keyakinan yang melampau hanya akan memakan diri sambil menyedari bahawa kekuatan ATM tidak boleh dipandang remeh terutama ketika pasukan tersebut kini sedang ghairah untuk memburu kejuaraan bagi menambah reputasi mereka yang akan beraksi pada Liga Super musim depan.

"Saya selalu beritahu, ATM mempunyai jurulatih yang hebat, skuad yang mantap, lima pemain kebangsaan dan dua pemain import yang menakjubkan. Anda boleh lihat dalam saingan peringkat kumpulan, selain ATM kita berada dalam 'kumpulan maut' bersama Kedah dan Terengganu.

"Seperti juga Terengganu dan Selangor, mereka adalah pasukan yang hebat, memiliki pemain yang mempunyai teknik yang baik tetapi akhirnya ATM dan Kelantan beraksi pada perlawanan akhir. Peluang 50-50 buat masa ini dan kita mengharapkan sokongan peminat membantu menaikkan semangat," jelasnya.

Ditanya mengenai ketajaman gandingan Marlon Alex James dan Hairuddin Omar, Hodak tidak menafikan yang kedua-dua mereka bakal menjadi pemusnah sekiranya dibiarkan bebas bergerak di kawasan kotak penalti.

"Marlon menjaringkan banyak gol, sudah tentu dia memberikan masalah dan Hairuddin merupakan pemain yang saya minati. Ketika bersama UPB-MyTeam lagi saya cuba mendapatkannya tetapi dia sering mempunyai kontrak dengan pasukan lain.

"Bagi saya pemain yang bahaya dan orang tidak menyedarinya adalah Bruno Martelotto kerana jika anda ingat ketika kita menang 4-3 di Kota Bharu, Bruno terlibat dalam menghasilkan ketiga-tiga gol.

Dia akan memberikan masalah besar kepada kita. Zaquan Adha (Abdul Radzak) juga pemain yang baik. Keempat-empat mereka berbahaya," katanya.

Mampukah Sathianathan?

Posted:

Mampukah Sathianathan?

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

DUA tahun lalu, B. Sathianathan merupakan watak penting pasukan Kelantan menamatkan kemarau trofi Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah sebaik menewaskan Negeri Sembilan di pentas final.

'Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari' – jodoh Sathianathan sebagai jurulatih The Red Warriors

akhirnya terlerai ekoran digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula Januari 2011 gara-gara dilaporkan mengkritik skuad kebangsaan.

Begitupun, itu cerita lama. Kali ini, 'magis' Sathianathan sekali lagi ditagih tetapi kali ini bersama skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malam esok, kredibiliti jurulatih berusia 54 tahun itu pastinya mengundang gerun ribuan penyokong fanatik Kelantan yang pernah menjadikan beliau sebagai idola satu masa dahulu.

'Resume' Sathianathan mengemudi ATM menempah slot Liga Super musim depan selepas muncul juara Liga Premier musim ini sewajarnya jangan dipandang 'sebelah mata' oleh Sang Kijang.

Enggan mendabik dada dengan kemampuan pasukannya melakar sejarah kembali semula ke pentas final sejak 1966, Sathianathan begitupun kekal menghormati Kelantan yang masih dianggap pasukan pilihan pada final kali ini.

Menurut beliau, Kelantan masih lagi kuat biarpun tanpa kehadiran dua tonggak utama, Mohammed Ghaddar dan Nor Farhan Muhammad yang terpaksa melupakan pentas final kali ini gara-gara penggantungan kad kuning.

"Kelantan pasti menjadi pasukan pilihan dan kejayaan muncul juara Liga Super merupakan bukti kekuatan mereka yang begitu konsisten.

"Sebenarnya, saya lebih suka sekiranya Ghaddar bermain kerana dia bermain secara individu dan saya tahu bagaimana untuk mengekangnya.

"Ketiadaan Ghaddar pastinya menyebabkan jentera serangan Kelantan bertambah berbahaya kerana mereka pasti bersemangat memburu gol sebagai satu pasukan," kata Sathianathan.

Atas kertas, rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini dilihat lebih memihak kepada Kelantan yang menang 4-3 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu ketika aksi Kumpulan B Piala Malaysia, September lalu selepas terlebih dahulu terikat 1-1 di Stadium Selayang sebelum itu.

Namun, Sathianathan enggan barisan perajurit ATM 'mengibarkan bendera putih' sebelum berjuang esok.

"Pada permulaan musim sebelum ini, sasaran awal saya mahu membantu ATM muncul juara Liga Premier, lain-lain hanyalah disifatkan sebagai bonus.

"Tetapi kami sudah berada sejauh ini dan melakar sejarah kembali semula ke pentas final Piala Malaysia dalam tempoh 46 tahun," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan