Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Saya mahu emas’

Posted:

'Saya mahu emas'

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

CHONG WEI meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik London.


"SASARAN saya tetap pingat emas."
Demikian tegas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ditanya mengenai peluangnya untuk meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London penghujung bulan ini.

Chong Wei berkata, memandangkan tahun ini merupakan penampilan terakhirnya pada temasya berprestij dunia itu, dia berazam untuk tampil dengan aksi terbaik biarpun masih dihantui dengan masalah kecederaan.

Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang tersebut begitu sahaja kerana pingat emas Sukan Olimpik sudah pasti akan menutup kariernya dengan penuh bermakna.

"Saya tidak kisah apa yang orang mahu fikir. Yang pasti, saya fokus dengan persiapan saya bagi beraksi pada Sukan Olimpik kali ini.

"Apa juga situasi sekalipun, saya tetap meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik. Justeru, saya akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan hajat besar ini," kata Chong Wei.

Pemain No. 2 dunia itu diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia bagi menamatkan kemarau pingat emas negara di bumi London nanti.

Bagaimanapun, masalah kecederaan di bahagian buku lali kanan yang menimpa pemain berusia 30 tahun itu telah menyaksikan banyak pihak meragui kemampuan Chong Wei untuk meraih pingat emas.

Chong Wei menerima tamparan hebat apabila mengalami masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanannya ketika beraksi pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China Mei lalu.

Ia merupakan kecederaan kali kedua yang dialami Chong Wei selepas mengalami kecederaan di bahagian bahu ketika aksi final Seluruh England 2012 di Birmingham, Mac lalu.

Mengulas mengenai kecederaan di bahagian buku lali kanannya itu, Chong Wei berkata, dia kini sudah pulih sebanyak 85 peratus.

"Saya yakin akan pulih sepenuhnya apabila menjalani latihan lebih kurang dua minggu di Universiti of Bath iaitu sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula.

"Saya akan memastikan proses pemulihan saya berjalan lancar termasuk mengenai waktu latihan, rehat serta tidur yang mencukupi. Jika semua itu boleh dijaga dengan baik, saya yakin saya akan pulih sepenuhnya.

"Saya akui, situasi ini memang sukar untuk saya tetapi saya perlu terimanya dengan positif.

"Apa yang penting bagi saya, adalah fokus terhadap diri sendiri. Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara lain selain persiapan untuk beraksi pada Sukan Olimpik kerana bertekad untuk mengharumkan nama negara," tegas Chong Wei.

Chong Wei bersama lima lagi pemain negara yang menggalas cabaran di London telah berlepas ke Universiti of Bath, United Kingdom malam tadi bagi menjalani latihan fasa terakhir sebagai persiapan beraksi pada Sukan Olimpik 2012.

Lima lagi pemain negara yang akan beraksi di London ialah beregu utama lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.

Sebagai rekod, Chong Wei merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Nazmizan tampil bidas KOM

Posted:

Nazmizan tampil bidas KOM

SELEPAS mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' akhirnya bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad mula bersuara mempersoalkan kredibiliti Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Semuanya gara-gara kontroversi dalam KOM itu yang dilihat tidak ada kesudahannya.

Bagi Nazmizan, sebagai bekas jaguh olahraga yang telah mengharumkan nama Malaysia suatu ketika dahulu, dia perlu tampil bersuara bagi membetulkan situasi kronik dalam badan induk sukan olahraga negara itu.

"Saya terkejut apabila membaca pelbagai kontroversi membabitkan KOM di dada-dada akhbar sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Paling mengejutkan kontroversi itu bukan hanya melibatkan pihak pengurusan KOM, malah jurulatih dan atlet negara juga dipalit dengan pelbagai isu seperti doping.

"Situasi itu perlu diperbetulkan daripada sekarang jika kita tidak mahu melihat arena olahraga negara terus ketinggalan jauh dibelakang negara-negara Asia Tenggara lain.

"Tidak perlulah kita membandingkan dengan kuasa-kuasa Asia mahupun dunia tetapi cukup jika kita banding pencapaian atlet Malaysia dengan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia," jelas Nazmizan kepada Kosmo! kelmarin.

Secara peribadi, Nazmizan menegaskan, KOM akan terus menuju zaman kegelapan sekiranya tiada perubahan secara total dalam badan induk olahraga negara itu.

"KOM memerlukan perubahan, maksudnya perubahan melibatkan pentadbiran dan juga barisan kejurulatihan.

"Bila kita sudah diberikan amanah dan tanggungjawab, seharusnya kita melaksanakannya dengan sebaik mungkin dan penuh berprinsip.

"Kalau hendak berpolitik, baik jadi ahli politik. Satu lagi, jangan hanya memegang jawatan itu hanya kerana mahu berkuasa.

"Ketika ini, apa yang dapat kita lihat jurulatih yang sama sahaja diberi kepercayaan membimbing atlet. Sepatutnya KOM memiliki ramai jurulatih.

"Kalau boleh... bagi (tawaran) kepada bekas-bekas atlet sebagai jurulatih kerana ada antara mereka yang layak," jelasnya yang kini membimbing skuad olahraga Perlis bagi menghadapi Sukma ke-15 di Pahang.

Buat permulaan, Nazmizan berkata, pihak pengurusan KOM, barisan jurulatih serta atlet yang berada di bawah payung KOM duduk semeja bagi merungkai segala masalah.

"Dalam soal ini, saya lihat pihak pengurusan KOM harus lebih bersedia dan menerima cadangan, teguran serta kritikan daripada atlet (olahraga) sendiri.

"Dalam sukan olahraga atau mana-mana sukan sekalipun, individu yang diberi tanggungjawab harus melaksanakan tugas dengan telus, jangan hanya pandai bermuka-muka.

"Jangan kita hanya menuding jari menyalahkan satu sama lain, jika ada masalah yang timbul, cuba cari jalan penyelesaian terbaik," tegas Nazmizan yang merangkul dua pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Kejayaan itu membolehkan Nazmizan muncul pelari pertama negara merangkul gelaran berganda pada temasya Sukan SEA selepas 36 tahun.

Sebelum itu, Datuk Dr. M Jegathesan melakukan pencapaian yang sama pada Sukan SEA 1965 di Kuala Lumpur dan G. Rajalingam (Sukan SEA 1967 di Bangkok, Thailand).

Kuartet NS tiada tandingan

Posted:

Kuartet NS tiada tandingan

KUARTER 4x100m Negeri Sembilan meraih emas acara tersebut pada Sukma ke-15 semalam.


KUARTET Negeri Sembilan merakamkan kemenangan bergaya apabila memenangi pingat emas acara 4x100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Dengan mendapat 'sentuhan' bekas pelari pecut negara, Azmi Ibrahim, kuartet Negeri Sembilan yang dibarisi Mohd. Nur Azli Azmi, Mohd. Hakim Rosli, Mohd. Aizat Mokhtar dan Mohd. Shahmim Azmi merekodkan masa 41.79 saat (s).

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding rekod Sukma yang dilakukan kuartet Sabah pada Sukan SEA 2008 di Terengganu iaitu 41.04s.

Pingat perak pula dimenangi kuartet Terengganu dengan catatan masa 41.94s manakala gangsa milik kuartet Sabah (42.39s).

Bagi Azmi, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya itu yang berjaya menyumbang emas sulung buat Negeri Sembilan dalam acara tersebut pada temasya Sukma.

"Mereka semua berada di bawah bimbingan saya menerusi program pelapis kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ada di antara mereka juga masih baharu tetapi masih mampu memberikan persembahan terbaik, seterusnya memenangi pingat emas.

"Saya percaya kuartet Negeri Sembilan itu mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang," jelas Azmi semalam.

Bagi saingan 4x100m wanita, kuartet Terengganu meraih pingat emas dengan catatan masa 47.88s manakala Johor (48.36s) dan Sabah (48.37s) masing-masing menyambar perak dan gangsa.

Dalam acara baling tukul besi wanita, pingat emas menjadi milik atlet Sarawak, Casier Renee Lee yang melakukan balingan sejauh 47.22m.

Atlet Negeri Sembilan, Noor Aida Shuhada Nordin (42.7m) dan atlet Sarawak, Tiong Mee Yin (42.23m) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Bagi acara lompat bergalah wanita, atlet Perak, Chuah Yu Tian mengutip pingat emas dengan catatan 3.55m manakala atlet Melaka, Valerie Tan Ee Leen (3.30m) dan atlet Negeri Sembilan, Norezatti Shasha (3.00m) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Dalam saingan 400m lari berpagar lelaki, atlet Kelantan, Mohamed Baihaqi Razlan merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 53.00s.

Pingat perak milik atlet Kedah, Muhamad Firdaus Mazalan (53.14s) dan atlet Perak, Muhammad Firdaus Musa (53.73s) meraih gangsa.

Dalam acara 400m lari berpagar wanita, pingat emas diraih atlet Terengganu, Layalia Rameli dengan catatan 64.29s, perak milik atlet Wilayah Persekutuan, Wong Pui Yee (65.66s) dan gangsa diraih atlet Perak, Saidatul Izatti Suhaimi (66.31s).

Bagi acara 800m lelaki, atlet Kelantan, Nik Hafiz Nik Mohamad merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 1:54.60s.

Pingat perak milik atlet Perak, V. Jeeventhiran (1:55.99s) manakala atlet Kedah, Tan Wei Heng (1:56.78s) menyambar gangsa.

Dalam saingan 800m wanita, atlet Kelantan, Nik Norzilawati Nik Wil merangkul pingat emas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:19.91s.

Atlet Sarawak, Faradilah Raznie (2:20.88s) dan atlet Johor, S. Sharmila (2:21.21s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan