Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Ghaddar meluap-luap

Posted: 18 May 2012 10:14 AM PDT

BIARPUN sentuhannya kurang menjadi dalam kempen Piala FA musim ini, penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar mahu menenggelamkan kelibat penggempur utama Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh bagi memastikan pasukannya membawa pulang trofi Piala FA ke Kota Bharu buat kali pertama.

Katanya, dia tidak tertekan selepas hanya menyumbat satu gol dalam laluan skuad Red Warriors ke final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini kerana yakin mampu mengembalikan kepercayaan jurulatih Bojan Hodak jika diberi peluang.


"Saya yakin kami akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir esok (hari ini). Kami mempunyai pemain bagus dan sudah membuat persiapan rapi.

"Mungkin kami boleh menang satu, dua, atau tiga gol, jika diturunkan saya mahu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol," katanya ketika ditemui Arena Metro selepas tamat sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


Selain Ghaddar, Bojan tampak tidak berdepan masalah menurunkan jentera serangan paling ampuh kerana memiliki pilihan penyerang seperti Norshahrul Idlan Talaha, Indra Putra Mahayuddin dan juga penjaring terbanyak Kelantan dalam Piala FA, Mohd Norfarhan Mohamad (lima gol).


Ghaddar, 28, dari Lubnan tidak menganggap final Piala FA itu lebih menjurus kepada pertembungan kehebatan pemain import sebaliknya pemain tempatan juga mampu mengubah keputusan perlawanan.

"Ronaldinho seorang pemain yang sangat bagus tapi sama ada dia bermain atau tidak bukan satu masalah buat Kelantan.


"Yang penting kami perlu kekal fokus dan berusaha keras untuk tidak menghampakan penyokong," katanya yang mengharapkan sokongan lebih 60 ribu penyokong Kelantan bagi mendakap trofi baru Piala FA yang bernilai RM80,000 itu.




Gusar kecewa berulang

Posted: 18 May 2012 10:09 AM PDT

KETIKA Kelantan mahu segera keluar dari bayangan kekecewaan pada saingan Piala FA pada edisi lalu, jurulatih Bojan Hodak bimbang harapan tinggi yang disandarkan kepada anak buahnya pada final hari ini boleh membuatkan mereka menderita sekali lagi.

Jurulatih dari Croatia itu mengingatkan barisan pemain supaya tidak terlalu yakin sebaliknya sedar lawan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, Sime Darby FC akan beraksi tanpa sebarang tekanan.


"Tidak kira di mana kami pergi, di Kelantan atau di KL (Kuala Lumpur), orang akan berkata peluang kami menang 99 peratus dan ini meletakkan kami dalam tekanan.

"Ini juga boleh menyebabkan pemain Kelantan terlalu yakin sedangkan Sime Darby pula tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.


"Kami berasa lebih kecewa berbanding Sime Darby jika kalah pada final," kata Bojan pada sidang media perlawanan akhir Piala FA, semalam.


Bojan yang mengambil alih tugas daripada Peter Butler, Mac lalu berjaya membimbing Kelantan melangkah ke final Piala FA buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun selepas tewas kepada Selangor 1-1 (sepakan penalti 4-1) pada 2009 kemudian kalah 2-1 di tangan Terengganu tahun lalu.

Namun bekas pemain kebangsaan Croatia berusia 41 tahun itu tidak boleh menafikan hakikat yang pemain Red Warriors berada di prestasi terbaik untuk mengecapi trofi baru buat kali pertama dalam sejarah.


"Pemain saya sudah membuktikan mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan tidak kira dalam Liga Super mahupun dalam kejohanan lain.

"Mereka memiliki pengalaman luas dan karektor hebat biarpun ketinggalan dalam perlawanan, mereka mampu bangkit mencipta kemenangan," katanya.


Ketika ditanya mengenai barisan utama pada final, beliau lebih senang untuk berteka-teki dengan menyatakan skuadnya bebas daripada kecederaan dan tidak berdepan masalah untuk menurunkan skuad terbaik.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan