Kosmo Online - Sukan |
Posted: Safiq ke EropahOleh WAN FAKHRUL BAKAR
KAPTEN skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim bakal mencipta nama di bumi Eropah. Dia akan mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama beraksi di saingan Liga Divisyen Dua England, Liga Kejuaraan. Semalam, pemain tengah Selangor berusia 24 tahun itu telah menerima surat tawaran rasmi daripada Cardiff City untuk menjalani ujian percubaan (trial) selama tiga minggu pada penghujung Oktober depan. "Saya sangat gembira apabila mendapat peluang keemasan seperti ini. Saya akan cuba melakukan yang terbaik sepanjang ujian percubaan itu nanti. "Saya telah menerima surat tawaran dan dokumen berkaitan hari ini (semalam). Pada 5 September depan, saya akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Datuk Chan Tien Ghee (Pengerusi Cardiff City). "Insya-Allah kalau ada rezeki dan terpilih, dapatlah saya menyarung jersi Cardiff City pada musim perpindahan Januari nanti," kata Safiq ketika dihubungi Kosmo! semalam. Pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang membesar di Kuala Selangor itu turut lega apabila pihak Cardiff City memberi ruang untuknya memberi tumpuan kepada aksi Piala Malaysia terlebih dahulu. "Mereka (Cardiff City) tidak mahu ganggu tugasan saya bersama Selangor dalam Piala Malaysia. Mereka mahu saya beri tumpuan penuh terhadap saingan itu terlebih dahulu sebelum menghadiri ujian percubaan tersebut. "Buat masa ini memang saya seorang saja yang diberi tawaran ini tetapi mungkin selepas ini mereka akan tawarkan juga kepada Safee Sali (penyerang Pelita Jaya)," jelas Safiq. Difahamkan, Cardiff City kendalian pengurus, Malky Mackay terpikat dengan aksi Safiq ketika menyaksikannya beraksi pada perlawanan menentang Liverpool dan Arsenal pada Julai lalu, terutamanya apabila dia menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika bertemu Liverpool. Kelmarin, tiga pemain skuad Olimpik negara, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas telah sah bergelar pemain pinjaman kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce selama dua bulan sehingga awal November depan. Ia sekali gus membuka lembaran baharu buat pemain-pemain bola sepak negara mengembangkan bakat mereka beraksi di luar negara seperti dicetuskan Safee yang beraksi untuk Pelita Jaya sejak Februari lalu. | |
Posted: Program latihan bukan puncaREXY (tengah) mempertahankan bahawa program latihannya bukan punca kekalahan anak didiknya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Kejohanan Badminton Dunia di London baru-baru ini. KETUA jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky menafikan laporan kononnya program latihannya menjadi punca kemerosotan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada suku akhir Kejohanan Dunia di London, dua minggu lepas. Sebaliknya, beliau menggesa pihak yang melemparkan dakwaan tersebut supaya melihat semula tahap kekuatan fizikal dan stamina pasangan itu yang agak rendah berbanding beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong. "Mereka (Koo dan Tan) sudah diberitahu agar bermain bersifat serangan semasa menentang pasangan Korea Selatan itu. "Tetapi mereka tidak dapat menyaingi kepantasan lawan mereka itu. "Kedua-dua faktor itu bukankah melibatkan kekuatan fizikal pemain, jadi mengapa pula program latihan saya yang dipersalahkan," katanya semalam. Justeru, Rexy, bekas pakar beregu Indonesia mempersoalkan sama ada pihak yang bertanggungjawab memantau tahap kekuatan fizikal dan stamina kedua-dua pemain tersebut, menjalankan tugas dengan baik atau sebaliknya. Kelmarin sebuah akhbar nasional melaporkan bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyalahkan program latihan Rexy atas kekalahan beregu itu pada Kejohanan Dunia yang lalu. Menurut laporan itu, BAM membuat kesimpulan tersebut setelah mendengar penerangan Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz yang dikatakan membuat penilaian saintifik ke atas corak permainan beregu tersebut. Kien Keat-Boon Heong dikatakan menunjukkan corak permainan yang kurang memuaskan berbanding kejohanan yang sama tahun lepas, khususnya ketika menentang pasangan Korea selatan itu pada perlawanan suku akhir. Beregu utama negara itu tewas 17-21, 13-21 kepada lawan mereka itu. Rexy berkata, beliau sudah mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang ada padanya kepada anak didiknya itu sepanjang mereka berada di bawah bimbingannya. "Tetapi adakah mereka mampu melakukan apa yang saya suruh jika ia tidak seiiring dengan kekuatan fizikal mereka?" soal pemenang pingat emas Olimpik 1996 itu yang berpasangan dengan Ricky Subagja. Sementara itu, Dr. Ramlan berkata, hasil kajian yang dibentangkan kepada beberapa wakil BAM termasuk presiden, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh itu sebenarnya bukan untuk pengetahuan umum. "Laporan itu akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM untuk penelitian mereka sebelum sebarang tindakan diambil," katanya. | |
Posted: FAM tunggu jawapan AFCSKUAD Olimpik negara dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Indonesia penghujung tahun ini. MALAYSIA masih menunggu jawapan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung penangguhan perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 antara skuad negara menentang Syria pada 23 November depan. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya telah mengutuskan surat kepada Syria dan memaklumkan kepada AFC, namun masih belum menerima jawapan rasmi dari negara Teluk itu. Malaysia sebelum ini memohon penangguhan agar perlawanan tersebut dilewatkan sehari kepada 24 November bagi memberi laluan kepada Sukan SEA di Indonesia yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 November. "Kita sudah memaklumkan kedudukan yang sebenarnya kepada Syria. "Bagaimanapun, secara lisan saya difahamkan yang pihak Syria ada memberi bayangan kepada pihak AFC bahawa mereka akan memenuhi permintaan Malaysia," katanya semalam. Terdahulu, skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee diberi tanggungjawab untuk memikul kedua-dua tugasan iaitu saingan Sukan SEA dan kelayakan Olimpik kumpulan zon Asia. Pada Sukan SEA nanti acara bola sepak akan bermula pada 7 November dan perlawanan akhir 22 November. Mengikut jadual asal, Malaysia akan berdepan Syria (23 November) dan diikuti Bahrain pada 27 November. Azzuddin berkata, penundaan sehari itu memadai kerana mengikut peraturan pertandingan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pemain mesti mempunyai 48 jam rehat selepas perlawanan antarabangsa. "Jadual dalam kumpulan ini (Kumpulan C) telah diaturkan lebih awal, kita tidak boleh meminta penundaan yang panjang oleh kerana ia ada hubung kait dengan dua perlawanan yang lain," katanya. Dalam perkembangan lain, Azzuddin berkata, pihaknya telah memberi jawapan kepada Australia yang FAM akan menerima undangan mereka dalam perlawanan persahabatan pada 7 Oktober depan. "Kita telah menerima undangan dari Australia itu dua hari yang lalu dan saya telah berbincang dengan jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan juga pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal. Katanya, perlawanan persahabatan ini merupakan satu penghormatan kerana Australia merupakan salah satu pasukan dalam 16 kumpulan terbaik Asia bagi saingan Piala Dunia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan