Utusan Online - Sukan |
'Perosak' wajar terima hukuman Posted: 'Perosak' wajar terima hukumanOleh AINOL AMRIZ ISMAIL SEREMBAN - Perosak dalam industri bola sepak negara memang wajar dikenakan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apatah lagi ia telah menipu penyokong yang selama ini tidak berbelah bahagi meniupkan semangat kepada pemain dan pasukan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua yang terlibat dalam industri bola sepak termasuk pemain, jurulatih dan pegawai hendaklah mengambil iktibar daripada penggantungan yang dibuat oleh FAM ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah bola sepak. ''Jadikan pengajaran kepada orang yang tidak terlibat supaya isu menjual permainan dan rasuah bola sepak ini adalah perkara yang serius dan wajar diperangi," kata Mohamad di sini, semalam. Tegasnya, jika FAM tidak bertindak dengan keputusan tegasnya, maka ramai pihak yang akan memandang ringan isu ini, sekali gus menghancurkan industri bola sepak negara. ''Orang ramai telah ditipu dengan mereka yang mempunyai niat tidak betul dalam bola sepak," ujarnya. Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu: "Kita tidak mahu melihat merudumnya bola sepak negara pada era 80-an sehingga menyebabkan ranking dunia jatuh, berulang angkara mereka yang tidak bertanggungjawab ini. ''PBNS merupakan yang pertama melaporkan perkara itu, walaupun merasa amat susah hati. Selepas dipertimbangkan sebaik mungkin, maka itu adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan industri bola sepak ini. ''Penggantungan ini dibuat oleh FAM dan terpulanglah kepada mereka yang terlibat itu untuk menerima pengajaran daripada perbuatan mereka," kata Mohamad. Beliau menjelaskan, PBNS amat kesal kerana ramai pemain muda yang terlibat telah dididik bermain dengan baik dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan 2011. ''Tetapi disebabkan kecuaian, mereka terjebak. Ramai pemain yang terlibat tidak mengetahui kerana disangka bonus tertentu. Biasanya bonus akan diisytiharkan oleh Presiden dan bonus tidak diisytiharkan dalam karaoke," katanya. |
Posted: Edrus sambar emas pertamaOleh FERZALFIE FAUZI Edrus Yunus (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Iran, Mahmoud Parash (kiri) dan pemenang gangsa Wu Lok Chun dari Hong Kong di atas podium pada ACC 2012 di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR - Hari kedua Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 disinari dengan kejayaan emas pertama negara menerusi Edrus Yunus dalam acara satu kilometer ujian masa individu semalam di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras. Kejayaan pelumba berpangkalan di Melbourne itu mengulangi pencapaian Rizal Tisin yang turut memenangi emas acara yang sama di Korat, tahun lepas. Edrus mencatat masa satu minit 6.547 saat, mengetepikan pelumba Iran, Mahmoud Parash (1:06.986s) manakala gangsa diraih Wu Lok Chun dari Hong Kong (1:07.862s). Menurut Edrus, sebelum perlumbaan dia berasa agak penat kerana bertarung dalam saingan repacharges pecut yang diganjak pada awal pagi semalam akibat hujan kelmarin. "Bagaimanapun selepas perlumbaan tersebut saya mendapatkan urutan dan fikir untuk beraksi sebaik mungkin walaupun masih kepenatan, ternyata ia membuahkan hasil dengan memenangi emas," katanya selepas tamat perlumbaan semalam. Jelasnya, dia amat terkejut kerana memenangi emas selepas sudah lama tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut kerana ia bukanlah berada dalam sasarannya. "Saya hanya meletakkan sasaran untuk memenangi pingat tanpa mengira warna tetapi saya berjaya meraih emas, mungkin kerana tidak ada tekanan yang menyebabkan saya mampu meraih kejayaan ini. "Ketiadaan pelumba China, Zhang Miao mungkin memberi ruang terbuka buat saya untuk meraih emas, ketika acara ini kurang mendapat tumpuan kerana tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2012 London," katanya. Di sebalik kemenangan tersebut Edrus juga boleh dianggap sebagai bidan terjun kerana sepatutnya acara itu diwakili oleh Rizal namun atas sebab kerja, peluang diberikan kepadanya. "Selepas John (Beasley) membuat keputusan seminggu sebelum acara ini bahawa saya akan mengambil bahagian dalam acara ini jadi saya bersedia untuk melakukan yang terbaik hasilnya saya berjaya meraih emas," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan