Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Hafiz anggap Arif hambar

Posted:

Hafiz anggap Arif hambar

Hafiz anggap Arif hambar

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

ARIF gagal menampilkan rentak permainan secara konsisten khususnya di peringkat antarabangsa.


"SAYA tidak akan terkejut jika dia (Mohd. Arif Abdul Latif) tidak disenaraikan." Itu komen pemain perseorangan badminton negara, Muhamad Hafiz Hashim ketika ditanya mengenai peluang Arif untuk disenaraikan dalam skuad negara pada pusingan akhir Piala Thomas 2012 di Wuhan, China bulan depan.

Hafiz berkata, Arif telah diberi banyak peluang oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membuktikan kemampuan dirinya, namun pemain muda negara itu masih gagal menghadirkan keputusan yang positif.

"Jika berdasarkan prestasi semasa, peluang untuk Arif disenaraikan sukar.

"Dia telah diberi banyak peluang oleh BAM untuk beraksi dalam kejohanan-kejohanan termasuk ketika aksi kelayakan Piala Thomas di Macau (Februari), Piala Axiata (Mac dan Terbuka Australia (awal bulan ini).

"Namun, dia gagal memanfaatkan peluang tersebut sebaiknya malah persembahannya juga tidak konsisten," kata Hafiz ketika ditemui selepas tamat sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Menurut Hafiz, Arif sudah tidak boleh mempertikaikan keputusan BAM jika badan induk itu tidak lagi mahu menghantarnya untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan akan datang.

"Pada pandangan saya, dia sudah tidak boleh pertikai sebarang keputusan BAM kerana banyak peluang telah diberikan kepadanya sebelum ini.

"Sepatutnya dia membuktikan kemampuan sebenarnya untuk menarik perhatian barisan jurulatih dan pihak pengurusan BAM.

"Apa-apa pun, semua keputusan terletak di tangan jurulatih dan BAM untuk menentukan nasib Arif selepas ini," jelas Hafiz yang juara Seluruh England 2003.

Sebagai rekod, Arif dua kali disenaraikan sebagai pemain simpanan skuad negara iaitu pada edisi 2008 di Jakarta, Indonesia dan edisi 2010 di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Arif meluahkan kekecewaan terhadap keputusan BAM yang menafikan 'haknya' untuk beraksi pada Seluruh England dan Terbuka Switzerland bulan lalu.

Difahamkan, tindakan BAM itu adalah berdasarkan prestasi hambar Arif ketika aksi kelayakan Piala Thomas di Macau.

Tatkala nasib Arif masih tidak menentu, tiga pemain perseorangan diketuai Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren dan Hafiz sendiri sudah hampir pasti disenaraikan pada kejohanan di negara Tembok Besar itu.

Bagaimanapun, masih ada satu lagi slot menjadi buruan dalam kalangan pemain perseorangan lelaki negara yang lain.

Selain Arif, turut berada dalam senarai calon untuk mengisi tempat selaku perseorangan keempat itu ialah lima pemain muda negara - Misbun Ramdan Misbun, Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 akan berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

diedar secara percuma

Posted:

<i>Kosmo!</i> diedar secara percuma

Kosmo! diedar secara percuma

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my


MOHD. SHAHRULLAZHAR (dua dari kiri) mengagihkan akhbar Kosmo! secara percuma kepada murid-murid sekolah sempena penganjuran Liga Futsal Remaja Johor 2012 di Batu Pahat semalam.


PENGANJUR Liga Futsal Remaja Johor 2012 Mpire Kosmo! mengedarkan sebanyak 2,100 naskhah Kosmo! secara percuma di sekolah-sekolah terpilih di sekitar daerah Batu Pahat selama tiga hari bermula semalam.

Pengedaran Kosmo! itu bertujuan mempromosikan sirkit pertama liga tersebut yang akan diadakan di PB Futsal, Parit Besar, Batu Pahat pada 28 dan 29 April ini.

Penolong pengarah pertandingan, Zulrumaizi Abu Bakar berkata, selama tiga hari itu beberapa sekolah terpilih di daerah berkenaan akan menerima kira-kira 100 naskhah Kosmo!.

"Pihak sekolah dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan pertandingan selain borang penyertaan di dalam Kosmo! yang diagihkan pada ketiga-tiga hari itu.

"Pada masa sama, pengedaran Kosmo! secara percuma itu juga dapat menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pengedaran Kosmo! itu dilakukan unit Pemasaran Wilayah Selatan Kosmo! yang diselia Eksekutif Jualannya, Mohd. Shahrullazhar Ya'cob.

Liga Futsal Remaja Johor 2012 Mpire Kosmo! mempertandingkan empat kategori iaitu Lelaki Bawah 17 yang dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM100, Lelaki Bawah 12 (RM70), Terbuka Lelaki (RM200) dan Terbuka Wanita (RM100).

Selepas Batu Pahat, liga itu akan diadakan di Kluang (12 dan 13 Mei), Johor Bahru (26 dan 27 Mei), Pontian (2 dan 3 Jun), Kota Tinggi (23 dan 24 Jun), Mersing (7 dan 8 Julai), Muar (29 dan 30 September), Kulaijaya (6 dan 7 Oktober) dan Segamat (3 dan 4 November) dan Grand Final di Johor Bahru pada 9 Disember.

Bagaimanapun, bagi kategori Terbuka Lelaki ia hanya diadakan di Johor Bahru, Kluang dan Muar.

Pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir bagi saingan di setiap daerah secara automatik mengesah tiket ke Grand Final.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat Pertandingan di talian 013-7860313 atau layari laman Facebook Liga Futsal Mpire Kosmo!.

Zolkples kecewa Chong Wei tiada

Posted:

Zolkples kecewa Chong Wei tiada

Zolkples kecewa Chong Wei tiada

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengakui beliau kecewa kerana jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei tidak hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2011 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan malam kelmarin.

Zolkples berkata, ketiadaan Chong Wei yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2011 sedikit sebanyak telah mencacatkan majlis itu.

"Saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Chong Wei sehari sebelum majlis itu berlangsung.

"Namun, tanpa memberikan sebarang alasan, Chong Wei membalas SMS dengan mengatakan dia tidak dapat hadir dan akan mewakilkan abangnya (Lee Chong Hoon).

"Jadi, ini bukan suatu perkara yang baik. Alangkah cantiknya, jika Chong Wei yang dipilih sebagai pemenang dapat turut hadir sekali," kata Zolkples kelmarin.

Menurut Zolkples, Chong Wei sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana ia turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah.

"Ini merupakan kali pertama Tuanku Abdul Halim hadir pada majlis Anugerah Sukan Negara selepas ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada minggu lalu.

"Jadi, ini menandakan satu perkara yang tidak baik," kata Zolkples.

Turut hadir pada majlis kelmarin ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed.

Menurut Zolkples, MSN sanggup mengeluarkan kos tinggi bagi menanggung perbelanjaan pulang Pandelela Rinong dari Moscow, Rusia semata-mata bagi membolehkan penerjun cilik negara itu hadir menerima trofi sebagai Olahragawati Kebangsaan 2011.

Pada awalnya, Pandelela yang telah tamat beraksi pada Kejohanan Terjun Dunia FINA Siri 3 di Moscow, Sabtu lalu, dijadualkan terus berlepas ke Tijuana, Mexico bagi menyertai siri akhir kejohanan tersebut bermula esok.

Namun, hasil perbincangan antara MSN dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), penerjun berusia 19 tahun itu telah diterbangkan ke tanah air bagi menghadiri majlis tersebut.

"Jika Pandelela yang dari Moscow boleh hadir pada majlis kali ini, mengapa Chong Wei yang sememangnya berada di Malaysia tidak boleh," soal Zolkples.

Sementara itu, Chong Wei yang diminta mengulas mengenai ketidakhadirannya pada majlis kelmarin menjelaskan, dia mengalami demam.

"Masuk hari ini (semalam) saya sudah dua hari demam. Sebab itu, saya tidak dapat hadir," jelas Chong Wei.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan