Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Portugal tak gentar

Posted:

Portugal tak gentar

KIRI: PENYERANG Sepanyol, Fernando Torres dan Kanan: BINTANG sensasi Portugal, Ronaldo.


DONETSK, Ukraine – Portugal tidak berasa tertekan untuk berdepan dengan Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena, Donetsk awal pagi esok.

Kapten Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa mereka tiada perasaan gentar menentang juara bertahan Euro itu.

Peledak berbisa berusia 27 tahun itu kini berada pada prestasi terbaik apabila meledak tiga gol setakat ini sekali gus membantu The Navigators muncul antara empat pasukan terbaik pada kempen Euro kali ini.

Pada aksi awal pagi esok, Ronaldo bakal berentap dengan sebahagian besar rakan sepasukannya di Real Madrid seperti Xabi Alonso, Sergio Ramos dan Iker Casillas selain seteru utamanya di Barcelona seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Cesc Fabregas.

Namun, Ronaldo tanpa berselindung mengakui tidak tertekan dengan pertembungan tersebut dan menganggap ia hanya perlawanan biasa seperti mana dalam saingan Liga Sepanyol.

"Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai perlawanan ini kerana bagi saya ia hanya satu perlawanan biasa.

"Apa yang akan saya lakukan hanyalah untuk meledak gol sekali gus membantu Portugal menyambar slot ke final," kata Ronaldo.

Meskipun La Roja dilabel sebagai pasukan pilihan, Ronaldo tetap optimis mengenai kejutan yang bakal dilakar Portugal seperti mana edisi 2004.

"Jika berjaya melangkah ke final, sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa.

"Berdepan pasukan yang hebat seperti Sepanyol, perlawanan ini pastinya diibaratkan seperti hidup dan mati bagi kedua-dua pasukan," katanya. – Agensi

Di puncak kemasyhuran

Posted:

Di puncak kemasyhuran

DEL BOSQUE (dua dari kiri) mengendalikan latihan skuad Sepanyol menjelang aksi separuh akhir Euro 2012 menentang Portugal di Donbass Arena, Donetsk, Ukraine awal pagi esok.


GNIEWINO, Poland - Vicente del Bosque dan Sepanyol berkongsi skrip yang sama menjelang aksi separuh akhir 2012 menentang Portugal di Donbass Arena, Donetsk, Ukraine awal pagi esok.

Jika berjaya mendakap trofi Euro 2012, del Bosque, 61, bakal mencipta sejarah apabila merupakan satu-satunya jurulatih yang berjaya mendakap dua trofi utama.

Malah, Sepanyol juga bakal muncul sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya melakar tiga kejuaraan utama berturut-turut sekiranya muncul juara kali ini.

Dua tahun lalu, del Bosque yang mengambil alih tugas daripada Luis Aragones selepas kempen Euro 2008 tamat berjaya membantu skuad La Roja menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kini, hanya cabaran Portugal serta kredibiliti Jerman atau Itali sahaja yang mampu memusnahkan impian del Bosque dan Sepanyol.

Sebelum ini, Aragones dianggap wira oleh rakyat Sepanyol apabila menamatkan kemarau kejuaraan mereka selama empat dekad selepas kali terakhir muncul juara pada Euro 1964.

Kini, tiba pula giliran del Bosque yang dilihat berada pada landasan yang betul terutamanya apabila memiliki barisan pemain yang cukup sempurna pada kempen kali ini.

"Sejujurnya, saya cukup bertuah dianugerahkan generasi pemain yang hebat.

"Paling utama, mereka juga memiliki hati yang baik serta sentiasa merendah diri, itulah keistimewaan pemain Sepanyol," katanya.

Di bawah kendalian del Bosque, La Roja tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010, selain melakar lapan kemenangan maksimum pada kelayakan Euro 2012.

Sepanyol hanya tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat dalam Piala Konfederasi 2009, selain tewas 0-1 kepada Switzerland dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010.

Malah, del Bosque juga berjanji kepada rakyat Sepanyol betapa mereka benar-benar berhajat menempah slot final Euro kali ini.

"Kami akan melakukan segala yang terdaya bagi mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo," kata del Bosque.

Jika berjaya mengatasi Portugal awal pagi esok, hanya satu perlawanan lagi yang membezakan Sepanyol dan del Bosque daripada catatan dalam sejarah bola sepak antarabangsa. - AFP

Jerman congak final

Posted:

Jerman congak final

LOEW (kanan) mengetuai sesi latihan Jerman menjelang pertemuan menentang Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional, Warsaw awal pagi Jumaat ini.


WARSAW - Mesut Ozil optimis Jerman mampu membenam cabaran Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional, Warsaw, Poland awal pagi Jumaat ini.

Meskipun mengakui The Azzurri merupakan salah satu pasukan berkualiti pada kempen kali ini, pemain tengah Jerman itu tetap percaya mereka mampu menumbangkan Itali.

Terdahulu, Jerman mara ke saingan separuh akhir selepas menewaskan Greece 4-2 manakala Itali berjaya melepasi pusingan suku akhir apabila menyingkirkan England 4-2 dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Jerman dilihat sebagai pasukan pilihan berbanding Itali yang mana skuad kendalian Joachim Loew itu dilihat menampilkan prestasi cemerlang sejak peringkat kumpulan.

Meskipun The Team tidak pernah menewaskan Itali pada kejohanan utama, Ozil percaya badi itu dapat dihapuskan di Warsaw nanti.

"Sejarah lalu tidak penting. Banyak pasukan lain menghormati kami. Matlamat kami adalah untuk membawa pulang kejuaraan Eropah ke Jerman.

"Kami mahu menewaskan Itali, seterusnya menjuarai kejohanan kali ini.

"(Perancang Itali) Andrea Pirlo merupakan seorang pemain bertaraf dunia, Mario Balotelli merupakan seorang penyerang yang hebat.

"Namun, kami tidak berpendapat kemahiran individu dijadikan sebagai kelebihan. Itali merupakan satu pasukan yang hebat tetapi kami yakin mampu menewaskan mereka," ujar Ozil.

Ditanya mengenai aksi menentang Sepanyol yang dikatakan sebagai pasukan pilihan Jerman untuk beraksi di pentas final, Ozil menegaskan, dia tidak kisah untuk menentang mana-mana pasukan.

Sebagai rekod, Jerman tewas kepada Sepanyol pada aksi final Euro 2008 dan separuh akhir kempen Piala Dunia 2010.

"Ia tidak adil untuk mengatakan pertembungan Jerman dan Sepanyol bagaikan 'perlawanan impian' kami.

"Terdapat empat pasukan pada aksi separuh kami dan kami harus melakukan satu demi satu dan menewaskan mana-mana pasukan termasuk Sepanyol.

"Kini, kami mahu memberikan tumpuan kepada Itali sahaja dan kami akan melihat siapakah lawan kami pada peringkat seterusnya (sekiranya Jerman berjaya menewaskan Itali).

"Kami tidak kisah sama ada bakal bertemu Portugal atau Sepanyol di pentas final Euro 2012," kata Ozil. - Agensi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen