Utusan Online - Sukan |
Posted: Chong Wei cemas seketikaKUALA LUMPUR - Penampilan terakhir Muhammad Hafiz Hashim sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berakhir apabila tersungkur pada pusingan pertama Terbuka Korea, semalam. Dia tidak terdaya tatkala jaguh No. 1 dunia dan penyandang juara, Datuk Lee Chong Wei pula mengharungi perlawanan mencemaskan sebelum mara ke pusingan kedua, semalam. Beraksi pada kejohanan paling mahal dalam sejarah badminton - AS$1.2 juta (RM3.84 juta) belum cukup memberi motivasi buat Hafiz untuk mencatat keputusan memberangsangkan apabila tumpas 16-21, 13-21 kepada pemain bukan pilihan dari Jerman, Marc Zwiebler. Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat pemain berusia 29 tahun itu dalam pusingan awal, apabila turut tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu selepas kalah kepada pemain muda China, Chen Long. Chong Wei, 29, yang memburu kejuaraan hatrik selepas menjuarai Siri Super Masters Akhir dan Terbuka Malaysia - kedua-duanya bulan ini, dipaksa bertarung hampir sejam sebelum mengetepikan pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen 21-9, 18-21, 21-16. Sama seperti yang berlaku di Terbuka Malaysia, Chong Wei muncul perseorangan lelaki tunggal Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua. Cabaran seorang lagi wakil Malaysia, Wong Choong Hann berakhir dengan kekalahan 9-21, 17-21 kepada juara dunia dari China, Chen Jin. Wong Mew Choo menceriakan kem negara dengan melepasi halangan awal perseorangan wanita selepas menumpaskan pemain muda China, Liu Xin 21-18, 21-15, namun malang Terbuka Malaysia terus mengekori ratu badminton negara itu di Seoul apabila sekali lagi terpaksa berdepan jaguh No. 1 dunia, Wang Xin dari China hari ini. Turut meneruskan kempen negara adalah beregu Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock yang dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan Ingo Kindervater-Johannes Schoettler dari Jerman 21-13, 20-22, 21-18. Sementara itu, berita kemasukan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam program Road to London belum mampu memberi motivasi buat juara Asia itu apabila tunduk 17-21, 12-21 kepada pilihan ketujuh dari China, He Hanbin-Yu Yang dalam saingan beregu campuran. Turut tersingkir pasangan muda, Goh Wei Shem-Teo Kok Siang dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dalam beregu lelaki. Wei Shem-Kok Siang tunduk 13-21, 18-21 kepada gandingan China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan, manakala Teik Chai-Bin Shen gagal menandingi pasangan No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Morgensen dari Denmark apabila tewas 20-22, 15-21. | ||
Ayabe ungguli pendakian Cameron Highlands Posted: Ayabe ungguli pendakian Cameron HighlandsOleh FERZALFIE FAUZI
CAMERON HIGHLANDS - Pelumba pasukan Aisan Racing Team, Takeaki Ayabe melakukan kejutan pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 apabila menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat di Tanah Rata sekali gus membolehkannya menyarung jersi kuning. Ketika tumpuan diberikan kepada pelumba Amerika Selatan dan Itali, Ayabe mempamerkan kayuhan bertenaga pada 500 meter terakhir apabila mengejar sembilan pelumba yang berada di depannya untuk meraih tempat pertama dengan catatan tiga jam 42 minit 15 saat. Pelumba veteran, LeTua Cycling Team (L2A), Libardo Nino Corredor pula menamatkan saingan di tempat kedua manakala Amir Zagari daripada Azad University Cycling Team (IUA) di tempat ketiga. Keputusan itu membakar semangatnya menjelang perlumbaan peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands hari ini. Menurutnya, dia tidak menyangka mampu menawan puncak Cameron Highlands, apatah lagi terpaksa 'bertarung' dengan cuaca berhujan selain kabus yang tebal ketika menuju ke garisan penamat. "Pada jarak 500 meter terakhir, saya berada di kelompok depan yang melibatkan 10 pelumba. Ketika itu, saya hanya fokus dan memecut laju tanpa memikirkan keadaan di sekeliling walaupun keadaan jalan agak licin," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlumbaan, semalam. Jelasnya, dia cukup gembira dengan kemenangan itu kerana dapat menewaskan pelumba-pelumba lain yang sememangnya cukup terkenal sebagai pakar bukit. "Saya dan rakan-rakan sepasukan belum merancang sebarang strategi bagi menghadapi misi paling getir, menakluk puncak Genting Highlands esok (hari ini) melibatkan laluan sejauh 124.3 kilometer. "Saya hanya berharap dapat mengekalkan konsistensi pada perlumbaan esok dan berazam untuk sekali lagi mencipta kejutan ke atas pelumba-pelumba handalan yang lain," kata ketua pasukan Aisan itu. Ayabe berkata, jika dia dapat menempatkan diri dalam kelompok pelumba di hadapan di Genting Highlands, peluang untuk muncul juara pasti lebih terbuka buatnya saya. Sementara itu, pelumba pasukan Fernese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini terpaksa menelan hakikat Jersi Kuning yang disarungnya sebelum ini diserahkan kepada Ayabe. Bagaimanapun, Guardini masih bernasib baik kerana Jersi Biru (Raja Pecut) kekal menjadi miliknya. "Peringkat keempat bukan sasaran sebenar saya tetapi saya tetap gembira dengan prestasi saya hari ini. Saya akan cuba melakukan yang lebih baik pada saingan di Genting Highlands nanti," kata Guardini yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat ke-94. Selain Jersi Kuning yang telah bertukar tangan semalam, Jersi Merah (Raja Bukit) dan Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) turut berubah. Pelumba IUA, Rahim Emami kini pemegang baru Jersi Merah yang sebelum ini menjadi milik pelumba pasukan Skil Shimano Cycling Team, Koen de Kort. Pelumba sensasi negara, Anuar Manan yang menggalas cabaran pasukan Terengganu ProAsia Cycling (TSG) pula terpaksa menyerahkan Jersi Putih kepada Ayabe. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan