Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Ronaldo cakap besar

Posted:

Ronaldo cakap besar

RONALDO (tengah) menganggap Portugal sebagai calon ke final Euro 2012.


DONETSK, Ukraine – Pemain bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mula bercakap besar.

Semalam, bintang Real Madrid itu memberitahu, pasukannya lebih layak mara ke final Euro 2012 berbanding Sepanyol.

Kedua-dua pasukan bakal berentap di Donbass Arena, Donetsk awal pagi Jumaat ini, namun Ronaldo percaya pasukannya memiliki kelebihan untuk menyambar slot ke final.

Sebelum ini, Ronaldo berjaya menutup mulut pengkritik apabila kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar termasuk ketika meledak gol tunggal perlawanan semasa menjinakkan Republik Czech dalam aksi suku akhir awal pagi Jumaat lepas.

Ketika ini, Ronaldo muncul penjaring terbanyak kempen dengan tiga gol bersama penyerang Jerman, Mario Gomez, Mario Mandzukic (Croatia) dan Alan Dzagoyev dari Rusia.

Dia sebelum ini gagal menemui sentuhan penyudah dalam dua perlawanan terawal peringkat Kumpulan B menentang Jerman dan Denmark sebelum kembali bangkit meledak dua gol ketika menentang Belanda.

"Sebagai pemain bintang, anda pastinya berdepan tekanan yang lebih besar.

"Kamu tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi saya langsung tidak mempedulikan kritikan tersebut.

"Apa yang saya tahu ialah beraksi seperti biasa dan itulah yang saya lakukan," katanya.

Menurut Ronaldo, dia optimis kemampuan Portugal menyambar slot final sekali gus mengulangi pencapaian mereka semasa menjadi tuan rumah ketika edisi 2004.

"Mengapa tidak? Kami telah melangkah sejauh ini jadi sudah tentu kami mengidam aksi di final.

"Bukan mahu memperlekehkan mana-mana pasukan (termasuk Sepanyol), tetapi saya percaya Portugal memiliki ramuan secukupnya untuk bergelar juara kali ini," tegasnya.

Pada masa sama, Ronaldo juga menyifatkan kebangkitannya kali ini berpunca daripada jurulatihnya di Real, Jose Mourinho.

"Saya sukakan Mourinho kerana beliau selalu melawak bersama pemain.

"Tetapi apabila ia berkaitan perlawanan, Mourinho seorang yang cukup serius sebenarnya.

"Jadi, saya tidak malu berkongsi pendapat dengannya setiap kali saya diselubungi masalah," katanya. – Agensi

Bosque kagum komitmen pemain

Posted:

Bosque kagum komitmen pemain

DONETSK, Ukraine – Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque (gambar) memuji persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya selepas menewaskan Perancis 2-0 pada aksi suku akhir kempen Euro 2012 awal pagi semalam.

Del Bosque berkata, anak-anak buahnya beraksi dengan baik di sebalik percaturan yang diterapkan jurulatih Perancis, Laurent Blanc yang dilihat mengamalkan corak permainan secara bertahan.

Pada aksi yang berlangsung di Donbass Arena, Ukraine itu, Sepanyol yang merupakan juara bertahan mara ke separuh akhir hasil dua jaringan Xabi Alonso yang membuat penampilan kali ke-100 bersama skuad La Roja.

Percaturan Blanc yang meletakkan dua pemain pertahanan di bahagian sayap kanan iaitu Mathieu Debuchy dan Anthony Reveillere jelas tidak menjadi apabila pemain sayap kiri Sepanyol, Jordi Alba masih mampu melakukan hantaran di bahagian tersebut sebelum ditanduk masuk oleh Xabi pada minit ke-19.

Gol tersebut jelas memberi suntikan semangat buat Xabi apabila dia sekali lagi meledak gol menerusi sepakan penalti yang diperoleh pada lewat babak perlawanan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai percaturan jurulatih pihak lawan (Perancis).

"Kami (Sepanyol) sangat kuat di bahagian sayap kiri menerusi Alba dan (Andres) Iniesta. Di bahagian itulah kami berjaya memperoleh gol pertama.

"Saya tidak fikir Perancis tidak bagus di bahagian serangan. Mereka memiliki (Franck) Ribery dan (Karim) Benzema.

"Mereka turut melakukan beberapa perubahan di bahagian serangan dan (Olivier) Giroud and (Samir) Nasri dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Saya tidak fikir Perancis membuat keputusan hanya untuk bertahan. Kami beraksi dengan baik secara berpasukan dan apa itu yang paling penting berbanding masalah yang dialami Perancis," kata Del Bosque.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad La Roja melebarkan rekod tanpa kalah mereka di pentas antarabangsa sebanyak 18 perlawanan.

Pada aksi separuh akhir, anak-anak buah Del Bosque akan berdepan Portugal yang turut mara selepas menewaskan Republik Czech 1-0 Jumaat lalu.

Dengan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo kini dilihat berada pada tahap prestasi terbaiknya, Del Bosque sedar bahawa skuad kendaliannya itu perlu bersiap sedia bagi menghadapi aksi separuh akhir.

"Kami sangat letih pada penghujung perlawanan dengan Perancis tetapi ia perkara normal. Kami akan pastikan mendapat rehat yang secukupnya sebelum mengharungi saingan separuh akhir," jelas Del Bosque. – AFP

Loew bermain teka-teki

Posted:

Loew bermain teka-teki

STRATEGI Joachim Loew ternyata mengelirukan pihak lawan kerana menurunkan gandingan pemain yang berbeza-beza dalam setiap perlawanan.


GDANSK, Poland - Pengendali Jerman, Joachim Loew dilihat masih berteka-teki mengenai kesebelasan utamanya menjelang aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional Warsaw, Poland awal pagi Jumaat ini.

Loew sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila mengetepikan tiga pemain utamanya iaitu Mario Gomez, Lukas Podolski dan Thomas Mueller semasa menyingkirkan Greece 4-2 dalam aksi suku akhir awal pagi kelmarin.

Ternyata, tindakan Loew memang sukar dijangka apabila membuat rombakan menurunkan skuad berbeza ketika menentang Greece berbanding skuad yang muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata sebelum ini.

"Saya masih belum berpuas hati dengan pasukan meskipun melakar tiga kemenangan maksimum dalam peringkat kumpulan.

"Justeru, saya perlu melakukan sedikit rombakan dan ternyata ia berbaloi apabila berjaya membenam cabaran Greece.

"Saya hanya menurunkan pemain yang bagus, bagi saya status sebagai pemain bintang sahaja tidak mencukupi jika mereka mahu menyarung jersi Jerman.

"Apabila melangkah ke separuh akhir, kami tidak boleh lagi melakukan kesilapan mudah termasuk menurunkan pemain yang gagal mempamerkan aksi yang diharapkan," kata Loew.

Yang pasti, ia merupakan satu amaran Loew buat pemain bintangnya jika berhasrat untuk beraksi dalam saingan separuh akhir kelak.

Malah, percaturan jurulatih berusia 52 tahun itu juga jelas menjadi apabila penyerang veteran, Miroslav Klose berjaya meledak satu gol ketika membenam Greece tempoh hari.

Ia merupakan jaringan antarabangsa yang ke-64 buat Klose sepanjang 120 kali mewakili The Team setakat ini.

Sebelum ini, Klose sering diketepikan dalam saingan peringkat kumpulan apabila sekadar muncul sebagai pemain gantian bagi menggantikan Gomez.

"Kekuatan kesemua pemain Jerman dilihat hampir sama tidak kira pemain simpanan mahupun pemain utama.

"Bagi saya, semua pemain boleh beraksi dengan cukup bagus dan ia sememangnya satu kelebihan buat kami," kata Klose.

Dalam aksi separuh akhir nanti, Jerman bakal berdepan pemenang antara England dan Itali awal pagi tadi. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan