Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Safee dapat lampu hijau

Posted: 09 Sep 2011 12:06 PM PDT

SEGALA-GALANYA kini terserah kepada kudrat dan kemampuan penyerang negara, Mohd Safee Sali untuk membuktikan kemampuannya kepada pengurus Cardiff City, Malky Mackay.

Kelab Indonesia yang diwakilinya, Pelita Jaya FC (PJFC) sudah memberikan lampu hijau kepada pemain berusia 27 tahun itu untuk menjalani ujian percubaan (trial) bersama kelab Liga Divisyen Dua England terbabit selama dua minggu bermula Isnin ini.


Perkhabaran gembira terbabit disahkan pengurus peribadinya, Zakaria Abd Rahim yang menjelaskan pelepasan amat dinantikan itu sudah diberikan pihak pengurusan PJFC dan surat pelepasan terbabit juga sudah dikeluarkan pagi semalam.

"Persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak dan dia dijadualkan kembali ke Malaysia pada Ahad ini (tengahari) sebelum berangkat ke sana beberapa jam selepas itu," katanya semalam.


Menurutnya, Mohd Safee akan tinggal di asrama pemain dan berpeluang menjalani latihan bersama-sama skuad utama kelab berpangkalan di Wales itu yang bersaing dalam Liga Kejuaraan.


"Dia akan diberikan sehari dua sebelum memulakan ujian percubaan terbabit. Perkembangan dan kebolehannya akan dipantau menerusi ujian serta program yang disusun panel pemilihan sepanjang tempoh terbabit dan berkemungkinan besar turut mendapat peluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan bagi membuktikan kebolehannya dalam aksi perlawanan sebenar.

"Sekiranya berjaya memikat hati kelab terbabit, terpulanglah kepada budi bicara pihak Cardiff City untuk berunding dengan PJFC kerana dia masih mempunyai kontrak sehingga Januari 2012," katanya.


Cardiff City bagaimanapun mungkin terpaksa membayar dengan harga mahal bagi mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu kerana dia antara pemain tonggak yang membantu PJFC mengelakkan diri daripada tersingkir ke liga bawahan, musim lalu.

Khidmatnya jelas amat diperlukan apabila menjadi satu-satunya pemain import PJFC yang tidak digugurkan musim ini bagi menghadapi saingan musim baru Liga Super Indonesia (ISL) yang bermula 8 Oktober depan.


Tawaran ujian percubaan untuk Mohd Safee adalah yang kedua dilakukan Cardiff City, kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee selepas berminat untuk menguji kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim. Namun usaha terbabit terpaksa ditangguhkan kerana komitmen bersama Selangor dalam kancah Piala Malaysia.

Bapa saman MPPD

Posted: 09 Sep 2011 09:33 AM PDT

SHAH ALAM: "Sejak saya bergelar saudara baru lebih 18 tahun lalu, inilah dugaan terhebat yang pernah saya hadapi," kata tukang kasut Mohammad Arif Yap, 40, yang mahu memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kerana didakwa tidak menyelenggara longkang sehingga menyebabkan kematian anak sulungnya pada hari raya pertama lalu.

Pada 2 September lalu Harian Metro melaporkan kunjungan sebuah keluarga ke Pantai Batu 10, Port Dickson, pada 1 Syawal lalu bertukar tragedi apabila anak sulung mereka, Nur Zahira, 2, ditemui lemas.


Difahamkan, ketika kejadian jam 8 malam itu, mangsa ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter dan dijumpai di persisiran pantai berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter daripada tempat kejadian.

Mohammad Arif yang berhenti seketika daripada kerjanya membaiki kasut mendakwa alasan MPPD bahawa penutup longkang di mana anaknya terjatuh dicuri, dilihat seolah-olah mahu 'lepas tangan' daripada kejadian itu.


Dia juga kesal kerana pihak berkuasa tempatan itu tidak membuat permohonan maaf sebaliknya menyalahkan pihaknya yang dikatakan cuai kerana gagal menjaga anak apabila keluarganya singgah di pantai itu.


"Apa yang saya kesalkan, lubang sedalam dua meter (m) itu langsung tidak ditandakan. Malah, ia terlindung kerana berhampiran dengan parkir tanpa sinaran lampu jalan.

"Oleh itu, saya mahu membawa perkara ini ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan sewajarnya," katanya ketika ditemui di pejabat Tetuan Boestaman Ahmad dan Co di Subang Perdana, dekat sini, semalam. Sidang akhbar itu turut dihadiri isterinya, Hamizah Ibrahim, 36, dan anak keduanya, Kamarul Arifin, 1.


Mohammad Arif yang baru mendapat bantuan zakat selepas kematian Nur Zahira berkata, dia sudah melantik peguam Boestaman Ahmad dan akan memfailkan saman itu di Mahkamah Seremban, dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, katanya, ia bukan bertujuan untuk mendapatkan wang ringgit, tetapi untuk memberi peringatan kepada pihak terbabit supaya bertanggungjawab di atas tragedi itu.

"Sebagai orang Islam saya reda dengan pemergian anak saya, namun tindakan menyaman ini perlu bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya. Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohammad Arif berkata, ia berlaku dalam sekelip mata apabila Nur Zahira hilang sebaik keluarganya selesai menunaikan solat Maghrib.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan