KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menyifatkan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mungkin sudah besar kepala apabila tidak hadir tanpa alasan kukuh ke majlis berprestij Anugerah Sukan Negara 2011, malam kelmarin,.
Tindakan Chong Wei yang dilihat seperti sengaja memperlekeh anugerah Olahragawan Kebangsaan yang dimenanginya, mendorong Zolkples untuk menganggap mungkin pemain itu menyifatkan anugerah itu tidak bernilai selain tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang sudi menyampaikan hadiah.
"Mungkin hadiah RM20,000 itu tidak bernilai bagi orang yang berpendapatan RM2 atau RM3 juta setahun tapi bagi atlet lain seperti Pandelela Rinong yang pendapatannya kurang daripada RM50,000 setahun, nilai itu cukup besar. Mungkin kita kena naikkan nilai hadiah menjadi RM200,000 baru Chong Wei mahu hadir," katanya.
Zolkples turut mempersoal mengapa Chong Wei yang memang berada di Malaysia tidak hadir sedangkan Pandelela sanggup pulang dari Moscow semata-mata kerana mahu menghadiri majlis anugerah itu dengan penerbangan lebih daripada 10 jam sebelum terbang semula ke Mexico selama 20 jam pada keesokan harinya selepas tamat majlis anugerah itu.
"Saya tidak mahu kata sama ada Chong Wei sudah besar kepala atau tidak. Jika Pandelela boleh balik dalam keadaan tidak sepatutnya kerana menganggap anugerah ini penting, terpulanglah kepada anda semua untuk menilainya. Ini bukan kali pertama Chong Wei melakukan perkara begini, suka hati tidak datang ke mana-mana majlis.
"Sebelum ini pernah berlaku, kalau dia tidak menang, dia takkan datang. Tapi kali ini, dia menangpun dia tak datang, mungkin dia anggap dirinya sudah bertaraf bintang," katanya.
Sebelum majlis berkenaan berlangsung, Zolkples meminta Chong Wei hadir tapi menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pemain itu yang berbunyi: "Saya tak dapat hadir. Maaf, saya akan hantar abang saya." "Jika Chong Wei perlu mempersiapkan diri bagi menyertai sebarang pertandingan penting, seperti kelayakan ke Olimpik umpamanya, mungkin dia mempunyai alasan kukuh untuk tidak hadir, namun saya sudah dimaklumkan Chong Wei tidak mempunyai sebarang pertandingan penting," kata Zolkples.
Sementara itu, abang Chong Wei, Lee Chong Hoon berkata, adiknya tidak dapat hadir kerana demam, namun tidak tahu sama ada demam itu teruk atau sebaliknya.
Rakan sepelatih Chong Wei yang ditemui berkata, finalis Kejohanan Dunia itu menjalani latihan keras ketika sesi pagi dan petang pada hari sama majlis anugerah berlangsung tanpa sebarang tanda dia demam.
Malam kelmarin menyaksikan Chong Wei dinobat Olahragawan Kebangsaan buat kali ketiga manakala kejayaan Pandelela merekodkan aksi cemerlang di peringkat antarabangsa membolehkan atlet itu merangkul anugerah Olahragawati buat kali pertama sekali gus menamatkan penguasaan Datuk Nicol David yang meraih anugerah berkenaan selama lima tahun berturut-turut.
Olahragawan dan Olahragawati kebangsaan 2011 masing-masing menerima RM20,000.
0 ulasan:
Catat Ulasan