Utusan Online - Sukan |
Posted: Ranking cecah tahap terburukOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR – Ranking pasukan bola sepak negara mengalami kejatuhan empat anak tangga iaitu ke-156 dunia dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam. Kedudukan itu adalah yang paling buruk sejak Januari lalu iaitu pada kedudukan 148, ke-150 pada Februari dan ke-152 bulan lepas. Ranking terbaru itu juga menyaksikan kedudukan skuad Harimau Malaya lebih rendah berbanding Bangladesh (ke-152) dan Nepal (ke-149), yang dikenali tidak memiliki infrastruktur yang baik dalam sukan tersebut. Kemerosotan ranking Malaysia berpunca daripada kekurangan perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan. Cuma apa yang menimbulkan persoalan, walaupun naik 12 anak tangga, Bangladesh tidak terlibat dalam sebarang perlawanan kompetitif yang diiktiraf FIFA sepanjang bulan lalu. Bukan sekadar Bangladesh dan Nepal yang memiliki ranking lebih baik berbanding Malaysia, beberapa negara yang kurang dikenali dalam dunia bola sepak seperti New Caledonia dan Samoa berada di atas Malaysia iaitu tempat ke-154 dan ke-155. Di kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada pada tempat kelima. Walaupun berjaya memintas negara jiran, Singapura (ke-158) namun kita dipintas Filipina, yang naik ke tangga ke-148 ekoran berjaya mara ke separuh akhir Piala Cabaran AFC bulan lalu. Vietnam kekal sebagai negara terbaik di rantau ini dengan masih berada di kalangan 100 terbaik dunia iaitu di tempat ke-97 diikuti Thailand (141), Filipina dan Indonesia (151). Bagi benua Asia, Malaysia berada pada tempat ke-27 daripada 46 negara ketika Australia masih gah selaku pasukan nombor satu Asia pada tangga ke-21. Bagi ranking dunia, Sepanyol masih kekal sebagai pasukan No. 1 diikuti Jerman dan pasukan dari Amerika Selatan, Uruguay. Ketiadaan sebarang perlawanan persahabatan dengan mana-mana negara sepanjang bulan lalu jelas memberikan kesan besar kepada ranking skuad bola sepak negara yang hanya mengadakan perlawanan persahabatan berdepan skuad bertaraf negeri, Sarawak pada 25 Mac lalu. Mengikut rekod sepanjang tahun 2012, ranking skuad Harimau Malaya tidak pernah mengalami sebarang kenaikan sejak berada pada tempat ke-148 Januari lalu. Jatuh dua anak tangga pada Februari, pasukan negara terus turun ke tangga ke-152 pada Mac sebelum berada pada tempat ke-156 bagi bulan ini. Namun, skuad Datuk K. Rajagobal berpeluang kembali mendaki ranking FIFA menerusi aksi persahabatan dengan Sri Lanka pada 28 April ini. ... Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini. |
Posted: Singa Utara gugur 10 pemainOleh SHOLINA OSMAN Shahidan Kassim (barisan belakang tiga dari kiri) bersama pemain baru skuad Perlis yang diperkenalkan dalam sidang akhbar di Kangar, semalam. KANGAR – Perlis melakukan rombakan besar-besaran dengan menggugurkan hampir separuh daripada pemainnya demi untuk mempertajamkan semula taring skuad Singa Utara. Berikutan itu sebanyak sepuluh pemain ditamatkan kontrak dan digantikan dengan sepuluh muka baru termasuk seorang pemain import dari Sierra Leone. Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, punca pemain lama digugurkan adalah berkaitan dengan kes rasuah dan disiplin. "Skuad Singa Utara menampilkan muka baru demi untuk memperkemas dan memperkasa pasukan dalam mengharungi saingan pusingan kedua Liga Perdana tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Pok di Jalan Pengkalan Asam di sini, semalam. Jelas Shahidan, barisan pemain baru itu diyakini mampu membawa Perlis pergi lebih jauh lagi kerana pemain yang bermasalah dalam pasukan telah digugurkan. "Kali ini kita akan mengambil pendekatan positif dengan semangat baru yang lebih kuat dan kental dengan pemain yang baru," katanya. Beliau berkata, pemain import yang dibawa masuk dari Sierra Leone, Mamadu Bah, 31, sebelum ini beraksi dalam liga utama di Qatar. Jelasnya, tiada yuran perpindahan dibayar oleh Perlis untuk mendapatkan Mamadu yang dibawa oleh rakannya Lamin Coteh. Sementara itu, pengurus pasukan Perlis, Azahar Ahmad berkata, antara 10 muka baru dalam pasukannya adalah dari Selangor, Johor dan Kelantan yang mempunyai banyak pengalaman bermain dalam Liga Malaysia. Beliau berkata, barisan baru ini akan mengisi posisi pemain yang digugurkan, iaitu daripada penjaga gol sehingga penyerang. Perlis dijangka menurunkan barisan pemain baru tersebut pada pembukaan saingan pusingan kedua saingan Liga Perdana menentang Harimau Muda B, esok. ... Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan