Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chong Wei tumbang

Posted:

Chong Wei tumbang

Chong Wei tumbang

CHONG WEI gagal mempertahankan gelarannya pada Terbuka India selepas tewas kepada pemain muda Korea Selatan, Shon Wan Ho semalam.


APA sudah jadi dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei?Adakah kecederaan di bahagian bahu kanan yang di alaminya sebelum ini masih menghantui pemain No. 1 dunia itu.

Semalam, Chong Wei menerima tamparan hebat apabila gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India 2012.

Dia kalah kepada bintang muda Korea Selatan, Shon Wan Ho pada final kejohanan itu yang berlangsung di New Delhi.

Tewas pada set pertama 18-21, Chong Wei kembali bangkit apabila mencatatkan kemenangan 21-14 pada set kedua.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan Chong Wei, 30, merangkul gelaran juara buat kali kedua selepas melakukannya pada tahun lalu tidak kesampaian apabila dia tewas 19-21 pada set penentuan.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Chong Wei gagal dalam misi untuk merangkul kejuaraan ketiga tahun ini.

Pada Januari lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tampil bergaya apabila merekodkan kejuaraan pada Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea.

Namun, kekalahan itu tidak mendatangkan kesan besar buat Chong Wei apabila dia masih berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemain No. 1 dunia.

Ia sekali gus meletakkan pemain itu sebagai pemain pilihan pertama menjelang temasya Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

Terbuka India merupakan kejohanan pertama yang disertai Chong Wei selepas dia kembali pulih daripada masalah kecederaan bahu kanan ketika aksi final kejohanan Seluruh England bulan lalu.

Perkembangan positif

Posted:

Perkembangan positif

Perkembangan positif

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


WAN ZACK (kiri) tampil dengan rentak cemerlang pada aksi menentang Sri Lanka di Stadium Shah Alam kelmarin.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal tidak mahu skuadnya cepat berpuas hati meskipun berjaya mencatatkan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Sri Lanka dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan menjelang tiga lagi aksi persahabatan menentang Filipina (1 Jun) dan juga Singapura pada 8 dan 12 Jun depan.

"Kemenangan ini penting untuk meningkatkan semula keyakinan pasukan, namun rentak dan tempo permainan serta kombinasi pemain dilihat masih perlu dipertingkatkan.

"Pada masa sama, saya juga memuji kesungguhan pemain muda yang mampu memberikan cabaran kepada pemain yang lebih senior. Saya percaya, ia satu perkembangan yang sihat," katanya kelmarin.

Dalam perlawanan kelmarin, penyerang muda negara, Ahmad Hazwan Bakri ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meledak hatrik pada minit ke-71, 81 dan 90.

Ia merupakan penampilan pertama Ahmad Hazwan bersama skuad kebangsaan sementara tiga lagi gol skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor (dua gol) dan Azamuddin Akil.

Ia juga merupakan kemenangan pertama skuad kebangsaan dalam tujuh siri perlawanan persahabatan berstatus A setakat ini setelah kali terakhir mencatatkan kemenangan ketika menewaskan Taiwan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun tahun lepas.

Selepas itu, Harimau Malaya sekadar mencatatkan keputusan seri ketika menentang Singapura, India dan Filipina, selain turut tewas kepada Taiwan, Singapura, Australia dan India.

Mengulas lanjut, Rajagobal memberitahu, skuadnya juga dilihat agak 'lambat panas' apabila gagal beraksi agresif pada 20 minit pertama permainan.

"Namun, saya memuji semangat pemain yang berjaya mengekalkan momentum meskipun saya melakukan beberapa pertukaran.

"Apa pun, ini baru satu permulaan dan saya harap setiap kekurangan skuad akan dapat diperbaiki selepas ini," katanya.

Selepas aksi menentang Filipina dan Singapura, skuad kebangsaan bakal diuji Arsenal dan Manchester City pada 24 dan 27 Julai depan.

Elly muncul juara di Kangar

Posted:

Elly muncul juara di Kangar

Elly muncul juara di Kangar


ELLY (depan) membuktikan kehebatannya pada saingan pusingan ketiga di Kangar semalam.


BERAKSI di halaman sendiri memberi kelebihan kepada Elly Idzlianizar Ilias untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini dalam kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Litar Stadium Utama Kangar, Perlis semalam.

Selain kemenangan peribadi pertamanya musim ini, Elly turut menghadiahkan kemenangan tersebut buat pertama kalinya kepada pasukannya, Suzuki Fortyone Racing.

Elly menamatkan perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 31.487s mengatasi dua pelumba Faito Motobert Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fuad Baharudin.

Fazrul menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 11:34.583s manakala Fuad di kedudukan ketiga dengan catatan 11:35.502s.

Bagi Elly, tidak ada apa yang lebih manis baginya selain daripada berjaya menghadiahkan kemenangan tersebut kepada seluruh krew pasukan dan juga ahli keluarga serta peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan.

"Beraksi di halaman sendiri membakar semangat dan menambahkan keyakinan saya. Tambahan pula saya tidak mahu mengecewakan sokongan dan harapan daripada mereka semua. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik sejak saingan pusingan pertama lagi," jelas Elly yang menunggang jentera Suzuki buat musim pertama sepanjang penglibatannya dengan kejuaraan ini.

Mengulas tentang perlumbaan, Elly berkata: "Keadaan litar yang agak licin akibat hujan memberi banyak kelebihan kepada saya memandangkan saya memang cukup gemar beraksi di atas litar yang basah. Jika diukur daripada segi prestasi jentera, sebenarnya keadaan kami semuanya hampir sama sahaja, jadi saya menggunakan kelebihan litar basah ini untuk mengatasi pelumba-pelumba lain terutama sewaktu memintas Fazrul pada pusingan keempat."

Kemenangan Elly bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Azlan Shah Kamaruzaman (Y-TEQ SCK Honda Racing) dalam senarai kedudukan keseluruhan sekali pun juara Pusingan 2 di Kuala Terengganu itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Azlan kekal menghuni kedudukan teratas dengan mengumpul 54 mata diikuti Mohd. Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua dengan 66 mata.

Fuad yang mempamerkan prestasi konsisten dengan berada dalam kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan musim ini berada di tangga ketiga dengan 38 mata.

Kejayaan dua pelumba Faito Motobert Racing menaiki podium pada perlumbaan semalam membantu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga pertama dalam senarai Anugerah Berpasukan keseluruhan dengan mengumpul 71 mata diikuti Y-TEQ SCK Honda Racing (Azlan/Mohd. Fitri Ashraf Razali) di kedudukan kedua dengan 66 mata. Mengekori di tangga ketiga ialah pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd. Hadri Wan Mokhtar) yang sudah mengumpul 52 mata.

Sementara itu, dalam kategori CP115 menyaksikan Mohd. Amirul Ariff Musa akhirnya meraih kemenangan pertama dalam kariernya sejak mula beraksi pada tahun 2008.

Pelumba pasukan Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 9:39.338s meninggalkan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) di kedudukan kedua (9:41.741s) diikuti Mohd. Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga dengan catatan masa 9:43.126s.

Mengakui begitu gembira dengan kemenangannya, Amirul berkata: "Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang banyak membimbing saya selama ini sehingga akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama di sini. Begitu juga dengan sokongan ibu bapa yang terus memberikan dorongan terhadap karier perlumbaan saya."

Kemenangan tersebut meletakkan Amirul di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata.

Mohd. Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan kekal mendahului senarai menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 8:04.642s meninggalkan pelumba persendirian, Suhaizarul Suhaizat di tempat kedua, 8:20.680s diikuti Mohd. Amim Abu Osman (Hyperspeed Yamairbrush Honda Racing) ketiga dengan catatan 8:28.831s.

Kemenangan ini meletakkan Hafiz selesa mendahului lain-lain pelumba dalam senarai keseluruhan setelah mengumpul 61 mata, diikuti Fakhrusy Syakirin Rostam, 38 mata manakala Mohd. Izzat Zaidi Salehan ketiga, juga 38 mata.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen