Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Buktikan masih relevan

Posted: 21 Aug 2011 12:26 PM PDT

PERSATUAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuktikan ia badan yang masih relevan dalam memastikan kecemerlangan sukan badminton negara berterusan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika lebih ramai pemain membuat keputusan untuk keluar dari BAM seperti yang diambil pasangan bekas beregu nombor dua negara, ia mungkin membayangkan badan itu sudah tidak lagi relevan.


Katanya beliau terkejut apabila membaca laporan mengenai bekas beregu negara keluar daripada naungan badan induk itu kerana sekali lagi kewibawaan BAM tercalar apabila tidak dapat mengekalkan pemain-pemain di bawahnya.

"BAM adalah badan yag diberi mandat untuk membangunkan pemain, jadi sekiranya mereka (pemain) putuskan keluar BAM, kita bimbang beberapa perkara yang dikait dengan luka lama berdarah kembali, seperti yang berlaku pada Muhammad Hafiz Hashim dan Misbun (Datuk Misbun Sidek) satu masa lalu yang akhirnya merugikan semua pihak," katanya.


Sehubungan itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata beliau meminta kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkaji secara terperinci perkembangan terbaru melibatkan BAM itu.


"Kita mahu lihat kesan baik buruknya kepada badminton negara, sama ada ini kes terpencil atau ia perkembangan yang boleh menular sekiranya lebih banyak pemain memilih untuk tidak lagi bersama BAM pada masa akan datang," katanya.

Kelmarin, Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Salleh memberitahu pasangan Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari telah mengemukakan permohonan untuk keluar daripada naungan badan induk itu pada 17 Ogos lepas.


Menurut Nadzmi, semua ahli jawatankuasa BAM pada Sabtu telah bersetuju melepaskan kedua-duanya tanpa syarat mahupun penalti.

Nadzri berkata pasangan itu memutuskan untuk bergerak sendiri kerana merasakan sudah sampai masanya untuk memberi peluang kepada pemain baru, selain faktor umur mereka yang semakin meningkat.


Mohd Zakry, 29, dan Mohd Fairuzizuan, 28, adalah bekas beregu negara sebelum jurulatih beregu Rexy Mainaky memutuskan untuk menggandingkan mereka masing-masing dengan Hoon Thien How dan Ong Soon Hock.

Usah mimpi satu emas

Posted: 21 Aug 2011 12:22 PM PDT

"JANGAN mimpi". Itu pengamatan bekas pemain negara, Suhaimi Yusof mengenai harapan tinggi yang diletakkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bahawa sekurang-kurangnya satu pingat emas mampu diraih skuad negara pada Sukan Sea di Indonesia, November ini.

Bekas pemenang pingat emas di Sea 1991 dan Sukan Asia 1990 itu menegaskan sasaran memenangi pingat emas pada temasya dwitahunan itu adalah masih terlalu awal sedangkan skuad kebangsaan yang dikendalikan ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan baru dibentuk pada April lalu.


"Berdasarkan prestasi semasa, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sukar untuk direalisasikan. Tengok saja pada aksi Piala Dunia Istaf yang lalu, skuad kebangsaan sudah menurunkan regu terbaik namun masih gagal melakukannya (bergelar juara)," kata bekas pemain yang berusia 41 tahun itu.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada penghujung bulan lalu, regu negara jelas masih belum mampu menandingi musuh tradisi, Thailand apabila kecundang mudah dalam aksi tiga set 15-4,15-6 dan 15 -11.


Kegagalan menyaingi negara jiran itu berterusan apabila gagal mempertahankan kejuaraan Piala Egat dengan kali ini kelab Thailand mempamerkan keupayaan itu dan terbaru terdapat regu negara yang tewas mudah dengan keputusan 15-1 (satu set) kepada Indonesia pada Kejohanan Lima Penjuru di Pulau Pinang yang berakhir semalam.


"Sistem kiraan mata yang baru ini juga turut menyumbang kepada kekalahan regu negara. Mereka (pemain negara) sebenarnya sudah mendapat rentak dengan sistem kiraan mata 21 selepas sekian lama namun perubahan kepada sistem baru (kiraan 15 mata) menjejaskan mereka dan selepas Piala Dunia Istaf ia jelas menunjukkan mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen