Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Pulihkan semangat

Posted: 21 Nov 2012 08:21 AM PST

AKSI buruk selepas diikat 1-1 menentang pasukan kerdil, Bangladesh yang beraksi 10 pemain kelmarin memberi kesan kepada moral pemain Harimau Malaya yang hanya mempunyai masa tiga hari untuk pulih sebelum turun pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF.

Jika sebelum ini kalah kepada Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 dalam aksi persahabatan yang dianggap eksperimen bagi pengendali negara, Datuk K Rajagobal, keputusan seri dengan Hong Kong dan Bangladesh di laman sendiri dalam tempoh seminggu menyebabkan skuad juara bertahan itu berdepan krisis.


Situasi itu nyata mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk mengadakan pertemuan dengan jurulatih dan pemain.

Menurut sumber, lawatan mengejut Sultan Ahmad Shah itu bagaimanapun diadakan secara tertutup di auditorium selama hampir dua jam bermula kira-kira jam 10 pagi.


Pertemuan itu juga dilihat sebagai motivasi tambahan buat pemain ketika tekanan yang mereka rasai semakin memuncak menjelang perlawanan pertama menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.


Rajagobal mengaku selepas perlawanan dengan Bangladesh kelmarin tiada apa lagi yang boleh dilakukan dalam tempoh kritikal ini melainkan menaikkan semula semangat pemain.

"Dalam situasi kritikal ini, saya perlu memberi motivasi kepada pemain. Sebagai jurulatih saya perlu fikirkan perkara positif, sekarang ini masa yang cukup kritikal untuk memastikan pemain kembali mendapat momentum," katanya.


Beliau mengaku terkejut dengan prestasi longlai anak buahnya yang membenarkan Bangladesh bangkit mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti, Jahid Hasan Ameli di penghujung permainan sedangkan Malaysia di ranking ke-163 dunia, sepatutnya tidak berdepan masalah menundukkan lawan berkedudukan 171 itu.

Persoalannya, tidak cukupkah program motivasi tiga hari di Pulau Pangkor minggu lalu yang dikatakan kembali memberikan kesegaran, namun sebaliknya yang berlaku apabila membuatkan pemain tidak bertenaga.


"Perlawanan itu sungguh mengecewakan, saya terkejut melihat pemain keletihan meskipun pada awal aksi, kami bermain baik. Pemain saya seperti tidak bertenaga dan gagal mengatur gerakan dengan baik. Saya menantikan perlawanan menentang Singapura dan semua pemain perlu sedar tiada alasan lagi selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Rekod United lebur

Posted: 21 Nov 2012 08:01 AM PST

ISTANBUL: Galatasaray menamatkan permulaan sempurna Manchester United dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0, awal pagi semalam.

Burak Yilmaz meledak jaringan tunggal perlawanan di Arena Turk Telekom apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru pada minit ke-54 untuk membolehkan tuan rumah mencerahkan peluang layak ke pentas kalah mati.


United sudah mara ke peringkat seterusnya dan perlawanan terbabit membenarkan pengurus, Alex Ferguson memberi pengalaman pentas Eropah kepada beberapa pemain muda di hadapan segelintir peminat fanatik di benua itu.

"Penguasaan bola bagus dan corak penyerang juga sama," kata Ferguson. "Kami mencipta satu atau dua peluang bagus pada kedua-dua babak.


"Mereka melakukan beberapa percubaan dari luar kotak penalti dan penjaga gol kami bertindak dengan baik. Selain itu kami bersaing dengan baik pada perlawanan itu." Pemain bintang seperti penyerang England, Wayne Rooney, penjaring utama, Robin van Persie, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Paul Scholes dan Ryan Giggs, satu-satunya yang masih kekal sejak insiden 1993 "Selamat datang ke Neraka" ketika kunjungan ke Istanbul berehat di Manchester.


Nick Powell, berusia 18 tahun 242 hari menjadi pemain Inggeris kedua termuda untuk tampil buat United dalam aksi Liga Juara-Juara.

Rekod paling muda dipegang Kieran Richardson dan Powell sepatutnya diberi amaran, penampilan awal pagi semalam tidak menjaminnya kekal dalam skuad utama Old Trafford.


Phil Jones pula membuat penampilan pertama bersama United musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen