Kosmo Online - Sukan |
‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’ Posted: 'Tiada kaitan dengan perkahwinan saya'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
PENJAGA gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat menepis dakwaan bahawa tumpuannya terjejas ekoran persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada penghujung Disember depan. Namun pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu tanpa berselindung mengakui dirinya menjadi punca utama kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaya kepada Singapura pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin. Dalam perlawanan itu, Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek didakwa membuat kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola pada minit ke-37 hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum disambar Shahril Ishak untuk gol kedua Singapura pada perlawanan tersebut. Persembahan goyah Apek dalam pertemuan itu telah mengundang resah peminat biarpun penjaga gol utama Harimau Malaya itu kembali fokus pada separuh masa kedua. "Saya bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia kepada Singapura. Begitupun, ia tiada kena mengena dengan persiapan perkahwinan saya. "Sekali lagi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana gagal membantu skuad negara mencatatkan kemenangan ketika menentang Singapura dan berjanji akan kembali bangkit selepas ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin. Untuk rekod, Apek, 23, yang merupakan penjaga gol utama Kelantan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau mesra dengan panggilan Leuniey pada 28 Disember ini. Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli tampil mempertahankan prestasi Apek sambil menyifatkan wira Piala Suzuki AFF 2010 itu bakal mengulangi persembahan hebat pada perlawanan kedua ketika menentang Laos malam esok. "Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita menonjol, kadang-kadang tidak. "Tekanan amat dirasai memandangkan kita tampil sebagai juara bertahan, tambahan pula menjadi tuan rumah kejohanan. "Jadi, kita sebagai peminat haruslah memberikan semangat bukan sekadar mengkritik tak kena pada tempatnya. "Jangan mudah menghukum Apek hanya disebabkan satu kesilapan sedangkan sebelum ini dia banyak membantu skuad negara," ujar Sharbinee yang pernah menjadi mangsa kecaman peminat akibat beberapa kesilapan mudah yang dilakukan. | |
Posted: Rajagobal didesak undurOleh WARTAWAN KOSMO! PENYOKONG Ultras Malaya bertindak menahan bas yang membawa pemain-pemain Harimau Malaya sebagai tanda protes berikutan kekalahan 0-3 Malaysia kepada Singapura pada kempen Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. DESAKAN peminat sejati Harimau Malaya yang menuntut pembaharuan skuad bola sepak kebangsaan dengan Datuk K. Rajagobal mengambil tindakan drastik meletak jawatan selaku jurulatih, bukanlah satu cerita baharu sebenarnya. Bermula apabila skuad negara ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura menerusi agregat 4-6 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia pada Julai tahun lalu, kemarahan penyokong dilihat tidak lagi boleh dibendung sebaik dikecewakan lawan sama dengan keputusan 0-3 dalam aksi sulung kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin. Dengan lebih 100 penyokong Ultras Malaya menghalang bas yang dinaiki pemain negara dari pekarangan stadium, laungan mereka yang menjerit 'Rajagobal, apa yang engkau buat?' juga sudah cukup mencerminkan kekecewaan peminat. Pemilihan 'tidak masuk akal' Rajagobal dalam senarai 22 pemain skuad negara bagi mempertahankan kejuaraan kali ini juga mengundang skeptikal banyak pihak gara-gara prestasi semasa sebahagian daripada mereka dalam saingan liga domestik dilihat tidak sehebat mana. Biarpun Rajagobal sebelum ini secara terbuka mengakui bakal meletak jawatan jika gagal membantu Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015, peminat tidak lagi mampu bersabar menunggu lama dan menuntut supaya jurulatih itu 'angkat kaki' sebaik kempen Piala Suzuki AFF kali ini berakhir, tidak kira mampu mempertahankan gelaran ataupun tidak. Wakil Ultras Malaya, Redzuan Ahmad semasa ditemui pemberita malam kelmarin mempersoalkan kredibiliti Rajagobal dalam tempoh dua tahun ini selepas muncul juara edisi 2010. "Maruah skuad kebangsaan jelas diperkotak-katikkan di gelanggang sendiri. Apa yang dibuat selama ini? Apa perancangannya dalam tempoh dua tahun selepas memenangi piala (Suzuki AFF). Inikah hasilnya?" katanya. Seorang lagi penyokong, Hamdan Wahid dari Perlis memberitahu, dia kecewa cuti tahunannya yang diambil seminggu semata-mata untuk menyokong Harimau Malaya dilihat seolah-olah tidak berbaloi berdasarkan persembahan Harimau Malaya malam kelmarin. "Kami bayar tiket RM30 tetapi kalah 3-0, tidak mustahil juga jika harga tiket dinaikkan RM50 selepas ini kita kalah lebih besar iaitu 5-0. "Hendak merangkak pun tidak mampu, inikan pula hendak berlari. Jurulatih (Rajagobal) patut letak jawatan, jangan tunggu sampai kelayakan Piala Asia. Sekarang pun dia patut berundur jika beginilah gayanya persembahan pasukan kebangsaan," katanya. Seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Botak memberitahu, pemilihan kesebelasan utama Rajagobal juga memualkan penyokong. "Baddrol (Bakhtiar) yang lebih kreatif tidak dibawa masuk ketika berdepan Singapura, sebaliknya Alex (Azamuddin Akil) yang sebelum ini bermain sebagai penyerang pula dibawa masuk menggantikan Amar Rohidan di bahagian tengah. "Ini bukan lagi masa untuk eksperimen pemain. Sampai bila kami perlu mendengar alasan demi alasan Rajagobal setiap kali Harimau Malaya tewas," katanya. Apa yang pasti, di sebalik 'sakit kepala' Rajagobal memikirkan formula terbaik ketika berdepan Laos malam esok, masih ramai penyokong yang bertambah sakit hati jika perlawanan itu gagal diterjemahkan menjadi kemenangan ataupun yang lebih teruk, tersungkur buat kali kedua di depan penyokong sendiri. Seandainya Malaysia terperosok di tangga tercorot kumpulan kali ini, sejarah baharu sudah tercipta buat Harimau Malaya yang mungkin sudah boleh berkira-kira mengharungi aksi kelayakan dua tahun lagi biarpun pernah mengecap nikmat selaku juara yang jelas sekadar bersifat sementara. | |
Posted: 'Indonesia masih berpeluang'KAPTEN Indonesia, Bambang Pamungkas optimis peluang pasukannya mara ke separuh akhir kempen Piala Suzuki AFF 2012 masih belum berakhir meskipun sekadar seri 2-2 dengan Laos dalam aksi sulung Kumpulan B kelmarin. Menurut bekas penyerang Selangor itu, Sang Garuda masih berpeluang untuk mara lebih jauh biarpun terpaksa berdepan pendahulu kumpulan, Singapura malam esok sebelum membuat perhitungan terakhir bersama tuan rumah, Malaysia, Sabtu depan. "Aksi sulung dalam mana-mana kejohanan sememangnya sukar buat semua pasukan. "Sudah tentu keputusan itu sukar buat kami tetapi ia bukan bermakna peluang kami sudah berakhir. "Jadi, kami perlu berjuang habis-habisan dalam dua perlawanan selepas ini bagi memastikan kami layak ke separuh akhir," kata kapten berusia 32 tahun itu. Pada masa sama, Bambang mengakui ia bukan satu tugas mudah memandangkan penjaga gol, Endra Prasetya dilayangkan kad merah semasa berdepan Laos tempoh hari, sekali gus sekadar memiliki satu penjaga gol gantian, Mahyu Tri Nugroho apabila berdepan Singapura nanti. Ia ekoran Sang Garuda hanya menyenaraikan dua penjaga gol pada kempen kali ini. "Terpulang kepada jurulatih, jika saya diturunkan sebagai penjaga gol simpanan pun saya sudah bersedia. "Ini merupakan penampilan saya yang kelima dalam pentas Piala Suzuki AFF, tidak mustahil juga ia merupakan penampilan saya yang terakhir. "Cabaran berdepan Singapura dan Malaysia pastinya berbeza. Yang penting, kami perlu berjuang sehingga ke saat akhir," tegas Bambang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan