Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Dibaham Singa

Posted: 25 Nov 2012 11:27 AM PST

SORAKAN penyokong jitu skuad negara, Ultras Malaya - 'Rajagobal apa kau buat?' ketika di penghujung perlawanan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, menceritakan segala-galanya.

Apa tidaknya, skuad Harimau Malaya memilih jalan berliku dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF apabila mudah ditundukkan Singapura 3-0 pada aksi pertama Kumpulan B dengan kapten Singapura, Mohamad Shahril Ishak mendedahkan kepincangan skuad kebangsaan yang kerap dipertahankan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal sebelum ini, apabila meledak dua gol sebelum pemain veteran, Aleksandar Duric melengkapkan kemenangan juara tiga kali itu.


Adakah kekalahan di tangan skuad kendalian Radojko Avramovic ini masih tidak boleh diambil kira kerana Malaysia juga tewas 5-1 kepada Indonesia pada aksi pertama dua tahun lalu sebelum muncul juara, tapi apa yang pasti untuk menang baki dua perlawanan kumpulan menentang Laos dan Indonesia selepas ini bukan mudah, biarpun ia tidak mustahil.

Dalam aksi menentang musuh tradisi Singapura itu, pengalaman sembilan pemain skuad juara 2010 menjadi taruhan Rajagobal dalam kesebelasan utama selain tiga pertahanan baru, Mohd Azmi Muslim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Bunyamin Umar diberi kepercayaan kali ini.


Dengan sokongan lebih 40,000 penyokong tempatan, Harimau Malaya bermula baik dengan serangan awal menerusi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang membuat larian di sebelah kanan untuk menggelecek dua pemain Singapura namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.


Namun aksi panas anak buah Rajagobal yang menewaskan Singapura 2-0 pada pertemuan terakhir Jun lalu dalam aksi persahabatan hanyalah seketika.

Selepas aksi hambar lebih setengah jam, skuad kebangsaan kemudian tergamam dengan dua gol pantas kapten skuad Singa, Shahril dalam tempoh enam minit.


Hantaran Shahdan Sulaiman berjaya dikawal baik pemain tengah LionsXII itu yang melepasi kawalan Azmi dalam kotak penalti sebelum meledak gol pertama pada minit ke-32 menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.

Empat minit kemudian, Khairul Fahmi melakukan kesilapan apabila tertampan bola sepakan percuma Shahdan ke belakang dan biarpun cuba dikeluarkan Mohd Fadhli Shas di atas garisan gol, Shahril pantas menanduk untuk gol kedua Singapura.


Kemasukan dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mahali Jasuli menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Azmi memberikan sedikit kebangkitan, namun kekeringan idea untuk menembusi benteng Singapura yang ampuh bertahan.


Hanya satu serangan bahaya berjaya dilakukan, namun hantaran lintang Mahali dari sebelah kanan pantas diselamatkan Mohamad Izwan ketika penyerang negara Mohd Safee Sali dalam posisi terbaik untuk menolak masuk bola ke dalam gawang.


Duric yang berusia 42 tahun membuktikan kenapa pengalamannya begitu berharga buat Avramovic dengan menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-75, hanya dua minit berada di atas padang selepas menggantikan Shahril.


Kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah memberikan kelegaan buat Singapura sebelum berdepan Thailand manakala Harimau Malaya perlu bangkit menentang Laos pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26



Guardiola minat bimbing Brazil

Posted: 25 Nov 2012 11:24 AM PST

RIO DE JANEIRO: Bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola tidak akan melepaskan peluang untuk mengendalikan skuad Brazil, yang menyingkirkan Mano Menezes, minggu ini.

Akhbar harian sukan, Lance melaporkan Guardiola sebagai berkata yang 'pasukan kebangsaan Brazil adalah satu-satunya pasukan yang beliau sedia untuk melatih esok' jika diberikan peluang.


Sumber itu memberitahu pengasas kumpulan dan pengerusi Lance, Walter de Mattos Jr, yang menulis artikel itu, mengaitkan bekas pengurus Barca itu dengan jawatan berkenaan.

Guardiola sebelum ini menekankan yang beliau akan kekal bercuti di Amerika Syarikat selepas meninggalkan Nou Camp, musim panas lalu.


Tapi sumber itu berkata, beliau mungkin melakukan kerja yang baik dengan juara dunia lima kali itu, yang kini mencari pengganti untuk Menezes, dipecat kelmarin, 18 bulan sebelum Brazil menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.


"Jika beliau mengendalikan Selecao, kita akan menang Piala Dunia - anda beritahu itu kepada Pengerusi Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF)," kata sumber itu.

CBF berkata, mereka akan mengumumkan pengganti Menezes dalam tempoh terdekat. Menezes gagal untuk memberikan pingat emas Olimpik apabila Brazil tewas kepada Mexico di final acara bola sepak di London, musim panas lalu.


Pengurus baru itu, jika beliau memulakan kerja pada Januari ini akan mempunyai masa enam bulan untuk membentuk sebuah pasukan yang berupaya menjulang Piala Konfederasi di gelanggang sendiri yang bertindak sebagai kejohanan pemanas badan kepada Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, Lance berkata, pengambilan jurulatih asing akan menimbulkan kontroversi dan sehubungan itu menjadi faktor yang tidak memihak kepada Guardiola.


"Buat masa ini tiada jurulatih di Brazil - walaupun di kalangan yang terbaik kita ada - berupaya bukan saja untuk melonjak tapi turut mewujudkan revolusi bagi mempengaruhi semua peringkat bola sepak Brazil, baik dari bawah hingga ke atas.


"Tapi itulah yang mampu Barca lakukan...menekankan 'jogo bonito' atau permainan cantik yang menjadi lambang Barca serta Brazil." Guardiola turut menjadi sasaran AC Milan selain Chelsea berikutan penyingkiran Roberto di Matteo. Tapi, beliau juga pernah disebut-sebut seawal musim panas ini sebagai pengganti kepada Menezes.


Turut sama berada dalam senarai jurulatih itu adalah Luiz Felipe Scolari yang pernah menjulang Piala Dunia 2002 di samping Tite dari Corinthians dan pengurus Santos, Muricy Ramalho. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan