Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Woon-Vivian setaraf elit

Posted: 02 Oct 2011 11:58 AM PDT

SELEPAS hanya lima bulan disatukan semula, beregu kedua wanita negara Woon Khe Wei-Vivian Hoo meraih gelaran pertama di pentas senior apabila menjuarai GP Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan semalam.

Kemenangan itu bagaimanapun bukanlah petanda bahawa mereka sudah boleh mendabik dada sebaliknya terus belajar bagaimana untuk menjadi gandingan lebih baik dengan prestasi konsisten untuk menerobos kelompok elit dunia yang kini di kuasai China.


"Walaupun menang di sini banyak lagi yang kami perlu tingkatkan. Kami tidak akan terlalu gembira kerana gandingan yang kami atasi bukanlah yang terkuat," kata Vivian ketika dihubungi di Kalimantan.

Pada final semalam, Khe Wei-Vivian menewaskan pasangan China, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18 dalam masa satu jam 15 minit.


Hasil kemenangan itu Khe Wei-Vivian membawa pulang hadiah wang tunai RM30,241 (AS$9,480).


"Saya dan Khe Wei amat gembira akhirnya kami muncul juara. Inilah impian kami dan di sinilah bermulanya langkah kami untuk masa depan." Gandingan yang dipisahkan selepas Kejohanan Badminton Asia (ABC) tahun lalu itu hanya disatukan semula selepas Kejohanan ABC Tahun ini April lalu. Malah mereka mempamerkan aksi memberangsangkan ketika kali pertama menyertai GP Emas Terbuka Thailand Julai lalu apabila ke separuh akhir sebelum tunduk kepada gandingan China Cheng Shu-Yixin Bao.

Sebelum muncul juara di Indonesia, gandingan ini pernah ke final Kejohanan ABC 2010 apabila mereka ke final tetapi ditewaskan satu lagi pasangan China, Pan Pan-Tian Qian.


"Saya harap kami mampu konsisten dengan melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir di setiap kejohanan yang disertai.

"Kemenangan di sini menjadi penyuntik semangat untuk menjadikan kami gandingan yang lebih baik dan saya berharap dengan mendapat jurulatih baru Rexy Mainaky akan melengkapkan kami sebagai beregu yang baik," kata Vivian.


Sementara jurulatih beregu, Chong Kien Ling yang mengiringi pemain ke Kalimantan, amat gembira dengan prestasi Khe Wei, 22, dan Vivian, 21, yang dianggapnya konsisten di sepanjang kejohanan.


"Saya puas hati dengan permainan mereka. Mereka keluarkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman yang ada untuk memenangi perlawanan hari ini malah mereka melakukan perkara sama di sepanjang kejohanan," kata Kien Ling.


"Gandingan China ini bukanlah yang terkuat tetapi kelebihan milik mereka berbanding pemain negara dengan corak serangan yang mantap dan memiliki kepantasan.


"Namun Khe Wei-Vivian mengikut arahan supaya bersabar dengan mengajak lawan bermain rali untuk mendapatkan mata." Khe Wei-Vivian seharusnya lebih awal mengesahkan kemenangan tetapi kegopohan mahu menamatkan perlawanan lebih awal di set pertama ketika mendahului 17-12 mengundang padah membolehkan Bao-Qianxin meraih mata dan memenangi set itu dengan kesilapan sendiri.


Sebelum mengatasi pilihan kelapan, Bao-Qianxin, Khe Wei-Vivian menundukkan pilihan keenam juga dari China, Cheng Shu-Pan Pan di suku akhir.

Bukan pemain negara

Posted: 02 Oct 2011 11:51 AM PDT

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) mengesahkan dua pemain yang gagal dalam ujian doping ketika beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia bukan pemain skuad negara dan kedua-duanya meminta untuk menjalani ujian sampel B bagi mengesahkan keputusan berkenaan.

Setiausaha PHM, Maninderjit Singh menerusi satu kenyataan berkata, selepas keputusan sampel B diketahui, barulah Jawatankuasa Pengurusan Keputusan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan membuat keputusan mengenainya sebelum Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan PHM mengesahkan keputusan itu.


"Berikutan ujian sampel B yang diminta oleh atlet berkenaan melalui Pengurus Pasukan mereka, nama kedua-duanya tidak boleh didedahkan sehingga perkara atau keputusan itu disahkan. Bagaimanapun, kedua-dua pemain yang diuji, positif berdasarkan ujian sampel A.

"Ketika ini, apa saja kenyataan yang dikeluarkan oleh PHM mestilah adil dan tidak berat sebelah. Untuk itu PHM akan membuat pengumuman rasmi selepas segala prosedur sudah dijalankan," katanya.


Semalam satu laporan akhbar menyatakan dua pemain yang beraksi untuk kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di saingan Liga Hoki Malaysia digantung oleh pengurusan pasukan selepas didapati gagal dalam ujian doping.


Difahamkan, pengurusan pasukan diberitahu mengenai keputusan ujian itu oleh PHM pada 27 September lalu dan kedua-duanya didapati positif ujian itu selepas perlawanan antara UniKL dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 18 September lalu.

Sementara itu, pada perlawanan semalam, UniKL berjaya mengikat Nur Insafi 3-3 pada satu perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.


Gol-gol UniKL disumbang oleh Muhamad Izad Hakimi Jamaluddin pada minit ke-35 menerusi jaringan padang, Muhamad Ramadan Rosli (m-43) serta Muhammad Noor Faeez Ibrahim pada minit ke-45.

Jurulatih UniKL, K Enbaraj menyatakan, meskipun pasukannya sedang berdepan masalah membabitkan dua pemainnya, namun secara keseluruhan ia tidak menjejaskan aksi anak buahnya dan ia dibuktikan pada perlawanan semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan