Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Shahidan tidak gentar

Posted: 03 Apr 2012 09:30 AM PDT

MESKIPUN bakal dicabar Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berganjak daripada pendiriannya untuk mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak dua penggal lalu.

Menurut Shahidan, beliau masih sangsi dengan laporan media mengenai hajat Tunku Ismail untuk bertanding merebut kerusi panas itu memandangkan dirinya mendapat maklumat berbeza daripada Ahli Majlis KOM.


"Sebelum ini pada Disember tahun lalu dan Februari tahun ini, Ahli Majlis memaklumkan kepada saya bahawa tiada siapa yang berminat untuk bertanding merebut jawatan. Jadi saya percaya dengan apa yang dimaklumkan Ahli Majlis dan atas sebab itu saya menyatakan kesediaan mempertahankan jawatan sebelum ini.

"Tapi baru sekarang saya mendapat tahu akan ada pencalonan. Bagi saya jika Tunku Ismail berminat untuk memegang jawatan kami boleh berbincang tapi jika Tunku Ismail mahu bertanding, saya kena lawanlah..." katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kelmarin, Tunku Ismail menerusi kenyataan yang dikeluarkan Presiden Persatuan Olahraga Johor, Datuk Mohd Rashidi Mohd Noor, menyatakan kesediaan baginda untuk dicalon bagi merebut jawatan Presiden KOM.


Persetujuan Tunku Ismail itu dicapai selepas mengadakan perbincangan dengan 12 daripada 15 ahli gabungan negeri yang menemui baginda pada 18 Mac lalu.

Menurut Rashidi, pencalonan Tunku Ismail bakal membuka lembaran baru buat KOM yang kini suram selepas dihimpit pelbagai kontroversi.


Bagaimanapun Shahidan nyata kurang senang dengan dakwaan Rashidi itu yang mendakwa Tunku Ismail mendapat sokongan padu ahli gabungan badan induk olahraga tanah air itu.

"Persatuan Olahraga Johor tidak boleh membuat kenyataan banyak persatuan negeri yang menyokong Tunku Ismail kerana persatuan negeri sebenarnya masih belum membuat sebarang keputusan lagi. Bagi saya itu kenyataan yang tidak tepat.


"Tidak semestinya seorang wakil negeri yang turut serta dalam pertemuan itu akan menggambarkan pendirian negeri itu kerana setiap negeri mempunyai tiga wakil yang layak mengundi pada pemilihan itu nanti," katanya.


Tambahnya, beliau tidak terlalu memikirkan mengenai pemilihan itu kerana mahu menyelesaikan perkara penting terlebih dulu antaranya kes penggunaan dadah atlet olahraga di Sukan Sea Indonesia, pendakwaan terhadap Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim serta kes jurulatih dan atlet memberi kenyataan melampau terhadap KOM sebelum Mesyuarat Agung Tahunan berlangsung hujung bulan ini.




Berat hati ke Singapura

Posted: 03 Apr 2012 09:25 AM PDT

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Namun tidak seberat hati Francis Forkey Doe yang terpaksa kembali ke Stadium Jalan Besar di Singapura untuk menghadapi tentangan tuan rumah, Tampines Rovers, dalam saingan Kumpulan F Piala AFC, malam ini.


Ejekan penonton di stadium yang menghinanya dengan panggilan 'monkey' (monyet), 'kunta-kinte' (watak hamba Afrika dalam siri televisyen), orang hitam, 'nigger' (ungkapan penghinaan kepada orang berkulit hitam) minggu lalu masih terngiang-ngiang di telinganya.

Penyerang 26 tahun kelahiran Liberia itu berkata, jika ditanya pendapat peribadinya, dia sudah tawar hati untuk berkunjung ke Singapura lagi, namun sebagai pemain bola sepak profesional, dia terpaksa menunaikan tanggungjawabnya.


"Pihak pengurusan ada memberitahu saya yang Persatuan Bola Sepak Singapura akan memastikan perkara sama tidak akan berulang namun saya percaya tidak semudah itu untuk mereka mengawal tutur kata dan tingkah laku penyokong pasukan mereka.


"Cuma kali ini, saya akan cuba untuk tidak menghiraukan apa jua kutukan mereka kepada saya kerana saya tidak mahu permainan saya terganggu memandangkan perlawanan ini amat penting buat Terengganu," katanya.

Cuma, kata Doe lagi, dia berharap penyokong Tampines Rovers tidak sama dengan penyokong LionsXII yang berlaku biadap kepadanya.


"Sekiranya kumpulan berkenaan berlainan, ada kemungkinan saya tidak diganggu dan itu akan memudahkan tugas saya untuk membantu pasukan mencari kemenangan kedua kami dalam saingan Piala AFC ini.

"Namun, walau apa pun yang terjadi, saya berjanji akan menutup telinga saya terhadap segala kejian yang mungkin akan dilontar kepada saya dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan," katanya.


Sementara itu, jurulatih, Mat Zan Mat Aris, gembira kerana mendapat kembali khidmat Doe yang tidak beraksi ketika Terengganu seri 0-0 dengan Johor FC di Kuala Terengganu, Sabtu lalu akibat digantung satu perlawanan.


"Seperti yang dapat dilihat ketika menentang Johor FC, kami amat memerlukan Doe kerana Manaf (Mamat) yang masih mengalami kecederaan pergelangan kakinya dan Hadi (Yahya) yang masih belum bermain dengan baik.


"Kami faham yang Doe masih terganggu emosinya akibat dihina oleh penyokong Singapura namun kami mengharapkan yang dia dapat melupakan episod buruk itu dan menumpukan perhatian kepada perlawanan yang bakal menentukan hala tuju kami dalam saingan Piala AFC ini," katanya.


Terengganu masih berpeluang untuk mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas Song Lam Nghe An di Vietnam dan tewas kepada kelab Hong Kong, Kitchee, di Kuala Terengganu.


"Tampines Rovers tumpas kedua-dua perlawanan mereka setakat ini dan sekiranya kami berjaya menewaskan mereka di Singapura dan di tempat sendiri nanti, peluang kami untuk ke peringkat seterusnya akan terbuka luas," katanya.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan