WROCLAW (Poland): Russia membuktikan mereka adalah pasukan yang wajar diberikan perhatian apabila mendahului Kumpulan A selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Republik Czech pada hari pertama Euro 2012, awal pagi semalam.
Alan Dzagoev meledak dua gol manakala Roman Shirokov dan Roman Pavlyuchenko masing-masing menyumbat satu gol buat Russia mendahului tangga teratas kumpulan dengan kelebihan dua mata berikutan pasukan tuan rumah bersama, Poland dan Greece terikat seri 1-1.
Czech yang mempamerkan aksi hambar hanya memperoleh gol sagu hati menerusi rembatan Vaclav Pilar.
Russia yang dibimbing Dick Advocaat tampak bergelut di awal permainan dan membolehkan Czech lebih banyak menguasai bola.
Namun selepas berjaya mendapat rentak, mereka terus memberi asakan bertali arus kepada anak buah Michal Bilek.
Tolakan bijak ke belakang oleh Arshavin membolehkan Yuri Zhirkov meloloskan diri lalu membuat hantaran lintang kepada Aleksandr Kerzhakov, namun dia gagal membuat percubaan tepat ke sasaran.
Namun dalam tempoh 60 saat selepas itu, Russia berjaya membuka tirai jaringan.
Dzagoev mengambil kesempatan dalam situasi dua pemain Czech bertembung sesama sendiri di bahagian tengah untuk melancarkan serangan bersama Konstantin Zyryanov di sebelah kanan.
Zyryanov mengumpan bola kepada Kerzhakov yang menanduk bola menemui Dzagoev yang bersedia melepaskan rembatan menerjah ke gawang Czech.
Dzagoev kemudian mensia-siakan peluang terbaik apabila merembat liar hantaran Kerzhakov di sebelah kanan.
Namun pada minit ke-23 kedudukan menjadi 2-0 apabila Arshavin melorongkan bola ke dalam kotak penalti yang berjaya disambar Shirokov untuk menewaskan penjaga gol, Petr Cech.
Pemain Czech kurang memberikan ancaman melainkan tandukan Jan Rezek yang diselamatkan Vyacheslav Malafeev sebelum melepaskan rembatan lemah tepat ke dakapan penjaga gol.
Satu lagi gerakan menarik Russia membabitkan Shirokov diakhiri dengan sepakan melambung tinggi melepasi palang oleh Kerzhakov.
Babak kedua bermula dengan keadaan suasana yang kurang bermaya namun tujuh minit selepas itu permainan kembali menarik apabila hantaran Jaroslav Plasil mengelirukan pertahanan Russia dan Pilar berjaya melepasi kawalan Malafeev sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang.
Arshavin yang memperagakan aksi terbaik bijak mencipta peluang untuk Kerzhakov namun rembatan penyerang Zenit St Petersburg itu jauh daripada sasaran.
Bagaimanapun 11 minit sebelum perlawanan tamat, Dzagoev meletakkan Russia dalam kedudukan selesa apabila menghasilkan gol ketiga menerusi hantaran Pavlyuchenko.
Selepas itu giliran Pavlyuchenko untuk mencipta nama selaku penjaring menerusi gerakan solo di luar kotak penalti. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan