Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


England bertuah

Posted: 31 Jul 2011 10:16 AM PDT

RIO DE JANEIRO: Tuah nyata memihak kepada England pada undian kelayakan Piala Dunia 2014 kelmarin ketika juara bertahan, Sepanyol dan pemenang edisi 1998, Perancis diundi dalam satu kumpulan untuk saingan pemburuan tempat ke pusingan akhir di Brazil.

England, salah satu pasukan pilihan, diundi bersama seteru di saingan Euro 2012, Montenegro, Ukraine, Poland, Moldova dan San Marino di Kumpulan H.


Jika England gagal pada pusingan kelayakan, mereka perlu melalui perlawanan kalah mati untuk menempah satu daripada empat tiket ke pusingan akhir, namun England dijangka mudah untuk sekurang-kurangnya menghuni tangga kedua peringkat kumpulan.

"Saya yakin," kata pengurus England, Fabio Capello yang akan melepaskan jawatannya itu selepas Euro 2012.


"Tapi ia bukan mudah. Ukraine dan Montenegro pasti akan memberi saingan sengit." katanya.


Ketika juara edisi 1966 itu boleh menarik nafas lega, lain pula kisahnya dengan Perancis yang diundi bersama juara Eropah dan Dunia, Sepanyol serta Belarus, Georgia dan Finland dalam Kumpulan I.

"Tiga tahun adalah tempoh yang lama dan 2014 bukannya berlaku sekarang. Sepanyol ketika ini adalah pasukan terbaik dunia tetapi kita semua tidak tahu adakah situasi sama akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi," kata jurulatih Perancis, Laurent Blanc.


Selaku tuan rumah, Brazil layak secara automatik tetapi berjuta peminat di seluruh dunia yang menyaksikan hasil undian itu mengharapkan nasib lebih memihak kepada pasukan kesayangan masing-masing.

Scotland diundi bersama Wales yang baru-baru ini mengalami penurunan dalam kedudukan ranking dunia di bawah Faroe Islands. Kedua-dua pasukan itu juga diundi bersama Croatia, Serbia, Belgium dan Macedonia dalam Kumpulan A.


Di Eropah, naib juara dunia, Belanda diundi bersama Turki yang dibimbing oleh Guus Hiddink, Hungary, Romania, Estonia dan Andorra dalam Kumpulan D.


Juara dunia empat kali, Itali di dalam Kumpulan B bersama Denmark dan Republik Czech, Bulgaria, Armenia dan Malta.


Sementara juara dunia tiga kali, Jerman mengetuai Kumpulan C dan dijangka mendapat saingan daripada Sweden dan Ireland serta tiga lagi pasukan iaitu Austria, Kepulauan Faroe serta Kazakhstan.


Kumpulan E pula dihuni oleh Norway, Slovenia, Switzerland, Albania, Cyprus dan Iceland sementara Kumpulan F menyaksikan Portugal diundi bersama tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia, Israel, Ireland Utara, Azerbaijan dan Luxembourg. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Peluang terakhir

Posted: 31 Jul 2011 08:59 AM PDT

EMPAT atlet menjadi taruhan Taekwondo Malaysia (TM) untuk cuba melepasi pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Bangkok, Thailand pada 4 hingga 6 November depan.

Diketuai atlet senior Elaine Teo, tiga lagi atlet yang bakal memikul tugas berat itu ialah Nurul Nadia Mahamat, Ryan Chong Wy Lunn serta Mohd Afifuddin Omar Sidek dengan masing-masing bertanding menerusi kategori berbeza.


Selepas gagal menghantar wakil ke pusingan kelayakan pertama di Azerbaijan awal bulan ini, ketua jurulatih, R Dhanaraj berharap keempat-empat atlet terbabit dapat menggunakan peluang diberikan sebaik-baiknya kerana Thailand adalah medan terakhir untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Saya harap setiap atlet tidak mensia-siakan peluang ini kerana pusingan kelayakan peluang terbaik mereka menimba pengalaman.


"Bagaimanapun, tentu sekali saya mengharapkan mereka melepasi pusingan kelayakan sekali gus layak ke London tahun depan.


"Namun, berdasarkan prestasi semasa, saya jangka Elaine dan Ryan akan melepasi pusingan kelayakan, tetapi tidak mustahil juga bagi Nurul dan (Mohd) Afifuddin melepasinya," katanya.

Pada awal bulan ini, TM tidak menghantar atlet ke pusingan kelayakan pertama di Azerbaijan kerana wakil tunggal mereka Elaine, mengalami kecederaan lutut kanan pada final Kejohanan AKF di Kemboja, April lalu yang menyaksikannya berjaya meraih pingat emas.


Berdasarkan barisan empat atlet yang menjadi taruhan TM untuk layak ke Sukan Olimpik, hanya Elaine yang mempunyai pengalaman luas dan pernah beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu iaitu pada edisi 2004 di Athens dan empat tahun selepas itu di Beijing.

Andai atlet berusia 30 tahun itu berjaya melepasi pusingan kelayakan di Thailand, November ini, Elaine mencipta sejarah selaku atlet taekwondo pertama berjaya beraksi di Sukan Olimpik tiga kali berturut-turut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan