Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sukma lulus: Zolkples

Posted: 16 Jul 2012 07:45 PM PDT

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memuji tuan rumah, Pahang, atas kejayaan menganjurkan Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang melabuhkan tirainya, semalam.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata MSN secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi atlet dan mutu penganjuran Sukma edisi ini. "Mutu penganjuran sesebuah kejohanan dinilai berdasarkan prestasi atlet dan juga pencapaian pihak penganjur dalam mengatur pertandingan, baik dari aspek penyediaan venue dan kemudahan, peralatan sukan, makanan dan sebagainya," katanya.


Zolkples berkata program 'jabatan angkat' bagi setiap kontinjen yang mengambil bahagian yang diperkenalkan oleh penganjur seharusnya dicontohi negeri lain yang bakal menjadi tuan rumah pada edisi Sukma yang berikutnya. Beliau berkata mutu pengadilan bagi sukan subjektif seperti wushu, karate dan silat pada Sukma Pahang adalah amat membanggakan dan tidak berat sebelah.

"Saya hampir tidak dapat mendengar sebarang rungutan berkenaan mutu pengadilan dari acara Wushu, berbeza daripada Sukma sebelum ini.


"Ini menunjukkan bahawa pengadil telah menjalankan tugas secara profesional dan ia harus dikekalkan pada Sukma berikutnya," katanya. Zolkples berkata beliau turut berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan kesemua 1,707 atlet di bawah program pelapis yang mewakili negeri masing-masing apabila sebanyak 105 pingat emas, 107 perak dan 122 gangsa dimenangi oleh mereka.


"Atlet pelapis juga berjaya memecah 13 rekod Sukma berbanding hanya lima rekod kejohanan di Sukma Melaka sebelum ini," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kontinjen Terengganu kerana berjaya menjadi johan keseluruhan Sukma Pahang dengan kutipan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.


Terengganu sebelum ini pernah menjadi johan bagi Sukma edisi Terengganu (2008), Melaka (2010) dan Kuala Lumpur (2011).

"Terengganu masih berjaya membuktikan bahawa mereka mampu menjadi juara walaupun acara sukan air tidak dipertandingkan pada edisi kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


‘Oxygen Tank’ idam uji Sabah

Posted: 16 Jul 2012 07:36 PM PDT

"Saya tiada teman wanita," kata pemain bola sepak kelahiran Korea, 'Oxygen Tank' atau Park Ji-Sung, secara spontan sebaik menjawab soalan media ketika menghadiri sidang akhbar bersama pasukan barunya, Queens Park Rangers (QPR), semalam.

Bekas pemain Manchester United berusia 31 tahun itu menjadi tumpuan berikutan kehadirannya dijangka mampu membawa pasukan milik jutawan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes, ke tahap lebih baik berbanding musim lalu. Terdahulu, sidang akhbar itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif QPR, Philip Beard, Pengurus QPR, Mark Hughes dan Ketua (Komersial) Kumpulan Air Asia, Kathleen Tan. Kathleen ketika menjelaskan mengenai pemilihan Sabah sebagai aksi pertama siri Jelajah Asia QPR berkata, negeri ini sebenarnya menjadi lokasi pertama penerbangan pesawat AirAsia kira-kira 10 tahun lalu.


"Pemilihan Sabah berikutan AirAsia melancarkan perkhidmatan pertamanya ke Sabah dan atas sebab ini, kami membawa QPR ke sini (Sabah) dulu sebelum berangkat ke Kuala Lumpur dan Indonesia.

"Saya harap peminat bola sepak tempatan dapat memberi sokongan penuh dengan berkunjung ke Stadium Likas, esok (hari ini)," katanya.


QPR bakal menentang Pilihan Sabah XI pada perlawanan persahabatan pertama sebelum berkunjung ke Stadium Shah Alam, Selangor bertemu Juara Liga Super, Kelantan pada 20 Julai dan menentang Persebaya di Stadium Gelora Bung Tomo, Indonesia, Isnin depan.


Program Jelajah Asia QPR dibawa oleh AirAsia bagi memberi peluang kepada peminat pasukan itu di Asia khususnya di negara ini dan Indonesia melihat secara dekat aksi pemain utama mereka.

Sementara itu, Ji-Sung mengakui tidak pasti mengapa kerajaan Korea menamakan sebatang jalan raya di tempat kelahirannya di Suwon dengan namanya.


"Setakat ini hanya saya seorang daripada semua pemain bola sepak Korea Selatan dipilih bagi menamakan sebatang jalan di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan