Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Harimau cari tonik terakhir

Posted: 19 Nov 2012 07:23 AM PST

HARIMAU Malaya berdepan tempoh lima hari yang kritikal untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki bermula.

Kapten, Safiq Rahim menggesa rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh dan menutup aksi pemanas badan terakhir menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan nota kemenangan.


"Baki lima hari sebelum kejohanan bermula memang getir. Kami baru saja pulang daripada program motivasi di Pulau Pangkor dan ia memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan negara untuk menaikkan semangat berpasukan," katanya.

Atas kertas, Bangladesh yang berada di ranking ke-171 dunia tidak akan memberikan masalah buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal kembali ke landasan kemenangan selepas keputusan buruk kalah 0-1 kepada Vietnam, Thailand (0-2) dan seri 1-1 dengan Hong Kong.


Malah Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-163 dunia, boleh menguji sejauh mana peningkatan prestasi jentera serangan untuk membolosi gawang Bangladesh selepas pasukan lawan itu dibelasah Thailand 5-0 di Bangkok, Sabtu lalu.


Namun bagi Safiq, kemenangan besar ke atas Bangladesh tidak bermakna kerana yang penting, aksi mereka di Piala AFF.

"Menang 10-0, 11-0 (ke atas Bangladesh) tidak penting kerana yang mustahak keputusan kejohanan itu. Bagi saya, perlawanan dengan Bangladesh penting untuk meningkatkan moral pemain, tidak kisah sama ada hanya menang 1-0 atau 2-0, yang penting menang.


"Kami tak boleh pandang rendah mana-mana pasukan, semua pemain perlu berikan komitmen penuh untuk mencipta keputusan yang baik," kata pemain tengah itu selepas dilantik sebagai Duta 100Plus yang baru, semalam.

Safiq yang meninggalkan Selangor untuk menyertai Johor musim depan menandatangani kontrak bersama pengeluar minuman isotonik itu selama setahun di hadapan Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.


Pemain berusia 25 tahun itu berkata, pelantikan sebagai Duta 100Plus dianggap penyuntik semangat tambahan untuknya menjelang aksi pertama kempen mempertahankan kejuaraan menentang Singapura, Ahad ini.


"Perlawanan menentang Singapura selalunya sengit. Saya harap kami mencipta keputusan yang baik kerana perlawanan pertama penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Vilanova tetap gusar

Posted: 19 Nov 2012 07:19 AM PST

MOSCOW: Barcelona berkunjung ke Spartak Moscow bagi pertemuan Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan jentera serangan digeruni diketuai Lionel Messi namun pada masa sama, kebimbangan terhadap prestasi pertahanan tetap berterusan.

Anak buah Tito Vilanova bertindak cemerlang dalam aksi La Liga dengan meraih 34 mata daripada maksimum 36 untuk mendahului carta liga, manakala di Eropah mereka turut efektif dalam Kumpulan G tapi kekalahan di tangan Celtic di Glasgow bermakna mereka masih perlu bekerja keras untuk layak sebagai juara kumpulan.


Kesungguhan Celtic membantu mereka meraih kemenangan manis 2-1 ke atas juara dua kali Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun terakhir itu.

Barca menguasai permainan namun Celtic berjaya mengekang setiap ancaman manakala di benteng pertahanan, kekuatan mereka diragui.


Barca mengalami beberapa siri kecederaan pemain pertahanan yang dibolosi 15 gol pada saingan liga.


Carles Puyol dan Gerard Pique hanya mampu beraksi bersama buat kali pertama sejak pertengahan September ketika menewaskan Zaragoza, 3-1 hujung minggu lalu kerana mengalami beberapa kecederaan manakala pertahanan utama, Jordi Alba dan Dani Alves kini turut cedera.

Pertahanan kini posisi lemah Barca dan mereka terpaksa menurunkan dua pemain tengah, Javier Mascherano dan Alex Song sebagai gandingan utama pertahanan tengah.


Puyol mengaku pasukan itu perlu memperkukuh bentengnya.

"Kami bermula hebat sekalipun perlu mengatasi masalah pertahanan. Secara umum masalah itu adalah menangani 'set-piece' pasukan lawan," katanya.


"Saya mengalami pengalaman terburuk kerana kali ini lebih sakit daripada yang saya sangkakan. Saya perlu terus positif dan cuba membantu pasukan." Di bahagian serangan, Barca terlalu unggul dengan Messi mengemudi jentera itu dan dua gol menentang Zaragoza membantunya mengumpul 17 gol liga dan mengumpul 78 gol tahun ini dengan rekod 85 gol dicipta Gerd Muller buat Bayern Munich pada 1972 menjadi sasarannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen