Skuad Rajagobal turut merundum dalam senarai ranking terbaru FIFA

Misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki tampak semakin sukar sekiranya prestasi pasukan kebangsaan pada dua perlawanan persahabatan terakhir diambil kira.

Dua kekalahan berturut-turut kepada Vietnam dan Thailand - dua pasukan berpotensi menanti skuad negara di separuh akhir sekiranya anak buah Datuk K Rajagobal berjaya melepasi cabaran Singapura, Indonesia dan Laos dalam Kumpulan B - memberi gambaran sebenar jurang antara juara bertahan dan dua gergasi Asia Tenggara itu.

Selepas tumpas 1-0 di tangan Vietnam Sabtu lalu, Malaysia sekali lagi gagal mempamerkan prestasi meyakinkan untuk menyaingi permainan pantas dan sistematik Thailand yang kelihatan seperti langsung tidak gentar dengan penyandang juara itu ketika merakam kemenangan 2-0 di Stadium Muangthong, Bangkok semalam.

Tiada sebarang percubaan

Sebaik permainan bermula, Thailand tidak menunggu lama untuk menguji gawang negara yang dijaga Farizal Marlias, apabila gol pembukaan tuan rumah hadir pada minit ke-26 selepas penjaga gol negara tersilap membaca hantaran tinggi yang mudah ditanduk Prayat Bunya.

Pada babak kedua, skuad kebangsaan yang langsung tidak mempunyai sebaran percubaan tepat sepanjang 45 minit pertama, bangkit mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan namun tidak berhasil.

Malah tempoh 20 minit terakhir, Malaysia mempunyai kelebihan apabila pemain tuan rumah, Adul Lahso dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua, tetapi beberapa percubaan tepat terutama menerusi pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani dan Baddrol Bakhtiar mudah dibaca penjaga gol Thailand.
Thailand terus melebarkan jurang menerusi serangan balas pantas minit ke-80, dan skuad negara semakin tertekan apabila tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dibuang padang lima minit kemudian dan kedudukan 2-0 kekal hingga masa penamat.

Ranking jatuh lagi

Dengan ranking negara terus merudum (dari 162 kepada 163 semalam), hanya kejuaraan Piala AFF Suzuki mampu menebus maruah bola sepak negara di rantau ini.

Pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Hong Kong di Kuala Lumpur Rabu depan, skuad kendalian Rajagobal berpeluang mengembalikan semula keyakinan peminat tempatan sekiranya merakam kemenangan menerusi corak permainan berkualiti seperti ketika menjuarai kejohanan ini dua tahun lalu.