Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Tindakan mereka tidak beretika’

Posted: 02 Mar 2012 08:40 AM PST

TINDAKAN tiga atlet olahraga negara iaitu Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed dan Yee Yi Ling yang mengaku menggunakan sampel air kencing individu lain ketika diminta hadir menjalani ujian perubatan (medical test) pada 24 Mei tahun lalu, mengundang rasa kesal Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Sambil menganggap tindakan itu tidak beretika, Ramlan yang sememangnya cukup arif dengan dunia perubatan sukan berkata, tindakan ketiga-tiga atlet itu seperti yang terkandung dalam "Laporan hasil siasatan terhadap enam atlet yang menghilangkan diri apabila diminta menjalani ujian anti-doping di ISN' seperti dilaporkan Arena Metro kelmarin, hanya merugikan mereka. "Jika benar apa yang didakwa, atlet terbabit menanggung kerugian cukup besar kerana tujuan ujian air kencing adalah untuk mengenal pasti tahap kesihatan atlet, contohnya sama ada mempunyai kandungan gula yang berlebihan dan sebagainya.


"Pada masa sama, dakwaan ini menunjukkan betapa rosaknya integriti di kalangan jurulatih di negara ini.

"Apapun, tentu sekali bukan saya saja, malah seluruh warga ISN berasa amat hampa dengan tindakan mereka kerana 'kerja' itu seolah-olah memperkecilkan usaha kami untuk menjaga dan meningkatkan prestasi atlet.


"Saya serta semua warga ISN berusaha bantu mereka, tetapi mereka seperti mensia-siakan peluang yang diberikan," katanya dengan nada kesal.


Jelas Ramlan, sebagai seorang atlet, mereka perlu menjaga integriti dan tidak perlu mendengar nasihat orang lain jika arahan yang diberikan itu tidak betul atau menyalahi undang-undang.

Menerusi keterangan tiga atlet itu dalam laporan itu, mereka menerima arahan daripada jurulatih Harun Rasheed untuk membawa sampel air kencing individu lain sehari sebelum diminta hadir ke ISN untuk menjalani ujian perubatan pada 24 Mei - prosedur biasa bagi atlet yang akan menjalani latihan di luar negara.


Selesai menjalani ujian, semua enam atlet diminta ISN menjalani ujian anti-doping yang menyaksikan mereka gagal menjalani ujian itu pada hari ditetapkan sekali gus mencetuskan kontroversi ketika itu, sebelum tiga daripadanya iaitu Siti Fatimah, Siti Zubaidah dan Yi Ling hadir pada keesokan harinya untuk melakukan ujian anti-doping di ISN.

Sampel air kencing untuk ujian perubatan dengan ujian anti-doping adalah dua perkara berbeza.


Sementara itu, Ramlan menambah, pihaknya tidak pernah berdiam diri sebaliknya akan memantau perkembangan isu itu yang dikendalikan sebuah jawatankuasa di KOM.


"Apa yang boleh saya katakan ialah, semua pihak perlu akur dan patuh kepada undang-undang yang ditetapkan kerana pada akhirnya, mereka juga yang akan rugi jika melanggar peraturan," katanya.



Tuah T-Team

Posted: 02 Mar 2012 08:31 AM PST

T-TEAM terpaksa menanti jaringan Mohd Faiz Subri pada babak kedua untuk meraih kemenangan tipis, 1-0 walaupun dihidangkan sekurang-kurangnya lima peluang untuk menggegar gawang Sarawak dalam babak pertama saingan Liga Super yang kembali bersambung selepas berehat dua minggu.

Skuad kendalian Yunus Alif itu beraksi dengan baik dalam aksi kesembilan liga apabila menguasai sebahagian besar perlawanan pada babak pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.


Hanya kecekapan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani menafikan peluang T-Team untuk meledak gol dalam tempoh 45 minit pertama termasuk dua percubaan Mohd Faiz Subri.

Sejurus babak kedua, pasukan pelawat yang dikendali Roberts Alberts cuba mengimbangi corak permainan lawan dengan mengatur beberapa serangan namun masih belum mampu menggegar gawang T-Team yang dikawal Syamsuri Mustafa. T-Team sebaliknya meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-67 apabila Faiz melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti untuk menerjah jaring sebelum sekali lagi mendapat peluang tiga minit kemudian, namun ditepis keluar Sani Anuar.


Bagaimanapun Sarawak berpeluang membawa pulang satu mata namun rembatan kencang pemain gantian, Zamri Morshidi pada minit ke-89 dihalang Syamsuri bagi memastikan tiga mata kekal menjadi milik tuan rumah.


"Saya gembira kami berjaya memungut tiga mata walaupun banyak mensia-siakan peluang. Saya akui Faiz memang memainkan peranan penting apabila diletakkan kembali ke posisi asal iaitu bahagian sayap kiri selepas pada awalnya dikekang lawan apabila diletakkan sebagai penyerang utama," kata Yunus.

Keputusan ini membolehkan T-Team mencatatkan kemenangan kelima untuk melonjak ke tangga kedua di belakang Kelantan dengan mengumpul 16 mata manakala Sarawak kekal di tangga kelapan liga berbekalkan 11 mata.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan