Utusan Online - Sukan |
Posted: Sedia galas watak utamaOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Seandainya saingan berlarutan sehingga ke permainan kelima iaitu perlawanan penentuan, pemain muda negara, Mohd. Arif Latif sedia menyahut cabaran sebagai perseorangan ketiga negara pada kelayakan Piala Thomas di Macau, bulan depan. Empat tahun lalu, keberanian dan semangat juang yang dimiliki Arif, menjadikan dia pilihan jurulatih untuk membawa cabaran Malaysia pada pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta, meskipun baru berusia 19 tahun ketika itu. Biarpun permainannya belum cukup meyakinkan, namun sekali lagi keberanian dan semangat juang pemain berusia 23 itu mungkin meletakkan dia sebagai pilihan untuk mengatasi seorang lagi pemain muda negara, Liew Daren andai saingan memasuki peringkat penting. Mungkin ini bukan kali pertama dia diberi kepercayaan beraksi pada kejohanan berpasukan prestij itu, namun ini kali pertama dia bakal memegang watak utama dan bukan sekadar memanaskan bangku simpanan seperti empat tahun lalu. Meskipun dilabel sebagai bahagian paling lemah dalam skuad negara dan langsung tidak diberi harapan oleh peminat serta pemerhati badminton tanah air, namun kerana semangat juang tinggi, Arif langsung tidak patah semangat menerima segala kritikan. Tegas naib juara remaja Asia 2007 itu, tanggungjawabnya adalah membantu Malaysia melepasi kelayakan Piala Thomas, maka dia akan menyiapkan diri ke tahap terbaik untuk menyumbang mata setiap kali diberi kepercayaan beraksi. "Kemampuan saya mungkin belum meyakinkan banyak pihak tetapi saya adalah pejuang dan sebagai pejuang saya akan bermain mati-matian untuk membantu pasukan saya menang. "Saya tidak kisah apa orang hendak kata, pada saya tanggungjawab saya adalah bermain dan saya akan bersiap untuk memastikan saya memberi permainan terbaik," katanya. Tambahnya, ia kali kedua dia mendapat kepercayaan beraksi dalam skuad Piala Thomas, tetapi keadaan kali ini jauh berbeza dengan empat tahun lalu. "Saya sedar, saya kena bersedia bila-bila masa untuk memainkan peranan besar, mungkin sebagai perseorangan ketiga, jadi perlu pastikan saya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menggalas tugas berat itu. "Berada dalam skuad 2008 membantu saya memahami tekanan berada dalam persekitaran Piala Thomas, tetapi beraksi untuk Malaysia dalam acara berpasukan pada Sukan SEA di Jakarta tahun lalu banyak mematangkan saya, baik dari segi mental dan permainan,'' ujar Arif. Jika pada Piala Thomas 2008 dia sekadar menjadi pemain simpanan yang langsung tidak diturunkan, namun pada Sukan SEA, November lalu Arif antara tonggak yang membawa Malaysia melayakkan diri ke fina berpasukan. Meskipun Malaysia akhirnya kalah 1-3 kepada pasukan pilihan yang jauh lebih berpengalaman, Indonesia dalam perlawanan akhir, namun peranan yang dimainkan Arif memberi pengaruh besar dalam permainannya. Dia akur 13-21, 17-21 kepada Tony Surgiato dalam final berpasukan. Begitupun dalam saingan individu, Arif menunjukkan semangat juang tinggi dengan mengheret jaguh Indonesia yang lebih berpengalaman, Simon Santoso beraksi dalam rubber games, sebelum kalah 11-21, 21-12, 17-21. Menurut Arif, yang menemani jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim serta Liew Daren dalam perseorangan Piala Thomas negara, tempoh kurang tiga minggu menjelang saingan di Macau adalah amat penting untuk memperbaiki sebanyak mungkin kelemahan yang ada. "Saya gembira Hendrawan (jurulatih) juga akan bersama kami di Macau nanti. Beliau mempunyai pengaruh besar dalam permainan saya. Kami akan menggunakan tempoh kurang tiga minggu ini untuk memastikan saya berada pada tahap paling maksimum dari segi keyakinan, mental, fizikal dan permainan. "Saya tidak akan menghampakan jurulatih dan pasukan. Menang atau kalah, saya akan memberikan yang terbaik. Sekalipun kalah, biarlah kalah selepas melawan dan menunjukkan permainan seratus peratus. "Saya akan mendapatkan nasihat rakan-rakan senior dan abang saya juga (Mohd. Zakry Latif) untuk mendapatkan tips Piala Thomas,'' kata Arif lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Siasat rasuah bukan tanggungjawab FAM sepenuhnya Posted: Siasat rasuah bukan tanggungjawab FAM sepenuhnyaKUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan badan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memerangi gejala rasuah bola sepak di negara ini, kata Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad. Beliau sebaliknya berkata, skandal rasuah bola sepak adalah satu kesalahan jenayah dan ia adalah di bawah bidang kuasa siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "FAM hanya boleh menghukum pesalah, sama ada pemain atau jurulatih, apabila mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap pesalah," katanya ketika dihubungi semalam. Beliau mengulas mengenai pendedahan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa sembilan anggota skuad negeri itu disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan selepas tewas 2-7 kepada MP Muar pada aksi pertama Liga Perdana pada 9 Januari lalu. Sehubungan itu, Azzuddin meminta semua anggota gabungannya memikirkan jalan terbaik bagi menyekat gejala rasuah bola sepak yang kembali menular. Beliau berkata, tanggungjawab untuk memerangi gejala itu bukan hanya terletak di bahu FAM sebaliknya tanggungjawab semua anggota gabungan yang bernaung di bawah FAM. "Saya harap persatuan negeri mahupun kelab mengambil berat tentang perkara ini bagi mengelak pemain mahupun jurulatih mereka terjebak dengan gejala itu," katanya. Azzudin berkata, tanggungjawab persatuan dan kelab juga ialah memberi maklumat yang secukupnya kepada pasukan masing-masing tentang kesalahan melakukan jenayah rasuah bola sepak menerusi penerangan dari pihak SPRM negeri pasukan berkenaan. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan