Kosmo Online - Sukan |
Posted: DKK jadi peganganOleh HELMI TALKAH DISIPLIN, komitmen dan kesetiaan (DKK). Tiga elemen yang menjadi pegangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memastikan atlet-atlet di bawah naungan badan induk sukan olahraga negara itu melakar kejayaan di pentas antarabangsa bagi mengharumkan nama negara. Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut barisan atlet negara menyemaikan tiga elemen tersebut dalam diri masing-masing jika mahu melihat sukan olahraga menghadirkan impak yang lebih positif di peringkat antarabangsa. Beliau berkata, jika itu dapat dilakukan, bukan suatu yang mustahil untuk mereka mencipta kejayaan. "Sebagai contoh, Pandelela Rinong (atlet terjun wanita negara), mengapa dia boleh mencipta kejayaan? Ini kerana, dia memiliki disiplin, komitmen dan kesetiaan yang tinggi demi melakarkan kejayaan untuk negara. "Begitu juga dengan atlet-atlet olahraga negara. Jika mereka memiliki elemen DKK ini, tidak mustahil mereka juga mampu untuk meraih kejayaan. "Sebab itu, saya mahu tidak kira jurulatih mahupun atlet menunjukkan disiplin, komitmen dan kesetiaan yang tinggi jika mahu melihat sukan olahraga negara kembali bersinar," kata Shahidan. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kem Olahraga Negara di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam. Turut hadir ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan barisan pegawai tertinggi KOM. Menurut Shahidan, hasil program yang dijalankan dengan kerjasama MSN selama tiga hari di Agrotech Garden Hulu Langat itu bermula Selasa lalu, pihaknya kini dapat melihat atlet-atlet olahraga negara mempunyai semangat juang yang cukup tinggi. "Inilah hasilnya menerusi program yang kita jalankan. Atlet-atlet menunjukkan semangat juang yang tinggi. "Saya harap semangat seperti ini dapat dikekal dan membawa semangat seperti ini setiap kali beraksi dalam mana-mana kejohanan yang akan disertai nanti," jelas Shahidan. Meskipun mengakui wujudnya polemik dalam KOM sebelum ini, Shahidan menegaskan bahawa perkara tersebut sudah berlalu dan apa yang paling penting adalah memikirkan mengenai program pembangunan demi kemajuan sukan olahraga negara. "Segala yang telah berlaku, biarlah ia berlalu. Kami mahu lupakan segala cerita yang tidak elok mengenai KOM. "Saya sudah tidak mahu ada perbezaan pendapat dalam kalangan atlet, jurulatih dengan pegawai-pegawai KOM. Jika ada apa-apa, ia boleh diselesaikan dengan perbincangan," ujarnya. Sementara itu, Zolkples memberitahu pihaknya dan KOM telah mengenal pasti tiga calon yang dilihat layak untuk memegang jawatan selaku Pengarah Teknikal KOM. "Apa yang saya boleh katakan, ketiga-tiga calon itu tadi adalah dari luar negara. Namun, belum ada keputusan penuh dibuat mengenainya kerana kami mahu meneliti dengan lebih terperinci" kata Zolkples. |
Fatehah tidak sabar ke Olimpik London Posted: Fatehah tidak sabar ke Olimpik LondonOleh SHAHRIL ABDULLAH FATEHAH sudah tidak sabar untuk mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Olimpik 2012. RATU trek berbasikal negara, Fatehah Mustapa berazam untuk menebus kegagalannya pada Kejohanan Berbasikal Dunia 2012 di Melbourne baru-baru ini dengan melakukan kejutan pada Sukan Olimpik 2012 London, Julai depan. Fatehah, 23, sebelum ini mencatat sejarah baharu sukan negara apabila muncul pelumba wanita pertama layak beraksi pada Sukan Olimpik dalam acara keirin di London nanti. Meskipun gembira kerana bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu enggan dibuai mimpi indah dengan pencapaian tersebut, sebaliknya berazam untuk memberi tumpuan kepada misinya mara ke pusingan final acara keirin. "Saya sedar peluang untuk memenangi pingat dalam acara ini memang sukar, apatah lagi pada penampilan pertama saya di pentas Olimpik ini," jelas Fatehah pada sidang akhbar bersama atlet Olimpik negara di Bukit Jalil baru-baru ini. "Oleh itu saya perlu lebih realistik. Berdasarkan saingan daripada pelumba negara yang lain, saya rasa misi saya kali ini adalah untuk layak ke pusingan final A. "Pada Kejohanan Trek Dunia 2012 di Melbourne awal bulan ini, saya hanya mampu beraksi pada pusingan final B (penentuan 7-12) selepas terkandas pada separuh akhir, jadi saya mahu menebusnya dengan mara ke final A di London nanti," ujarnya lagi. Fatehah mendapat slot beraksi pada sukan Olimpik selepas menduduki tempat ke-13 dalam ranking keirin dunia yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), di bela- kang pelumba China, Guo Shuang (No. 7) dan Lee Wai Sze dari Hong Kong (No. 9). Hanya dua kuota pelumba terbaik Asia sahaja yang dibenarkan beraksi di Olimpik, namun disebabkan Guo Shuang telah pun mendapat tiket automatik dalam acara pecut dan keirin, jadi slot tambahan tersebut menjadi milik Fatehah. Prestasi Fatehah mula meningkat setelah berjaya mara ke final Siri Piala Dunia Klasik di Colombia tahun lalu. |
Liga Futsal Mpire Kosmo! dilancar Posted: Liga Futsal Mpire Kosmo! dilancarOleh NASRI JAMALUDIN SYAHRIN (berdiri tengah) turut beraksi dalam perlawanan futsal persahabatan pada majlis prapelancaran Liga Futsal Remaja Mpire Kosmo! di Johor Bahru kelmarin. PRAPELANCARAN Liga Futsal Remaja Mpire Kosmo! 2012 di Sport Prima Pandan, Johor Bahru malam kelmarin berlangsung secara sederhana, namun tetap meriah dengan beberapa aktiviti sampingan turut diadakan. Program tersebut telah dilancarkan oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaluddin. Turut hadir penolong pengarah pertandingan, Zulrumaizi Abu Bakar. Pada majlis tersebut, Gerakan Belia 4B Johor secara rasmi sah menjadi rakan penganjur pertandingan. Sebelum upacara itu bermula, Syahrin dan beberapa anggota Gerakan Belia 4B, berbasikal sejauh 20 kilometer bermula dari Setia Indah hingga ke pusat futsal berkenaan. Selain itu, beliau turut meluangkan masa bermain futsal persahabatan menentang Kelab Media Johor yang turut dihadiri presidennya, Mohamad Fauzi Ishak. Syahrin dalam ucapan perasmiannya berkata, pihaknya senantiasa menyokong penganjuran pertandingan futsal yang merupakan sukan popular ketika ini. "Kita juga tidak ada halangan untuk menghantar ahli-ahli Gerakan 4B di negeri ini untuk menyertai pertandingan yang diadakan di setiap daerah itu. "Pertandingan ini juga memberi peluang kepada belia untuk melakukan aktiviti yang berfaedah, sekali gus dapat bersaing secara sihat," katanya. Gerakan Belia 4B mempunyai 20,000 ahli di seluruh negeri Johor. Syahrin juga menyeru golongan remaja dan belia agar mengambil kesempatan menyertai pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu. "Jika penganjur dapat mengadakan pertandingan ini setiap tahun, pasti akan lahir lebih ramai pemain futsal berbakat, sekali gus membawa kebaikan kepada pemain dan negara," katanya. Dalam pada itu, Zulrumaizi berkata, dengan prapelancaran tersebut, diharapkan para peminat futsal di seluruh negara tampil untuk sama-sama menyokong penganjurannya. Katanya, prapelancaran itu juga menunjukkan komitmen pihaknya yang bersungguh-sungguh ingin menjayakan pertandingan berkenaan. "Mereka yang berminat masih berpeluang menyertai pertandingan ini kerana sirkit pertama di Batu Pahat hanya akan bermula pada 28 dan 29 April ini. "Bagaimanapun, para peserta dinasihatkan menghantar penyertaan awal berikutan penyertaan pada hari pertandingan tidak akan dilayan," katannya. Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan ini, sila hubungi Sekretariat Pertandingan di talian 013-7860313 atau layari laman sosial Facebook iaitu Liga Futsal Mpire Kosmo! |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan