Utusan Online - Sukan |
Posted: Harrif tolak jemputan PKBMOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR – Kem lebuh raya negara yang beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat kini bercelaru selepas pelumba harapannya, Anuar Manan menarik diri akibat demam, manakala calon penggantinya, Mohd. Harrif Salleh menolak jemputan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Jika sebelum ini Harrif mempersoalkan tindakan PKBM yang tidak memanggilnya menyertai skuad kebangsaan, sekarang peluang yang ada ditolak mentah-mentah oleh pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu atas alasan kurang persediaan. Menurut Harrif, dia dimaklumkan oleh pegawai PKBM tengah hari semalam mengenai penyenaraian namanya dalam skuad lebuh raya Malaysia, namun alasan tidak melakukan persediaan dari awal digunakan untuk menolak pelawaan tersebut. "Mereka ada menghubungi saya untuk menggantikan Anuar yang menarik diri dari menyertai ACC, mereka suruh saya datang ke Korat, Thailand pagi esok (hari ini) namun saya terpaksa menolak tawaran tersebut walaupun dalam hati saya meronta-ronta untuk pergi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. Jelasnya, jika diberitahu lebih awal, terutama sekali selepas perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) berakhir sudah pasti dia dapat memenuhi tugas berkayuh untuk negara. "Saya tidak mahu mewakili negara dengan persediaan yang tidak cukup, saya juga tidak mahu menghampakan rakan-rakan yang lain dan kontinjen Malaysia itu sendiri, tambahan pula ini adalah kejohanan besar di Asia. "Saya juga bukan merajuk selepas nama saya tidak disenaraikan sebelum ini, tetapi seperti yang saya jelaskan, saya tidak yakin jika turun beraksi selepas nama saya disenaraikan pada saat-saat terakhir," kata pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu. Sebelum ini, PKBM telah menyenaraikan Anuar, Amir Mustafa Rusli, Mohamad Adiq Hu sainie Othman, Mohamad Rauf Nur Misbah dan Ahmad Fakrullah Alias, manakala Suhardi Hassan dalam pelumba simpanan. Jika hendak diikutkan dari segi keutamaan, Suhardi sepatutnya menggantikan Anuar kerana berada dalam senarai simpanan, namun PKBM cuba untuk mendapatkan Harrif yang dilihat mempamerkan kayuhan mantap di LTdL 2011 bulan lalu. Sementara itu, Anuar ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam mengakui dia mengalami demam sejak kelmarin dan telah ke Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil semalam untuk pemeriksaan lanjut. "Doktor suruh saya berehat seminggu dan saya akur dengan keputusan tersebut seterusnya terpaksa menarik diri dari skuad lebuh raya untuk saingan ACC," kata pelumba TSG itu yang bersaing merebut jersi biru di LTdL 2011 baru-baru ini. Jelasnya, sejak dua hari lalu dia sudah dapat merasakan badannya mengalami sedikit perubahan apabila panas dan tidak bermaya, bagaimanapun selepas mula mengalami batuk kelmarin ia menjadi semakin teruk. "Sukar untuk berlumba dengan keadaan seperti ini, jadi saya mengambil keputusan menarik diri dan memberi peluang kepada mereka yang layak, sekarang ini saya hanya perlu berehat untuk mengembalikan keadaan kesihatan seperti sedia kala. "Saya perlu membuat persediaan sebaik mungkin kerana bulan depan saya akan mengambil bahagian dalam perlumbaan Jelajah Malaysia," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu. | ||
Terengganu benam Perlis di Kangar Posted: Terengganu benam Perlis di Kangar
KUALA LUMPUR – Hasrat Perlis untuk memungut mata pertama musim ini tidak berjaya apabila tewas 1-3 kepada Terengganu dalam perlawanan ketiga Liga Super 2011 di Stadium Utama, Kangar semalam. Perlis tersentak dengan jaringan pertama Terengganu melalui jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-23 selepas dia tidak dikawal dalam petak penalti dengan mudah menolak masuk hantaran leret Joseph Kalang Tie. Tiga minit selepas itu kealpaan skuad Singa Utara dihukum lagi, kali ini giliran pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin mencatat nama sebagai penjaring bagi membolehkan Terengganu mendahului 2-0 pada separuh masa kedua. Peluang Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua seakan tertutup apabila pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memperoleh gol ketiga pada minit ke-59 melalui jaringan penalti Abdul Manaf Mamat. Bagaimanapun, Perlis berjaya memperoleh gol saguhati 10 minit kemudian apabila Mohd. Hafiszuan Salehuddin berjaya melakukan rembatan jarak jauh deras dari luar petak penalti menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli. Ketika Perlis cuba bangkit pada baki perlawanan mereka tersentak dengan pemberian kad merah oleh pengadil perlawanan kepada Hafiszuan yang menerima kad kuning kedua pada minit ke-75 kerana membantah keputusan pengadil. Sementara itu, PKNS mengungguli Liga Perdana apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut musim ini selepas mengalahkan Majlis Perbandaran Muar 2-0 hasil jaringan Ahmad Tharmini Saiban dan Mohammad Khairul Akhyar Husain. Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila seri 3-3 menentang Harimau Muda B, dengan gol Bujang Senang disumbangkan oleh Bobby Gonzales minit ke-45, Ashri Chuchu (70) dan Khairul Azahar Edros (84). Harimau Muda B pula yang tiga kali berada di depan memperoleh jaringan menerusi D. Saarvindran (27) dan dua gol lagi disumbangkan oleh Mohd. Syafiq Shalihin Mohd. Noor pada minit ke-56 dan 79. Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia membelasah Pulau Pinang 4-0 hasil dua gol jaringan S. Sumindren, manakala G. Puaneswaran dan Zafran Olibullah masing-masing menyumbat satu gol. Di Stadium Batu Kawan, SDM Navy tewas tipis 2-3 kepada Kelab Bola Sepak USM walaupun S. Thevan meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan jaringan di minit ke-20 sebelum Mohd. Baser Mohd. Napae menyamakan kedudukan hasil gerakan cantik Mohd. Faili Ghazali dari tengah padang. Ibrahim Ani menghukum kelalaian pertahanan USM yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan jaringan pada minit ke-54 sebelum Muhd. Fauzan Zainal Abidin menyamakan kedudukan seminit kemudian. Perlawanan yang hampir berkesudahan dengan seri 2-2 berubah apabila Faili muncul wira USM dengan gol kemenangan pada minit ke-88 menyambar bola muntah rembatan Manzoor Azwira Abd. Wahid selepas penjaga gol SDM, Safril Hafizi. Sementara itu dalam perlawanan lain Polis Diraja Malaysia (PDRM) seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Sime Darby pula tewas 0-1 kepada Johor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan