Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Strategi tidak menjadi

Posted:

Strategi tidak menjadi

Strategi tidak menjadi

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

HENJUTAN TERAKHIR... Harrif (kanan) bersaing hebat dengan beberapa pelumba pada peringkat kesembilan LTdL 2012 di Kuala Terengganu semalam.


HAJAT peminat sukan berbasikal Terengganu untuk menyaksikan anak kelahiran negeri itu menaiki podium pada peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam tidak kesampaian.

Ini kerana dua pelumba Terengganu Pro Asia (TSG) yang juga adik-beradik, Mohd. Zamri dan Mohd. Harrif Salleh hanya mampu menamatkan saingan sejauh 165.7 kilometer (km) dari Kemasik ke Kuala Terengganu itu di tempat kelapan dan kesepuluh selepas satu insiden yang membabitkan seorang lagi pelumba negara, Anuar Manan berlaku ketika tiga kilometer terakhir.

Pada awal perlumbaan, Anuar telah mengatur strategi untuk bergandingan bersama Harrif dalam usaha memastikan seorang pelumba dari Terengganu menjuarai peringkat tersebut di hadapan peminat mereka.

Namun, kemalangan yang menimpa pelumba pasukan Champion System itu bersama pelumba lain di peloton hadapan menyebabkan Harrif mula ketinggalan di belakang, sekali gus menjejaskan strategi mereka.

"Pada perlumbaan tadi saya telah merancang strategi bersama Anuar iaitu kami akan saling bantu-membantu menjadi 'pembawa' sehingga ke kilometer terakhir.

"Namun, ketika tiga kilometer terakhir, dia (Anuar) pula terlibat dengan kemalangan dengan kelompok hadapan, sekali gus menyebabkan saya terpisah dengan peloton hadapan dan terpaksa bekerja seorang untuk mengejar mereka.

"Ini menyebabkan saya kehabisan banyak tenaga kerana jarak peloton hadapan dengan saya sangat jauh dan ketika saya berjaya menghimpit mereka, saya pula sudah kehabisan tenaga untuk ke garisan penamat," jelas Harrif semalam.

Selepas Anuar, 26, tidak mampu meneruskan strategi yang dirancangkan, Harrif kemudian terpaksa bergantung kepada kudrat abangnya, Zamri, 29, namun semua itu dilihat sudah terlambat.

"Memang kecewa sekali kerana gagal menghadiahkan kejayaan kepada peminat di Kuala Terengganu. Saya berasa seperti telah memusnahkan harapan mereka.

"Namun, saya telah cuba sehabis baik. Kalau Anuar tidak terlibat dalam kemalangan dan mampu membawa saya ke hadapan, saya rasa tidak mustahil salah seorang daripada kami berjaya menaiki podium hari ini (semalam)," jelas Harrif lagi.

Zamri yang banyak membantu adiknya ketika muncul naib juara pada peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai kelmarin, turut meluahkan perasaan kecewanya ekoran kemalangan yang melibatkan Anuar itu.

"Strategi Harrif dan Anuar ialah mereka saling menjadi 'pembawa' sambil berharap salah seorang daripada mereka mampu melakukan pecutan untuk menaiki podium, namun insiden kemalangan pula menjejaskan strategi itu.

"Saya rasa kami tidak bernasib baik hari ini (semalam) dan nampaknya pada perlumbaan esok (Dataran Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu hari ini) menjadi peluang terakhir bagi kami menebus kegagalan," jelas Zamri.

Bojan sah jurulatih baharu Kelantan

Posted:

Bojan sah jurulatih baharu Kelantan

Bojan sah jurulatih baharu Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULAH
sukan@kosmo.com.my


BOJAN (kiri) diberi kepercayaan membimbing Kelantan sehingga akhir musim ini.


KETUA Pegawai Eksekutif Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army), Bojan Hodak secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter James Butler.

Keputusan untuk memilih Bojan selaku ketua jurulatih The Red Warriors yang baharu diputuskan oleh Jawatankuasa Pasukan Negeri, dipengerusikan Rosmadi Ismail semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Bojan sebagai antara calon bagi menggantikan Butler apabila beliau diberi tanggungjawab mengendalikan sesi latihan skuad The Red Warriors.

Bojan diberi tanggungjawab itu apabila Butler menghilangkan diri, sebelum beliau mencapai persetujuan dengan KAFA untuk menamatkan kontraknya awal minggu lalu.

Rosmadi yang juga Naib Presiden KAFA berkata, pemilihan jurulatih kelahiran Croatia itu dibuat pihak pengurusan selepas mengambil kira pengalaman dan kepakaran yang miliki oleh bekas pengendali UPB-MyTeam itu.

"Dengan pengumuman ini, maka tamatlah segala spekulasi yang timbul sebelum ini tentang siapakah pengganti Peter James Butler.

"Kita yakin dan percaya, kehadiran Bojan Hodak mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Butler sebelum ini," katanya di Kota Bharu semalam.

Rosmadi memberitahu, Bojan akan melatih Kelantan bagi tempoh setahun bermula Mac sehingga tamat musim ini.

"Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki beliau sememangnya ditagih untuk memastikan Kelantan mampu mencipta kejuaraan musim ini," jelasnya.

Bojan pernah menabur bakti selama tiga tahun bersama UPB-MyTeam bermula 2006, sebelum berhijrah ke Phnom Penh Crown FC dalam Liga Kemboja selama enam bulan pada 2011-2012.

Harimau Muda mula atur langkah

Posted:

Harimau Muda mula atur langkah

Harimau Muda mula atur langkah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


KIM SWEE (kiri) tidak mahu cepat berpuas hati dengan prestasi skuad Harimau Muda dalam saingan Liga-S setakat ini.


MESKIPUN berjaya mengutip enam mata maksimum dalam dua perlawanan sebelum ini, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menganggap masih terlalu awal untuk menilai prestasi pasukannya pada saingan Liga Singapura (Liga-S).

Pada perlawanan di Stadium Yinshun, Singapura malam kelmarin, skuad Harimau Muda menepati ramalan apabila menewaskan Tanjong Pagar United 3-0.

Ketiga-tiga gol tersebut dijaringkan oleh Syahrul Azwari Ibrahim, Gary Steven Robbat dan A. Thamil Arasu.

Dengan kemenangan tersebut, skuad kendalian Kim Swee yang masih mempunyai baki satu perlawanan berbanding pasukan lain, kini menghuni tangga kedua liga.

Kejayaan itu sekali gus memberikan suatu petanda positif kepada Harimau Muda dalam memburu mahkota Liga-S. Ini merupakan penyertaan sulung mereka dalam liga tersebut.

Begitupun Kim Swee menegaskan, pertemuan menentang Albirex Niigata pada 18 Mac ini merupakan ujian penting bagi menilai kemampuan sebenar anak-anak didiknya.

"Kami akan beraksi menentang Syria (pada aksi kelayakan Olimpik) dan mempunyai masa selama tiga hari sebelum menentang Albirex. Sudah tentu masalah kecederaan dan kecergasan pemain akan menimpa pasukan.

"Saya sempat menyaksikan persembahan Albirex ketika menewaskan Woodlands. Mereka merupakan pasukan yang hebat.

"Saya mahukan barisan pertahanan kami memberikan tumpuan penuh kepada dua penyerang Albirex (Yasuhiro Yamakoshi dan Toshikazu Soya) pada perlawanan itu nanti.

"Tetapi dengan kehadiran pemain utama atau tidak, saya yakin pertemuan menentang Albirex cukup penting untuk saya menilai sejauh mana kemampuan pasukan," kata Kim Swee kepada Kosmo! Ahad semalam.

Beliau berkata, Gary kini dibelenggu masalah kecederaan pangkal paha dan beliau berharap pemain itu dapat sembuh sebelum pertemuan menentang Albirex.

"Sudah tentu kami berazam untuk mencatatkan kemenangan ketika menentang Albirex walaupun tanpa khidmat Gary.

"Tetapi saya berharap dia pulih sebelum perlawanan itu nanti," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan