Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Wajar terima’

Posted: 16 Sep 2012 11:23 AM PDT

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) menganggap pelawaan yang diterima oleh skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk beraksi dalam Liga Brazil adalah satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.

Katanya, tawaran itu adalah satu petanda baik dan FAM perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran berkenaan tetapi ianya mesti dikaji dengan lebih teliti dan pemain perlu bersikap positif serta menampilkan keupayaan sebenar.


"Peluang seperti ini perlu dikaji lebih teliti, jangan cepat melompat dan pemain pun harus mempunyai sikap positif supaya peluang yang diberikan dapat digunakan sebaik mungkin.

"Bukan sahaja di Brazil, malah negara-negara lain juga akan menjemput kita bermain dari semasa ke semasa," katanya kelmarin.


Skuad B-23 kendalian Ong Kim Swee dilaporkan berpeluang menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Sea Myanmar tahun depan.


Bagaimanapun, tawaran itu masih dalam peringkat perbincangan malah FAM masih belum memberikan kata putus mengenainya.

Justeru, Tengku Abdullah menegaskan, FAM perlu mengkaji dengan lebih mendalam baik buruk tindakan itu sebelum memberikan persetujuan.


"Saya hendak nyatakan di sini, bukan saja Malaysia tetapi banyak juga negara-negara Asean dipelawa bermain di liga itu. Kalau kita tidak ambil perhatian kita akan kerugian," katanya.

Selain dilihat sebagai satu pengiktitrafan, tawaran dikemukakan Brazil itu dianggap sebagai batu loncatan untuk terus meningkat dan muncul kembali sebagai salah satu daripada pasukan digeruni di rantau Asean.


Mengulas kekalahan 0-2 skuad senior kepada Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam, Selasa lalu, Tengku Abdullah berharap ia dijadikan satu pengajaran buat jurulatih dan pemain.


"Rajagopal sudah boleh mengenal pasti kelemahan dalam pasukan hasil kekalahan itu dan mengenal pasti pemain yang akan menganggotai skuadnya menghadapi Piala AFF Suzuki, November depan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Amri meluap-luap

Posted: 16 Sep 2012 11:20 AM PDT

PENGGANTUNGAN tiga perlawanan dan kehilangan lilitan lengan sebagai kapten dalam skuad Selangor nyata membakar semangat Mohd Amri Yahyah untuk memberikan aksi terbaik sehingga berjaya melonjakkan Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun pada awalnya peluang Merah Kuning dilihat kabur.

Kehadirannya umpama penyelamat apabila membantu Merah Kuning mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan lebih penting dua jaringannya ketika kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada Jumaat lalu memastikan pasukannya bergelar juara Kumpulan D bagi mengatasi Pahang.


"Sebagai seorang pemain, adalah penting untuk melihat pasukan melangkah lebih jauh dan saya bersyukur kami sudah berjaya melepasi peringkat kumpulan. "Perkara lain adalah tidak penting," katanya yang digantung tiga perlawanan awal peringkat kumpulan berikutan insiden membabitkan kekasaran ke atas pemain Kelantan, Muhammad Ghaddar dalam saingan Liga Super.

Tanggungjawab itu digalas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dipilih pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjadi kapten Merah Kuning.


Malah pemain berusia 31 tahun bertekad untuk meneruskan sentuhan jaringannya apabila bertemu Johor FC pada suku akhir pertama pada Jumaat ini.


Selain meningkatkan gandingannya bersama Bosko Balaban di jentera serangan, dia turut mahu memastikan episod disingkirkan Johor FC dalam saingan Piala FA tidak berulang.

"Setiap pasukan yang layak ke suku akhir tidak boleh dipandang rendah. Malah saya melihat Johor FC umpamanya mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri apabila mampu mengikat LionsXII pada peringkat kumpulan selain mempunyai barisan pemain berpengalaman seperti dua bekas pemain kebangsaan, Eddy Helmi Abdul Manan dan Khairunisam Shahabudin.


"Paling penting adalah kami mencari gol awal bagi memastikan jaringan tempat lawan dapat dilakukan bagi memberikan kelebihan apabila beraksi di Stadium Shah Alam pada 26 September," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan