Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Che Mat tetap enggan berundur

Posted:

Che Mat tetap enggan berundur

Che Mat tetap enggan berundur

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

NADA tegas disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh bahawa beliau tidak sesekali akan meninggalkan persatuan itu.

Malah, pemimpin veteran itu turut menempelak segelintir penyokong Terengganu yang disifatkannya tidak faham mengenai prestasi sebenar skuad Penyu itu ketika ini.

Menurut Che Mat, Terengganu bukannya berada pada kedudukan kritikal sehingga memaksa peletakan jawatan mana-mana individu termasuk jurulatih, sebaliknya skuad itu berada pada landasan terbaik untuk mencatat satu lagi kejayaan musim ini.

"Kita masih berada pada kedudukan kedua dalam Kumpulan F Piala AFC dan telah melayakkan diri ke separuh akhir dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA.

"Dalam saingan Liga Super pula, Terengganu bukannya menghuni kedudukan tercorot tetapi berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini," jelas Che Mat kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Che Mat yang mula menyertai PBSNT sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pada 1974 sebelum memenangi pemilihan jawatan presiden pada 2000 mengakui, tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh segelintir penyokong Terengganu.

Bagaimanapun, Che Mat berkata, beliau percaya kumpulan penyokong itu mungkin mempunyai agenda tersendiri sehingga memaksanya untuk berundur daripada mengemudi PBSNT.

"Kalau mereka kecewa disebabkan kekalahan kita kepada Selangor dan Tampines Rovers kelmarin, kenapa pula mereka tidak menyambut pemain-pemain kita di lapangan terbang selepas menang ke atas Tampines Rovers minggu lalu.

"Jika ingin menjadi penyokong, mereka patut sentiasa berdiri di belakang pasukan tidak kira ketika Terengganu kalah atau menang," tambahnya.

Che Mat juga tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengannya apabila terlalu lama berada dalam PBSNT.

"Mungkin mereka rasa saya sudah lama berada dalam persatuan ini dan inginkan perubahan. Tapi saya ingin tanya, siapa yang mahu ambil persatuan ini," katanya.

Mengenai nasib jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, beliau mengakui tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh bekas pemain kebangsaan itu.

"Mat Zan mengambil alih pasukan pada ketika pasukan berada pada kedudukan yang baik dan sudah pasti para penyokong mengharapkan sesuatu daripada dia.

"Tapi apabila tewas, penyokong menyalahkan jurulatih sedangkan mereka tidak tahu pemain kita cukup keletihan apabila perlu melalui jadual perlawanan padat," jelasnya.

Kelmarin, hampir 300 penyokong tegar Terengganu berkumpul di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan mendesak Che Mat berundur daripada memimpin PBSNT.

Desakan itu berlaku sejurus Terengganu tewas 0-2 kepada Tampines Rovers pada aksi Kumpulan F Piala AFC.

Sebelum ini, para penyokong Terengganu turut mendesak Che Mat berundur ekoran perpindahan bekas jurulatih, Irfan Bakti ke Selangor secara mengejut.

Sasaran masih belum tersasar

Posted:

Sasaran masih belum tersasar

Sasaran masih belum tersasar

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


CHONG WEI menjadi taruhan terbaik kontinjen Malaysia bagi merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih berada pada landasan yang tepat dalam misi menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

Bagi Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia, dia diletakkan sebagai sandaran bagi membawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia, manakala Kien Keat-Boon Heong cukup sekadar meraih pingat tidak kira apa warna sekalipun pada temasya berprestij dunia itu.

Anggota Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, peminat-peminat sukan tanah air sudah tidak perlu bimbang dengan kecederaan di bahagian bahu kanan yang dialami Chong Wei sebelum ini.

Katanya, pemain berusia 30 tahun itu telah kembali menjalani latihan sepenuhnya dan kini dalam proses untuk meningkatkan semula tahap keyakinan diri untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan.

"Hari ini (semalam), Chong Wei telah kembali menjalani latihan penuh di bawah kendalian jurulatihnya (Tey Seu Bock).

"Ia merangkumi corak permainan di jaring, melakukan pukulan smash dan corak permainan secara bertahan. Maklum balas yang saya terima daripada Seu Bock, Chong Wei telah melakukan latihan tersebut dengan baik tetapi tetap berhati-hati.

"Jadi saya percaya, Chong Wei akan berada pada tahap prestasi sebenarnya sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula nanti," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Chong Wei mencetuskan kebimbangan peminat-peminat sukan tanah air selepas dia mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan ketika aksi final Seluruh England 2012 di Birmingham bulan lalu.

Kecederaan itu memaksa Chong Wei diketepikan daripada beraksi pada kempen Piala Axiata 2012.

Diminta mengulas mengenai Kien Keat-Boon Heong yang dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, James menjelaskan, kedua-dua pemain itu kini bekerja keras untuk kembali mempamerkan kebangkitan.

"Saya sendiri lihat mereka ketika sesi latihan, mereka nampak bersemangat dan bekerja keras. Tiga jurulatih beregu (Tan Kim Her, Pang Cheh Chang dan Yoo Yong-sung) sedang berusaha untuk membantu mereka kembali pada tahap prestasi sebenar.

"Nasihat saya, Kien Keat-Boon Heong perlu sedar mereka diletakkan harapan yang tinggi untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik kali ini dan kini segala-galanya terletak di tangan mereka," jelasnya.

Kemerosotan prestasi yang dipamerkan Kien Keat-Boon Heong sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini jelas menghadirkan kebimbangan pelbagai pihak selepas beregu utama negara itu diletakkan sebagai sandaran bagi meraih pingat di London.

'Transformasi pelumba wanita'

Posted:

'Transformasi pelumba wanita'

'Transformasi pelumba wanita'


PRESTASI pelumba wanita negara pada Jelajah Thailand 2012 boleh dianggap memuaskan.


CHIANG RAI - Skuad lebuh raya wanita negara harus melalui proses transformasi dalam masa terdekat andai mahu menyaingi kehebatan pelumba Thailand, Indonesia dan Vietnam yang jelas memiliki kekuatan tersendiri.

Mengambil contoh Thailand dan Vietnam yang mempunyai perlumbaan jelajah wanita berdaftar dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu segera melakar pelan tindakan bagi memastikan pelumba wanita negara tidak tenggelam dalam aksi di pentas Asia Tenggara.

Berdasarkan aksi pada Jelajah Thailand 2012 yang berakhir kelmarin, kayuhan barisan pelumba wanita negara ketika menyaingi lawan dari Thailand, Indonesia dan Vietnam jelas sekadar di peringkat memuaskan.

Itulah rumusan daripada Mohd. Hardi Razali - bekas pelumba negara yang pernah bersaing pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Hardi yang dipinjamkan dari Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantu skuad trek dan lebuh raya berkata, PKBM perlu bertindak segera sebelum ketiga-tiga negara tersebut lebih jauh meninggalkan Malaysia.

"Pada peringkat permulaan, kita boleh mengadakan siri jelajah wanita dalam skala yang sederhana. Tidak perlu secara besar-besaran seperti Jelajah Malaysia atau LTdL. Yang penting, kita perlu anjurkan perlumbaan jelajah seperti Thailand dan Vietnam.

"Secara tidak langsung, kita boleh menyediakan platform kepada pelumba wanita untuk bersaing di pentas sendiri. Apa yang saya lihat, pelumba wanita Thailand dan Vietnam sangat berbangga dengan siri jelajah di negara mereka.

"Mungkin pihak PKBM boleh adakan jelajah dua atau tiga peringkat, melibatkan dua atau tiga negeri yang berdekatan seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan atau Melaka," katanya mempunyai sijil kejurulatihan Tahap 2 UCI.

Dalam masa yang sama, Hardi berkata, PKBM perlu segera melantik jurulatih khusus untuk skuad lebuh raya wanita.

"Saya percaya jurulatih itu mempunyai banyak tugasan untuk meningkat kualiti kayuhan pelumba wanita," katanya.

Masziyaton Mohd. Radzi muncul pelumba terbaik Malaysia pada Jelajah Thailand 2012 apabila menduduki tempat ke-26 individu keseluruhan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan