Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pesuruhjaya Sukan tempat mengadu

Posted:

Pesuruhjaya Sukan tempat mengadu

Pesuruhjaya Sukan tempat mengadu

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

HAMBERI berkata sesuatu kepada Mohd. Yasin ketika menyampaikan petisyen di Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil semalam.


SEDAR tiada tindakan diambil oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung petisyen yang diserahkan pada 13 Februari lalu, beberapa jurulatih olahraga negara bersemuka dengan Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil semalam.

Kumpulan itu yang diketuai jurulatih pecut, Hamberi Mahat sekali lagi mengambil langkah yang sama untuk menghantar petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh.

Hamberi berkata, kandungan yang terdapat dalam laporan itu mengenai kemelut dalaman yang telah berlaku dalam KOM serta isu doping melibatkan atlet negara sebelum ini.

"Kami mendapat maklumat ada Akta Pembangunan Sukan 1997 dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Sukan yang berhak mengambil tindakan kepada individu atau persatuan yang boleh menjejaskan pembangunan sukan.

"Selepas tiada tindakan yang diambil, jadi kami mengambil langkah untuk menyerahkan petisyen itu kepada Pesuruhjaya Sukan.

"Kami berharap dengan perbincangan yang telah kami lakukan dengan Datuk (Mohd. Yasin) tadi (semalam), saya harap akan ada keputusan yang positif dan telus," kata Hamberi selepas menyerahkan petisyen tersebut di Pejabat Pesuruhjaya Sukan, Bukit Jalil semalam.

Menurut Hamberi, Mohd. Yasin meminta diberikan masa untuk menilai laporan yang diserahkan itu sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

"Kami menuntut agar mereka menyiasat apa yang telah berlaku dalam KOM yang dilihat mampu mendatangkan masalah kepada atlet dan jurulatih.

"Datuk (Mohd. Yasin) memberitahu yang beliau akan menghantar surat kepada KOM untuk meminta penjelasan petisyen itu dalam tempoh dua minggu lagi.

"Jurulatih dan atlet olahraga tidak ada kuasa, kami hanya boleh buat laporan (petisyen) dan tunggu tindakan selanjutnya," tambahnya lagi.

Mohd. Yasin pula berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci petisyen yang telah diserahkan itu.

"Saya telah menerima petisyen daripada jurulatih dan atlet kebangsaan. Saya akan meneliti dahulu sebelum mengambil keputusan seterusnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamberi berharap Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim tidak lagi dicalonkan bagi menjawat jawatan tersebut pada mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM bulan depan.

"Objektif kami menulis petisyen itu kerana tidak mahu dia (Karim) ada dalam kesatuan, sekiranya terjadi juga, kami akan cuba melakukan sesuatu yang termampu," ujarnya.

Terengganu lepasi 'ranjau berduri'

Posted:

Terengganu lepasi 'ranjau berduri'

Terengganu lepasi 'ranjau berduri'

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

TERENGGANU kini berada pada landasan terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas berjaya melepasi halangan Lions XII pada aksi suku akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Menampilkan corak permainan tersusun dengan keutamaan di posisi pertahanan, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris jelas bersemangat melalui tempoh 90 minit permainan bagi mengikat tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Keputusan itu memberi kelebihan kepada Terengganu untuk melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 1-0, sekali gus bakal membuat perhitungan dengan kelab kerdil, Sime Darby bagi penentuan ke final.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Mat Zan memberi pujian menggunung kepada kesemua pemainnya di atas semangat tinggi yang dipamerkan mereka sepanjang perlawanan.

Katanya, dengan jumlah pemain yang terhad ekoran krisis kecederaan yang menimpa skuad Penyu, skuad kendaliannya masih mampu memberikan tentangan kepada Lions XII.

"Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama pada perlawanan itu dan beberapa pemain yang diturunkan seperti Francis Forkey Doe pula belum cergas sepenuhnya.

"Bagaimanapun, kami berjaya melalui perlawanan ini dengan baik. Berjaya menyekat Lions XII daripada membolosi gawang kami.

"Ia adalah kejayaan yang cukup besar kerana semua tahu Lions XII merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini," jelasnya.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang menewaskan Kelantan pada final Piala FA musim lalu, turun di Stadium Jalan Besar dengan bekalan satu gol hasil jaringan Joseph Kalang Tie di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemain utama skuad Penyu itu termasuk Joseph, Marzuki Yusof, Abdul Manaf Mamat dan Reshafiq Alwi tidak dapat disenaraikan akibat kecederaan.

"Saya sentiasa percaya kepada kemampuan pemain saya dan tidak kira mereka berada di bangku simpanan ataupun kesebelasan utama, mereka adalah yang terbaik.

"Justeru, saya hanya mengharapkan mereka dapat kekalkan rentak ini untuk memastikan kemaraan kami ke final dan seterusnya mempertahankan piala ini," ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran daripada Sime Darby, Mat Zan mengakui, beliau sentiasa menghormati mana-mana pasukan ataupun kelab yang berada dalam saingan Liga-M.

"Buat masa ini, kami mahu fikirkan dulu saingan Liga Super dan Piala AFC sebelum memberi tumpuan untuk aksi separuh akhir bulan depan," jelasnya.

Presiden KFA tegur rentak Kedah

Posted:

Presiden KFA tegur rentak Kedah

Presiden KFA tegur rentak Kedah

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

PRESTASI tidak menentu pemain import Kedah, Mohammed Hamidan menimbulkan rasa tidak puas hati individu No. 1 dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Maka memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Presiden KFA menegur Hamidan agar meningkatkan lagi prestasi bagi membantu Kedah meraih kemenangan.

"Dalam (sukan) bola sepak, persefahaman adalah perkara utama dan bagi memperoleh elemen itu, ia memerlukan masa, lebih-lebih lagi kepada pemain import baharu.

"Misalnya, pasukan kebangsaan. Kadang-kadang mereka lemah sebab bercampur dengan ramai pemain dan tiada persefahaman. Mereka perlu masa untuk bentuk persefahaman.

"Sebab itu kadang-kadang pasukan kebangsaan ini kalah dengan pasukan kelab kerana mereka (pemain pasukan kelab) bermain bersama sudah lama dan mempunyai persefahaman yang baik," kata Azizan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Alor Setar semalam.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah menambah, sebelum ini 'riuh rendah' dalam kalangan penyokong kerana Kedah sering mengalami kekalahan.

"Bagaimanapun, sekarang Kedah sudah menang, malah lebih menarik menewaskan T-Team untuk layak ke separuh akhir Piala FA.

"Saya ingat seri jadi saya masuk tidur. Rupanya menang 2-1," katanya.

Menurut Azizan, kejayaan yang dicapai Kedah dalam beberapa perlawanan terakhir menyebabkan penyokong setia skuad Kenari kembali memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka itu.

"Dulu peminat tidak sokong pemain dan mereka pun bermain sambil lewa. Bak kata orang hambar. Sekarang semua sudah bersemangat, pemain dan penyokong," katanya.

Justeru, Azizan turut mengingatkan barisan pemain Kedah yang lain supaya berdisiplin dan meningkatkan keazaman untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

"Pemain juga perlu mempunyai keyakinan diri dan optimis. Semua boleh bermain tetapi tiada keyakinan pada diri menyukarkan pasukan untuk menang," katanya.

Menyentuh tekanan yang bakal dihadapi Kedah ketika menentang Kelantan dalam aksi separuh akhir Piala FA bulan depan, Azizan memberitahu: "Semua pasukan berada dalam situasi itu dan yakin Kedah mampu meraih kemenangan.

"Kelantan pun takut dekat kita (Kedah) dan kita pun takut dekat Kelantan tetapi saya yakin Kedah boleh menang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan