Kosmo Online - Sukan |
Posted: Harapkan sentuhan MisbunTANPA berselindung, jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih mengharapkan sentuhan bekas 'sifunya', Datuk Misbun Sidek dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Bagaimanapun, pemain No. 1 dunia itu menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM). "Jika saya mahukan Misbun kembali membimbing saya semula sekalipun, saya masih tidak boleh berbuat apa-apa kerana sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh BAM. "Saya terikat dengan BAM. BAM ada pengurus yang buat keputusan dan saya hanya ikut saja," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelantikannya sebagai duta jenama Cafe 99 Ipoh White Coffee di Shah Alam semalam. Misbun yang telah berkhidmat dengan BAM selama lapan tahun telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan pada 31 Disember tahun lalu selepas dilaporkan berselisihan faham dengan badan induk sukan badminton negara itu. Ketiadaan Misbun sekali gus menyaksikan Chong Wei kini berada di bawah kendalian Tey Seu Bock dan Rashid Sidek. Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan Chong Wei selaku pemain No. 1 dunia sejak 2008. Tambah Chong Wei, tatkala hanya tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik membuka tirainya, dia menganggap tempoh tersebut adalah sangat penting buat dirinya untuk melakukan persiapan. Malah, pemain berusia 29 tahun itu turut mengalu-alukan sebarang bantuan dari sesiapa saja dalam memastikan sandaran yang diletakkan di atas bahu untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik berjaya direalisasikan. "Namun, saya tahu, yang penting adalah diri saya sendiri. Saya sendiri kena fokus dan melakukan persiapan," tambah Chong Wei yang mengakui sedikit tertekan dengan harapan tinggi semua pihak. Jelasnya, berbanding seteru utamanya, Lin Dan dari China yang mempunyai sokongan daripada pemain-pemain muda seperti Chen Long dan Chen Jin, beliau terpaksa menanggung beban meraih pingat emas Sukan Olimpik seorang diri. "Begitupun, itu semua tidak apa. Sukan Olimpik kali ini merupakan penampilan terakhir saya. "Saya sudah tidak kisah dengan tekanan. Saya anggap ini satu cabaran dan saya harap media dan semua yang lain memberi sokongan," jelas Chong Wei. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: 'Chen Long bukan ancaman'CHONG WEI bersama produk jenama Cafe 99 selepas dilantik sebagai duta produk tersebut di Shah Alam semalam. "CHEN Long bukan ancaman saya."Demikian tegas jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak bintang muda China itu dalam beberapa kejohanan utama kebelakangan ini. Sebelum ini, selain perseorangan utama China, Lin Dan banyak pihak meramalkan bahawa Chen Long bakal menjadi musuh baharu Chong Wei dalam misinya memburu pingat emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Ini kerana, dalam empat pertemuan dengan Chen Long tahun ini, Chong Wei tewas sebanyak tiga kali. Sebagai rekod, Chen Long mengejutkan Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun pada September dan Terbuka Denmark (Oktober) dan tewas pada peringkat separuh akhir Siri Super Akhir di Liuzhou, China Sabtu lalu. Bagaimanapun, Chong Wei menjelaskan bahawa satu-satunya pemain yang mampu menggugat impian bagi membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik adalah Lin Dan. "Saya rasa Chen Long bukan pencabar utama saya. Saya sedar semua orang bimbang selepas melihat saya kalah kepadanya tiga kali tahun ini, tetapi tidak untuk diri saya. "Ketika itu, saya tidak berada pada tahap terbaik kerana agak keletihan selepas beraksi dalam begitu banyak kejohanan dalam tempoh tiga bulan lalu sekali gus tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap permainan saya. "Orang cakap, kini saya perlu berdepan cabaran sukar dua jaguh China, namun saya fikir Lin Dan lebih memberi ancaman kepada saya," kata Chong Wei kepada pemberita selepas majlis pelantikan dia sebagai duta jenama 'Cafe 99 Ipoh White Coffee' di Shah Alam semalam. Mengulas mengenai prestasi keseluruhannya tahun ini, Chong Wei menyifatkan pencapaian yang dilakarnya masih tetap membanggakan meskipun kecewa dengan kegagalan meraih gelaran juara pada Kejohanan Dunia di London Ogos lalu. "11 perlawanan akhir, tujuh kejuaraan dan empat kali naib juara serta tiga separuh akhir. " Jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu, ada kalanya saya kalah seawal pusingan pertama, kedua. Tetapi untuk kesemua 14 pertandingan saya sertai tahun ini, saya hanya kalah kepada dua pemain sahaja, Lin Dan dan Chen Long. "Saya hampir untuk meraih gelaran juara dunia namun terpaksa akur apabila gagal berbuat demikian. "Kini, segala peristiwa yang mengecewakan pada 2011 sudah saya lupakan dan tumpuan saya beralih arah menjelang saingan 2012," jelas Chong Wei. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Beckham masih tiada tandingan
KARIER bekas bintang bola sepak England, David Beckham masih belum menunjukkan tanda-tanda suram. Meskipun telah berusia 36 tahun, bekas kapten skuad The Three Lions itu masih lagi laku di pasaran. Setelah bermain dengan tiga kelab terkemuka dunia iaitu Manchester United, Real Madrid dan AC Milan, perancang yang kini bersama Los Angeles Galaxy itu masih mampu menarik minat banyak kelab elit Eropah. Terbaru, suami kepada anggota kumpulan pop Spice Girls, Victoria itu kini dikaitkan dengan kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG). Namun, pihak pengurusan Beckham, XIX Entertainment dengan pantas menepis spekulasi tersebut meskipun kontraknya dengan LA Galaxy berakhir 31 disember ini. "Tiada perjanjian dicapai dengan mana-mana kelab setakat ini. Semua cerita mengenai perjanjian tersebut hanyalah spekulasi sahaja. "David masih lagi belum membuat keputusan mengenai masa depannya," kata XIX Entertainment. Biarpun berita itu hanya spekulasi, namun jelas sekali ia membuktikan bahawa populariti pemain kesayangan England itu masih utuh dan laku di pasaran. Media melaporkan PSG sanggup menawarkan gaji 800,000 euro (RM3.32 juta) sebulan untuk membawa imej dan populariti Beckham ke ibu negara Perancis itu. PSG yang dimiliki oleh Qatar Sport Investments, mahu menggunakan Beckham sebagai daya penarik kepada peminat bola sepak terhadap Liga Perancis, khususnya berkaitan dengan pemasaran dan penjenamaan kelab tersebut. Selain menjadi bintang bola sepak terkemuka, Beckham yang mempunyai raut wajah yang kacak turut menjadi ikon metroseksual, model dan jurucakap kepada produk-produk terkenal dalam dunia fesyen, minyak wangi, kosmetik dan penjagaan kesihatan. Status selebriti yang dikecapi Beckham di luar padang ini bagaimanapun tidak menjejaskan fokus utamanya di atas padang. Buktinya, Beckham pernah menduduki tempat kedua dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali dan menjadi pemain menerima gaji paling mahal di dunia pada 2004 ketika bersama Real Madrid. Pada 2007, Beckham menyertai saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat dan sekali lagi menerima bayaran tertinggi dalam kontraknya bersama LA Galaxy selama tiga tahun. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan