Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Kena 1 dan 5 tahun

Posted: 08 Feb 2012 09:47 AM PST

SERAMAI 11 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan 2011 mendapat 'azab' awal kerana menerima rasuah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan penggantungan satu dan lima tahun berkuat kuasa mulai 30 November tahun lalu sekali gus menghalang mereka terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Situasi mungkin bertambah parah andai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan mengambil tindakan susulan hingga menjurus kepada pendakwaan di mahkamah.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, badan induk bola sepak negara itu mengambil tindakan sedemikian berdasarkan bidang kuasa dimiliki dan selebihnya terserah kepada pihak berwajib.

"Terpulang kepada mereka (SPRM) untuk memutuskan bentuk tindakan lanjut seperti mendakwa dan sebagainya. Kami (FAM dan SPRM) sentiasa berkongsi dan bertukar maklumat berhubung gejala tidak sihat ini," katanya.


FAM dalam satu kenyataan semalam mendedahkan senarai nama 11 pemain yang didapati bersalah dengan tujuh pemain, Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhamad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari, Muhamad Rizqi Azman dan Mohd Hafiz Mohd Nor dikenakan penggantungan lima tahun dengan rayuan hanya boleh dilakukan selepas setahun serta dibuat secara bertulis kepada FAM.


Empat lagi pemain, Mohd Yatim Abdullah, D Adrian, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A'ashari dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tataterbib selama setahun serta tidak boleh dirayu.

Ketua jurulatih, Yusarman Yusof pula yang menghadapi kes di mahkamah atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan pula digantung seumur hidup oleh FAM dengan rayuan hanya boleh dibuat selepas 10 tahun menjalani hukuman.


Dia didakwa memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada 11 pemainnya.

Azzuddin turut menegaskan jumlah sebenar mereka yang terbabit belum boleh didedahkan berikutan ketidakhadiran beberapa pemain ketika dipanggil Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini dan berlaku 'salah faham' apabila 18 pemain didakwa akan dihukum.


Bagaimanapun pegawai dan pemain Piala Presiden SDM Navy 2011, MP Muar 2011, serta T-Team bagi musim 2010 turut digantung sementara hingga hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib akan datang.



Dollah puji pemain

Posted: 08 Feb 2012 09:44 AM PST

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh memuji komitmen pemain yang berjaya mengutip tiga mata berharga selepas membenam Johor di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, kelmarin.

Menurutnya, biarpun prestasi skuad kendaliannya itu pada babak kedua menurun, kemenangan itu sememangnya dinantikan.


"Namun, tiga mata itu diharap meningkatkan moral pemain untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan berikutnya. Saya harap semua pemain mengekalkan komitmen dan disiplin jika mahu meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik," katanya.

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh berkata, prestasi itu diharap dikekalkan untuk terus bersaing dengan pasukan seperti Tentera dan Polis.


Menurutnya, kemenangan itu juga meningkatkan moral pemain selepas tewas 2-3 kepada Tentera Jumaat lalu.


"Saya berterima kasih kepada pemain yang bijak memanfaatkan peluang terutama komitmen padu Azamuddin Akil untuk membolehkan Pahang meraih tiga mata.

"Namun sokongan semua pemain diperlukan untuk meletakkan Pahang setanding dengan pasukan yang memiliki barisan pemain berpengalaman," katanya.


Pada perlawanan kelmarin, Azamuddin menjaringkan dua gol pada minit ke-11 dan 28, gol ketiga dan keempat peribadi selepas enam perlawanan liga.

Kemenangan itu meletakkan Pahang kembali mengungguli takhta Liga Perdana dengan 13 mata.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan